Ahad, 18 Oktober 2015

Hussein Haniff & P Ramlee: Satu perbandingan

AKU menerima beberapa respons daripada pembaca dan juga rakan-rakan dalam bidang filem dan seni mengenai tulisan-tulisan aku tentang pengarah Allahyarham Hussein Haniff. Di antaranya yang menarik hati aku ialah respons daripada seorang rakan lamaku. Beliau bukan orang filem tetapi meminati dan mengikuti perkembangan filem dan seni hiburan tanah air sejak era 50-an dan selepas merdeka. Merupakan seorang otai yang masih suka menonton filem Melayu di pawagam dengan menggunakan kemudahan tiket separuh bayaran bagi warga emas.

Beliau bertanya – kenapa aku dan rakan-rakan seangkatanku lebih cuba berusaha mengangkat Hussein berbanding P Ramlee sebagai pengarah dan filmmaker?

Beliau menyuarakan juga pandangan tentang seperti ada penolakan terhadap P Ramlee sebagai seorang filmmaker tulen berbanding Hussein dalam kalangan pemikir, pengkaji, pengkritik dan pembikin filem angkatan baharu ketika aku mula menceburi bidang perfileman pada awal 80-an. Maksud beliau, golongan yang bukan bermula dari era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura terutamanya generasi pembikin dan penggiat filem new wave cinema atau gelombang baharu sinema Melayu bermula dengan filem Abang (1981) arahan Rahim Razali.

Menurut beliau, aku juga tidak terkecuali daripada kelompok ini. Aku tidak cuba menafikan pandangannya. Sebaliknya, aku meminta beliau memberi alasan memperkuatkan pendapatnya itu.

Beliau merujuk kepada tulisan aku pada 13 September lalu – "Hussein Haniff filmmaker tulen?"

Dalam artikel itu aku nukilkan - Menurut Dr Anuar Nor Arai - “Kita la ni di Malaysia kalau I katakan Hussin Haniff dalam banyak filem lebih baik daripada P Ramlee. Siapa nak setuju?” Dalam melontar pandangan dan pendapat menongkah arusnya, Dr Anuar menganggap Hussein lebih memenuhi kriteria filmmaker atau pembikin filem berbanding P Ramlee.

Aku catatkan juga hujah ilmiah Dr Anuar - Pada pandangan beliau, P Ramlee penghibur rakyat all rounder sedangkan Hussein lebih menumpukan kelebihan keupayaan berkaryanya khusus untuk filem, terutamanya dari aspek teknikal selain aspek penceritaan naratif. Hussein bukan pelakon, pemuzik, penyanyi, pelawak seperti P Ramlee. Hussein lebih terarah untuk menjadi seorang filmmaker tulen. Lebih-lebih lagi Hussein bermula sebagai penyunting filem dan bukan sebagai pelakon.

Pada aku sememangnya kenyataan Dr Anuar memperkatakan tentang perbandingan antara pengarah Hussein dengan P Ramlee ada kebenarannya.

Aku seterusnya menulis - Aku boleh bersetuju dengan Dr Anuar berdasarkan ilmu filem aku pelajari dan pengalaman aku lalui dalam bidang perfileman sejak 1978 sehingga kini.

Kata kuncinya di sini ialah ilmu filem. Perbandingan yang mahu dibuat terhadap dua tokoh filem Melayu ini mestilah berdasarkan ilmu iaitu ilmu filem dan kefahaman sejarah perfileman dunia dan tempatan.     
Menurut rakanku ini lagi, sejak lewat 80-an banyak tulisan dan kajian oleh pengkaji, pemikir filem Melayu dan dalam program-program perbincangan filem yang diadakan oleh tokoh-tokoh filem tanah air seperti mahu menolak dan mempertikaikan ketokohan P Ramlee sebagai seorang filmmaker.

Beliau memberi beberapa contoh laporan dan tulisan mengenai perbincangan filem yang tersiar dalam akhbar sejak sekian lama ini. Artikel dan tulisan-tulisan ini boleh dibaca melalui pencarian secara meng’google’ di alam siber. Rata-rata pemikir dan pengkaji filem tanah air, di antaranya Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, Johan Jaaffar, Dr Mahadi J Murad, Hassan Muthalib, Mansor Puteh dan juga pengarah filem Adman Salleh menilai ketokohan P Ramlee dengan Hussein sebagai pembikin filem daripada sudut pandangan yang kontra berbanding pandangan umum.

Rakanku ini merujuk kepada tulisan Ku Seman Ku Hussain – P Ramlee layakkah dianggap tokoh filem? yang tersiar di Utusan Malaysia pada 27 Jun 2000.

Tulisan itu mengupas dan memperkatakan kenyataan dilontarkan oleh Dr Anuar sehingga menimbulkan kontroversi sebaik sahaja beliau balik ke tanah air pada 1982 selepas menuntut sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian filem dari University of Southern California.

Kefahaman yang aku peroleh daripada tulisan tersebut, Dr Anuar cuba melakukan perbandingan dan penilaian berdasarkan ilmu filem bukan berdasarkan nilai-nilai sentimental. Beliau cuba melihat filem-filem P Ramlee sebagai film as film bukan hasil karya filem-filem P Ramlee dalam kapasiti seorang seniman serba boleh – penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pelawak, pelakon dan pengarah filem.

Dr Anuar mencadangkan perlu ada kajian menjurus terhadap P Ramlee sebagai pengarah filem tanpa menafikan dia sebagai seniman rakyat yang jarang-jarang dilahirkan di dunia.

Dengan menggunakan pendekatan inilah juga Dr Anuar dan kami daripada golongan muda ketika itu cuba melihat dan menilai filem-filem Hussein. Aku dan rakan-rakan mahu mengkaji dan menilai karya-karya Hussein berdasarkan ilmu bukannya rasa sentimental melulu.

Seiring dengan perubahan masa, aku lihat sudah ada perubahan di kalangan pembikin dan penggiat filem generasi muda sekarang dalam usaha menilai dan memperkatakan tentang filem-filem Melayu era 50-an sehingga pertengahan 60-an yang merupakan zaman kegemilangan filem Melayu. Usaha mengkaji filem-filem pengarah-pengarah selain P Ramlee sudah mula digerakkan walaupun agak terlewat. Paling penting usaha yang dicetuskan oleh Dr Anuar sudah bermula.

Aku tidak nafikan wujud dua pandangan berbeza dalam memperkatakan ketokohan dua pengarah penting filem Melayu ini ketika awal 80-an.

Bagi memahami dan melakukan perbandingan antara Hussein dan P Ramlee sebagai filmmaker, perkara asas perlu diambil kira ialah jumlah filem yang di arahkan mereka.

Hussein hanya mampu mengarah 14 filem dalam jangka masa enam tahun sebelum meninggal dunia pada usia muda 32 tahun akibat mengidap penyakit barah dalam perut pada 1966.

Dalam masa 17 tahun P Ramlee pula mengarah 35 filem bermula dengan Penarek Becha (1955) terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura sehingga filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972) terbitan Merdeka Studio, Ulu Kelang. Beliau meninggal dunia pada usia 44 tahun pada 29 Mei, 1973.

Berikut aku senaraikan filem-filem arahan Hussein mengikut tahun dan genre. Filem pertama dan keduanya, Hang Jebat (1961) dan Dang Anum (1962) bergenre purba. Filem Korban Kasih bergenre drama moden dan Mata Shaitan bergenre purba dihasilkan pada 1962.

Hussein juga mengarah filem bergenre komedi seperti Mabuk Kepayang (1962), Masuk Angin Keluar Asap (1963) dan Gila Talak (1963).

Kesemua filem arahan Hussein yang ditayangkan pada 1964 bergenre purba - Dua Pendekar, Istana Berdarah, Hutang Darah Dibayar Darah dan Kalong Kenangan.

Pada tahun berikutnya, 1965, Hussein hanya mengarah dua filem bergenre drama moden berjudul Jiran Sekampung dan Cinta Kasih Sayang. Di hujung hayatnya, pada 1966, Hussein hanya mampu mengarah satu filem bergenre purba, Udang Sebalik Batu sebelum meninggal dunia pada 5 April 1966.

Daripada 14 filem arahannya, kecuali Hang Jebat dan Dang Anum, filem-filemnya yang lain gagal di pasaran. Berbanding filem-filem arahan P Ramlee yang kebanyakannya pecah panggung terutamanya filem-filem arahan beliau ketika di Singapura antara 1955 sehingga 1963. Mana dan apa silapnya?

Kita sambung minggu depan. Insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...