Ahad, 10 Januari 2016

Pyanhabib aka Osman Tikus

MALAM Selasa (5 Januari 2016) lalu, aku bertemu Pyanhabib aka Osman Tikus di restoran di Ampang. Aku datang dari Melaka dan perlu berada beberapa hari di Kuala Lumpur kerana urusan kerja. Sudah lama aku tidak bertemu member lamaku ini.

Selalunya bila aku datang dan perlu berada beberapa hari di Kuala Lumpur, aku cuba mencari masa dan ruang untuk bertemu member-member lama yang berupaya aku kesan. Kali ini aku berpeluang bertemu Pyanhabib.

Aku rasa tidak ramai generasi bawah awal 30-an mengenali susuk ini. (Harap-harap pandangan aku ini silap.) Aku dapati ramai generasi berusia 40-an ke atas mengenali lelaki yang masih kekal berimej rugged dengan rambut gondrongnya.

Sejak kebelakangan ini aku lihat Pyanhabib sangat aktif berinteraksi dengan peminatnya lewat Facebook - mukabukunya di alam siber. Aku perhatikan mukabuku Pyanhabib berhasil menambah pengikut dan peminat baharu dan muda selain peminat tegarnya sejak era 80-an. Siapa Pyanhabib?

Pyanhabib atau nama kad pengenalannya Mohd Supyan bin Abdul Rahman, lahir pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak.

Beliau bermula dalam kancah seni tanah air sebagai penyair dan penulis puisi pada pertengahan 70-an. Aku mengenali Pyanhabib ketika aku sedang gila melayan dan aktif berteater dengan kumpulan Bengkel Teater Kuala Lumpur yang diterajui dan dikelolakan Shuhaimi Baba (Datin Paduka) dan Allahyarham Mustapha Nor, pelakon teater, televisyen dan filem terkenal pertengahan 80-an.

Pada ketika itu (sekitar 1975-77), aku masih menuntut di Institut Teknologi Mara (ITM), sekarang UiTM Shah Alam. Setiap pagi Ahad aku dengan beberapa rakan sekolej, di antaranya Fatimah Abu Bakar (pelakon dan tenaga pengajar siri Akademi Fantasia) menaiki bas ke Kuala Lumpur.

Kami berkumpul dan berlatih di salah satu bangunan di kawasan Kompleks Budaya Negara yang terletak di tapak Aswara sekarang. Untuk sampai ke Kompleks Budaya itu, kami akan melintasi Padang Merbok.

Terdapat sebuah banglo lama kerajaan dua tingkat di lereng tebing bukit selepas melintasi Padang Merbok. Banglo lama ini dihuni sekumpulan pelukis dan penyair dikepalai secara tidak resmi oleh pelukis, penulis sajak dan penyair tersohor negara, Latiff Mohidin. Mereka menamakan kumpulan mereka - Kumpulan Anak Alam.

Pyanhabib adalah salah seorang daripada penghuni banglo Anak Alam itu. Aku sering bertembung dengan Pyanhabib bila aku menghadiri sesi latihan teater pada setiap hujung minggu.

Dari situlah aku mengenali dan mula bersahabat dengan Pyanhabib. Aku mengenali Pyanhabib lama sebelum puisi pertama beliau disiarkan dalam majalah Dewan Sastera pada awal 80-an. Ketika itu Pyanhabib masih sedang mencari tapak dalam bidang penulisan puisi dan menjadi penyair.

Pyanhabib, penyair dan pelakon ini adalah seorang insan seni yang unik dan istimewa. Beliau diserang demam panas ketika berusia 12 tahun. Akibat demam panas ini beliau kehilangan deria pendengarannya.

Walaupun punya kekurangan daya pendengaran, namun beliau seorang yang kuat semangat mengejar impiannya menjadi seorang penyair dan penulis sajak.

Ketika aku mengarah filem pertamaku, Kembara Seniman Jalanan (1986), Pyanhabib telah aku pilih untuk digandingkan dengan watak hero, Bujang/Jebat diperankan M Nasir (Datuk). Watak Osman Tikus, diperankan oleh Pyanhabib merupakan sidekick watak Bujang/Jebat.

Pada mulanya, watak Osman Tikus ini bakal diperankan Noramin, seorang deejay popular dan paling top RTM ketika itu. Beliau dikenali lewat program radio interaktif Moshi-Moshi terbitan Stesen Radio Ibukota, RTM.

Program belajar bahasa Jepun dikendalikan oleh Noramin secara live - melalui telefon. Untuk informasi pembaca generasi sekarang, pada era itu belum ada lagi handphone dan smartphone.

Masih aku ingat impak gempak diwujudkan oleh Moshi-Moshi kepada penghuni kota ketika itu. Sebelum itu tiada program seperti Moshi-Moshi yang menghidangkan lagu-lagu popular diselang-selikan dengan pendengar belajar bahasa Jepun melalui telefon langsung atau live.

Jika tidak silap aku, dua minggu sebelum aku memulakan penggambaran filem Kembara Seniman Jalanan, Noramin terpaksa menarik diri kerana beliau ada komitmen peribadi memerlukan beliau ke Indonesia bagi jangka masa yang panjang. Dalam kelam-kabut dan kesuntukan masa itulah aku teringatkan Pyanhabib.

Pyanhabib sering bercerita kepada rakan-rakan dan tidak silap aku, beliau ada juga menulis tentang bagaimana aku pernah berjanji untuk mengambilnya berlakon jika aku dapat peluang mengarah filem.

Cerita tersebut adalah benar cuma ramai tidak tahu aku tidak spesifikkan mengambil Pyanhabib untuk filem pertamaku. Aku pasang niat ketika itu jika aku berjaya menjadi pengarah filem, aku mahu mengambil Pyanhabib berlakon dalam salah satu filem arahanku nanti.

Tetapi, peluang aku mengambil Pyanhabib berlakon datang lebih awal daripada aku jangkakan. Dengan pengunduran Noramin, aku terus teringatkan Pyanhabib. Aku terus menghubungi dan menawarkan watak Osman Tikus kepada beliau. Alhamdulillah, beliau menerimanya - the rest is history.

Menawarkan watak Osman Tikus kepada Pyanhabib adalah risiko paling besar dan mencabar yang perlu aku galas. Lebih-lebih lagi Kembara Seniman Jalanan adalah filem cereka berskala besar pertama arahanku. Walaupun sebelum ini aku berpengalaman mengarah filem iklan dan dokumentari.

Berbalik kepada niat aku hendak mengambil Pyanhabib berlakon dalam filem aku sebenarnya berpunca daripada niat aku sendiri. Aku ingin mencabar diriku sendiri bagaimana mengarah seorang pelakon yang tidak boleh mendengar.

Sejujurnya, aku hanya berani mencuba mempraktikkan angan-angan itu mengikut perhitunganku selepas aku berjaya mengarah beberapa filem selepas ‘anak sulung’ku Kembara Seniman Jalanan. Tetapi skrip ALLAH SWT lebih hebat daripada skrip manusia yang serba lemah dan kurang ini.

Malam itu ketika kami mengeteh tarik, Pyanhabib mengimbas kembali senario flashback, aku memberitahu beliau tentang niatku untuk mengambilnya berlakon filem jika aku berjaya mencapai impianku menjadi pengarah filem.

Menurutnya, satu petang aku dan beliau berjalan daripada Anak Alam menyusuri Jalan Parlimen, rasanya aku baharu selesai latihan teater. Kami hendak lepak tarik teh di Benteng depan Bank Negara.

Sambil menapak aku beritahu Pyanhabib niatku untuk ambil beliau berlakon filem arahanku bila aku berjaya menduduki kerusi pengarah. Ketika itu, lewat 70-an, aku sudah tamat pengajian di ITM dan sudah menceburi bidang perfileman iklan. Menarik juga bila Pyanhabib bercerita dan mengimbas kembali memori berusia hampir lebih 30 tahun lampau.

Kesan watak Osman Tikus diperankan oleh Pyanhabib terus diingati oleh peminat sehingga sekarang. Pyanhabib pernah menunjukkan kepada aku satu video klip lewat YouTube, persembahan sekumpulan anak muda indie daripada Singapura menamakan grup mereka – OSMAN TIKUS.

Sememangnya, watak Osman Tikus, si pencopet ini sinonim dengan Pyanhabib. Dengan dialog klasiknya – “Brader, kita mesti terus hidup!”

2016 genaplah 30 tahun usia filem Kembara Seniman Jalanan. Apa yang pasti perjuangan untuk kita terus hidup makin mencabar. Selain mengimbas memori lama sambil mengeteh tarik dengan Pyanhabib malam itu, kami juga bercerita dan cuba memahami sikap manusia zaman ‘edan’ - zaman gila yang sedang mewabak di tanah air tercinta ini. Sikap apa? Minggu depan aku sambung, insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...