Ahad, 27 April 2014

The Batak Boys

MULAI minggu ini aku mahu menulis tentang muzik Melayu. Selama tujuh minggu lalu, aku banyak menulis tentang filem dan apa terjadi pada aku serta pengalaman aku lalui dalam bidang filem sehingga tahun-tahun akhir 80-an. Sejak itu aku mula banyak mengarah drama telemovie untuk stesen-stesen televisyen kerajaan dan swasta.

Aku bukan pemuzik tetapi memang meminati muzik, terutama muzik moden berasaskan genre blues dan rock n roll dari barat dan tempatan.

Aku rasa bertuah kerana membesar bersama dengan zaman negara kita ini membangun dan melalui proses pembangunan selepas merdeka dari penjajahan British pada 1957 sehingga ke saat ini. Aku melalui zaman ketika hanya radio merupakan media sebaran am dan diikuti kemunculan televisyen dalam bentuk hitam putih.

Radio Malaya mula beroperasi pada 1 April 1946 dan siaran televisyen pula bermula pada 28 Disember 1963 selepas lebih kurang tiga bulan Malaysia ditubuhkan.

Kampung Kelemak, kampung aku terletak lebih kurang 1.5 kilometer dari pekan Alor Gajah di Melaka, dikira bernasib kerana penduduknya mula mendapat bekalan elektrik pada tahun 1960 dan diikuti dengan bekalan air paip pada tahun berikutnya. Jadi selepas lima tahun merdeka kampung kami sudah ‘ado air dalam bosi, potek topi tongah menyalo’ – ungkapan popular daerah kami yang bertutur dengan dialek Minang Negeri Sembilan bukan dialek Melaka pantai ‘hawau lahabau’.

Kenapa aku kaitkan sejarah penubuhan radio dan televisyen ini dengan apa yang bakal aku tulis minggu ini? Kedua-dua media ini memainkan peranan penting dalam aku menempuh zaman kehidupan kanak-kanak dan remaja. Tahun-tahun aku di sekolah rendah dan menengah. Kedua-dua media ini mengenalkan aku kepada muzik tempatan dan luar, terutama dari barat.

Pada tahun-tahun awal 60-an lagu-lagu Melayu popular lebih banyak yang dipetik daripada filem-filem Melayu terbitan Malay Film Productions dan Cathay Keris yang berpusat di Singapura ketika itu.

Boleh dikatakan kebanyakan lagu yang menjadi hit adalah lagu-lagu dari filem dan bukan lagu-lagu yang sememangnya diterbitkan secara khusus oleh syarikat-syarikat rakaman piring hitam. Sebagai contoh kebanyakan lagu-lagu hit Allahyarham P Ramlee seperti Jeritan Batinku, Di Manakan Ku Cari Ganti adalah dari filem Ibu Mertuaku (1962), lagu Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1964), Aci Aci Buka Pintu dari filem Nasib Labu Labi (1963) dan banyak lagi.

Lagu-lagu dari filem ini di ke udarakan melalui Radio Malaya (sebelum 1963) dan Radio Malaysia (selepas 1963) serta Radio Singapura melalui siaran bahasa Melayunya. Kedua-dua stesen ini mempopularkan lagu-lagu dari filem-filem Melayu sehingga menjadi siulan ramai. Peminat-peminat juga boleh membeli piring hitam  lagu-lagu yang hit ini selalunya dalam bentuk EP iaitu empat lagu atau SP yang mengandungi dua lagu.

Memang tidak dapat dinafikan ketika itu radio adalah sumber utama dan penting bagi rakyat menikmati lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu Inggeris, Tionghua, Tamil serta Hindustan.

Seingat aku lagu-lagu daripada filem memonopoli siaran radio sejak Radio Malaya ditubuhkan sehingga tahun 1965. Pada tahun ini satu kejutan berlaku dalam politik tanah air. Singapura keluar dari Malaysia dan membentuk pemerintahannya sendiri.

Dalam masa sama satu kejutan berlaku dalam arena seni dan hiburan tanah air. Tercetusnya satu fenomena muzik yang dikenali sebagai pop yeh yeh berlaku di Singapura. Pop Yeh Yeh adalah satu bentuk muzik yang hanya menggunakan alatan muzik seperti gitar dan dram. Kumpulan pemuzik ini dikenali dengan panggilan kumpulan gitar rancak atau singkatannya – kugiran.

Berbeza dengan muzik sebelum ini yang lebih mirip ke sound orchestra yang banyak menggunakan alat muzik tiupan seperti trompet, saksofon, flut, clarinet selain piano, dram dan biola. Lagu-lagu dari filem Melayu lebih kepada sound sebegini.

Dengan meletupnya lagu berjudul Suzanna nyanyian M Osman dan Kugiran The Mods pada awal 1965 melahirkan satu bentuk muzik Melayu yang dikenali sebagai pop yeh yeh. Bermula satu perubahan kepada muzik Melayu.

Nama pop yeh yeh ini berasal dari tajuk lagu, She Loves You Yeah Yeah rakaman The Beatles. Satu kumpulan pemuzik muda berasal dari Liverpool, England.

The Beatles adalah pelopor kepada satu revolusi muzik dunia yang berasaskan kepada muzik rock n roll. Muzik dari The Beatles menjadi kegilaan dan ikutan anak-anak muda di serata dunia.

The Beatles memperkenalkan lineup kumpulan pemuzik terdiri daripada pemain gitar utama, gitar irama (rhythm guitar), gitar bass dan dram.

Lineup inilah menjadi ikutan kebanyakan kugiran pop yeh yeh. Ada juga kugiran yang menampilkan pemain organ sebagai tambahan. Selalunya, kugiran-kugiran ini ada penyanyinya sebagai frontman tidak seperti The Beatles yang semua anggota mereka berkebolehan menyanyi.

Menariknya tentang kugiran-kugiran pop yeh yeh adalah nama yang mereka pilih untuk menamakan kugiran mereka. Selalunya nama Inggeris jadi pilihan sedangkan mereka menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu. Contohnya, M Osman dan The Mods, Jefri Din dan The Siglap 5, A Ramlie dan The Rhythm Boys, Kassim Selamat dan The Swallows, Eddie Ahmad dan The Antartic, Hussein Ismail dan The Sandblues, A Romzi dan The Hook serta lain-lain lagi.

Penyanyi-penyanyi wanita juga menggunakan format yang sama, seperti Jun Abdullah dan The Cliffters, Fatimah M Amin dan The Clans, P Rosnah dan The Siglap 5, Siti Zaiton dan The Hornets dan ramai lagi.

Seingat aku ada juga kugiran menggunakan nama-nama Melayu seperti M Rahmat dan The Teruna, S Jibeng dan Sri Arjuna, A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana, L Ramlee dan Teruna Ria, Rudin AlHaj dan Impian Batek, Ismail Kasdi dan The Jejaka serta penyanyi wanita Alina Rahman dan The Batek.

Nama kugiran yang paling aku ingat sampai sekarang adalah The Batak Boys. Mereka pilih nama tersebut sempena nama jalan di kampung mereka di Singapura. Tapi sayang mereka tidak ada lagu yang hit!

Walaupun Singapura merupakan pusat tumbuh dan berkembang biaknya muzik pop yeh yeh tetapi ada ramai juga anak-anak muda dari negeri-negeri dan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia menubuhkan kugiran-kugiran.

Ada di antara mereka yang berjaya merakamkan lagu-lagu hit. Lagu Dara Pujaan nyanyian L Ramlee dan kugiran Teruna Ria berasal dari Pulau Pinang. Dari Melaka, Helen Velu dan The Kilat berjaya menghitkan lagu Kereta Lembu. Dari Seremban, Roziah Latif dan The Jayhawkers berjaya dengan lagu Aku Kecewa.

Johor merupakan negeri paling banyak melahirkan kugiran-kugiran dan penyanyi pop yeh yeh selain Singapura. Siapa boleh lupa A Rahman Onn dan The Strangers dengan lagu hit mereka Cincin Emas dan Peracun Kalbu.

Dari Muar, A Halim dan De Fiction dengan Kisah dan Tauladan, Salam Mesra dan Teman Barunya yang meletup. A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana dengan lagu hit mereka Tak Mengapa merupakan kugiran pertama dari luar Singapura yang berjaya meletakkan diri mereka sebaris dengan kugiran-kugiran paling top ketika itu.

Di antara penyanyi aku ceritakan di atas tadi ada yang mempunyai waris mereka dalam bidang filem masa kini. Khir Rahman pengarah filem ...Dalam Botol adalah anak kepada A Rahman Hassan, penyanyi dan ketua kugiran Orkes Nirwana. Seorang anak muda pelapis berpotensi besar dalam bidang pengarahan dan lakonan filem tanah air. Aku berpeluang bekerjasama dengan Khir awal tahun ini dalam filem Gangsterock...Kasi Sengat arahan Soffi Jikan.

Aziz M Osman dan Zul M Osman, dua pengarah filem anak kepada penyanyi pelopor pop yeh yeh, Allahyarham M Osman. Ibu mereka, Afida Es juga adalah penyanyi pop yeh yeh.

Benarlah pepatah orang-orang tua kita – ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. 

Minggu depan aku sambung lagi tentang fenomena pop yeh yeh ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...