Ahad, 27 September 2015

Bagaimana filem Hussein jika ada drone?

ADA dalam kalangan rakan-rakanku sejak dahulu mengetahui aku sangat meminati hasil kerja Allahyarham Hussein Haniff menghubungi aku selepas membaca tulisan aku mengenai pengarah yang under rated ini.

Paling menarik ada seorang daripada mereka mengingatkan aku supaya jangan lupa menulis tentang kes Hussein menampar seorang wartawan hiburan kerana menulis gosip tentang hubungan Hussein dengan Fatimah Ahmad, heroin filem kedua arahannya, Dang Anum (1962).

Aku cuma tersenyum membaca SMSnya itu. Sememangnya ramai di antara pembikin filem dan wartawan hiburan era 60an yang berpusat di Singapura ketika itu tahu tentang isu panas antara Hussein dengan wartawan tersebut. Aku tidak mahu menyebut nama wartawan tersebut kerana beliau sudah meninggal dunia pada 2011.

Mungkin aku akan sentuh kes dan gosip sensasi Hussein ini di kesempatan lain. Minggu ini aku ingin menyambung tentang cara kerja dan sikap rebel with a cause Hussein dalam menghasilkan filem-filemnya.

Menurut Yunos Alwi, bekas pemilik dan pengurus produksi syarikat filem iklan, PROFILM yang banyak terlibat dalam produksi filem-filem arahan Hussein ketika di Cathay Keris, Singapura menyatakan kepada aku, Hussein seorang pengarah yang keras kemahuannya. Beliau jarang berkompromi tentang shot-shot yang dimahukannya.

Hussein berlatar belakangkan kerjaya sebagai penyunting filem sebelum menjadi pengarah sangat cerewet dan teliti menghasilkan shot-shot untuk setiap babak filem-filem arahannya.

Hussein juga seorang pengarah kreatif dan sentiasa mahu mencuba menghasilkan sudut-sudut kamera yang jarang diterokai oleh pengarah lain ketika itu. Hussein berminda inovatif dengan keinginan mencuba elemen baharu dari segi teknikal baik kerja kamera dan suntingan.  

Sering Yunos menceritakan kepada aku tentang bagaimana Hussein menghasilkan shot-shot babak tarian dalam filem sulungnya, Hang Jebat (1961) dengan menggunakan kamera yang diletak di atas dolly tetapi daripada paras atas dan tinggi tanpa menggunakan kren.

Bagi bukan orang filem – maksudnya ialah kamera diletak atas alat yang beroda dipanggil dolly. Ketika jurukamera merakamkan shot yang diingini oleh pengarah dolly ini akan ditolak oleh kru. Selalunya dolly akan diletak pasangkan di atas trek atau landasan seperti rel kereta api di atas lantai atau tanah untuk ditolak oleh kru. Jarang ditemui pengarah meminta jurukameranya merakamkan shot dengan kamera menggunakan dolly tetapi di paras yang tinggi.

Tetapi untuk mendapatkan shot-shot tarian tersebut daripada sudut berparas tinggi seperti dimahukan oleh Hussein, kru-kru penggambaran terpaksa membina pelantar tinggi. Mereka terpaksa mengangkat dolly yang berat dibuat daripada bahan besi padu dan diletakkan  di trek atau landasan besi yang dipasang di atas binaan pelantar tadi. Hasilnya, Hussein berjaya merakamkan shot-shot tarian dengan framing kamera dalam format wide shot (sudut luas atau besar) sambil kamera bergerak di atas pelantar tanpa menggunakan lensa zoom.

Tidak silap aku, Yunos ada menceritakan, ketika Hussein mengarahkan filem pertamanya, studio Cathay Keris belum membeli kren bagi memudahkan jurukamera merakamkan babak-babak dari sudut tinggi baik di set dalam studio mahupun di lokasi luar.

Cathay Keris membeli dan menyediakan kren untuk kegunaan pengarah-pengarahnya selepas kejayaan filem Hang Jebat (1961) arahan sulung Hussein.

Sememangnya sudut-sudut kamera untuk babak tarian itu berjaya menghasilkan suasana dramatik. Persembahan tarian  di hadapan Sultan untuk meraikan pelantikan Hang Jebat, diperankan oleh Nordin Ahmad sebagai panglima Melaka direka cipta oleh

Siput Serawak. Reka cipta tarian ini menjadi bertambah menarik di tangan Hussein. Ramai pengkritik dan pengkaji filem Melayu menganggap babak tarian ini paling terbaik pernah dihasilkan dalam filem Melayu bergenre purba.

Hasil kerja kamera merakamkan sudut-sudut high angle dan low angle dramatik memberi kekuatan kepada tarian yang dipersembahkan sebagai signifier atau petunjuk meramalkan apa bakal terjadi kepada Jebat dan Tuah pada akhir filem ini.

Hussein telah memecahkan fungsi tarian dalam kebanyakan filem Melayu. Selalunya tarian hanya merupakan pelengkap klise babak-babak melibatkan Sultan dan pesta keraian dalam kalangan istana. Babak tarian dan lagu diwujudkan lebih untuk mempromosikan lagu-lagu untuk sesebuah filem. Kaedah ini sekarang dikenali sebagai OST - Original Sound Track.

Pada era 60-an, petikan lagu-lagu mengiringi tarian dalam filem akan disiarkan melalui Radio Malaysia dan Singapura sebagai promosi sebelum dan ketika sesebuah filem ditayangkan. Studio Cathay Keris dan Malay Film Productions menggunakan kempen promosi yang serupa selain media cetak seperti akhbar dan majalah.

Berbalik kepada penggunaan dolly dan kamera untuk mendapatkan high angle shot, Hussein dengan cara dan teknik yang sama berhasil merakamkan opening shot filem Hang Jebat. Perhatikan visual pembesar-pembesar istana Melaka sedang duduk menghadap Sultan memegang tanjak masing-masing sebagai tanda protes mereka terhadap Tuah. Bermula dengan medium closeup kaki Sultan bergerak dari kiri ke kanan kamera. Seterusnya, diikuti pergerakan kamera dengan saiz atau ukuran lensa yang sama bergerak ke belakang dalam waktu sama menampakkan sudut tinggi keadaan set istana tersebut.

Mungkin ada pembaca berpandangan kenapa aku bersusah payah dengan menggunakan perkataan-perkataan teknikal untuk menerangkan semua ini? Maaf cakap, mungkin juga terlintas di minda pelajar-pelajar filem generasi sekarang – apa hebatnya shot-shot Hussein ini sehingga aku berusaha menerangkan selengkap mungkin kepada pembaca?

Jika diperhatikan sememangnya shot-shot tersebut nampak mudah. Penonton lazimnya tidak akan berupaya merasakan perbezaannya.

Ada pendapat dan pandangan dalam kalangan pembikin filem bahawa kejayaan shot atau pergerakan kamera yang sukar dilakukan ketika penggambaran ialah bila filem siap disunting dan ditayangkan babak-babak ini nampak bergerak lancar tanpa dapat dikesan usaha susah payah tenaga kru untuk mendapatkan shot-shot tersebut.

Lebih berjaya kesannya jika dalam kalangan pembikin filem sendiri gagal mengesan bagaimana shot-shot yang nampak mudah itu dihasilkan!

Aku menerangkan semua ini bertujuan memberi informasi kepada pembikin dan pelajar filem generasi sekarang bagaimana gigih dan keras kentalnya semangat kemahuan sinematik Hussein menghasilkan shot menarik, kreatif dan inovatif walaupun tanpa beralatan secanggih sekarang.

Anak-anak aku memberitahu sekarang terdapat jurugambar video majlis perkahwinan sudah ada menggunakan kamera video dengan drone merakam pengantin berarak dan bersanding!

Drone adalah alat bagi memasang kamera dengan dikawal secara remote. Alat ini bergerak atau terbang membawa kamera yang dipasang untuk merakam visual-visual daripada udara dan paras tinggi. Paras pencapaian ketinggian sesebuah drone bergantung pada spesifikasi pembuatannya.

Jika drone wujud pada era 60an, pastinya Hussein akan mengeksploit kelebihan drone ini. Bayangkan dengan penggunaan kren serta dolly yang berat, rumit, renyah dan sukar, Hussein berjaya menghasilkan shot-shot luar biasa dan tidak konvensional.

Rasanya jika ketika itu beliau ada drone pasti shot-shot lebih ‘gempak gila’ mampu dihasilkan oleh Hussein Hanif!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...