Ahad, 13 Julai 2014

Cerdik filem atau filem cerdik?

KALI  ini aku ingin mengimbas kembali pengalaman lebih 30 tahun silam. Flashback aku dan rakan-rakan pencandu filem yang gila dan obses dengan filem Melayu dan world cinema lalui ketika itu.

Pengkaji filem dan sejarah filem Melayu akan menemui tahun-tahun 1980 sehingga 1990 ada satu perubahan drastik berlaku ketika ini.

Pertembungan antara dua golongan pembikin dan penggiat filem. Golongan pertama terdiri daripada mereka yang bermula dari sistem studio di Singapura. Rata-ratanya bekas pelakon, pengarah dan penolong pengarah era filem Melayu hitam putih.

Golongan kedua adalah pembikin dan penggiat-penggiat filem yang tidak ada langsung pertalian dan kaitan dengan sistem studio dan kegemilangan zaman Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura. Mereka terdiri daripada pembikin-pembikin dan penggiat-penggiat filem ‘homegrown’.

Golongan muda kelahiran Malaysia dengan latar belakang teater, filem iklan, penulisan kreatif dan televisyen selain mereka yang berkelulusan bidang filem dari luar negara.

Apa yang boleh aku lakukan untuk menyumbang kepada peningkatan mutu filem Melayu ketika itu? Aku merupakan penggiat atau orang baharu dalam bidang ini.

Jalan yang aku ada ketika itu adalah melalui penulisan kritikan filem. Aku lakukan ini bukan kerana hendak cari glamor atau nama tetapi lebih kepada hendak mencari pembaharuan dalam filem-filem Melayu agar selari dengan perubahan zaman.

Langkah yang aku ambil ini boleh membantu aku mendalami ilmu dan pengetahuan tentang filem. Aku dan rakan-rakan mahu jadi penggiat-penggiat yang cerdik filem.

Ketika itu filem-filem Melayu dari segi idea dan naratifnya masih berlegar dengan isu-isu remeh dan ketinggalan zaman dibandingkan dengan filem-filem dari luar.

Aku tidak melihat hambatan teknikal atau bajet mencetuskan keadaan ini. Boleh dikatakan kebanyakan pengarah-pengarah golongan pertama ini tiada kefahaman asas tentang elemen paling penting untuk sesebuah filem adalah ceritanya – apa mahu disampaikan oleh sang pengarah melalui penghasilan filem-filem mereka.

Apakah isu yang ingin diangkat melalui naskhah skrip dan screenplay sesebuah filem?

Filem-filem Melayu hasil karya pengarah-pengarah dan penggiat-penggiat filem veteran ketika itu tidak membawa pembaharuan.

Filem-filem seperti Si Luncai (1981), Da Di Du, Setinggan (1981), Ribut Barat (1981) dan banyak lagi gagal memenuhi tuntutan yang perlu ada pada sesuatu naratif yang kemas dan tersusun untuk diangkat sebagai satu hasil kerja seni dipanggil filem.

Rata-rata penonton filem Melayu masih boleh ‘layan’ filem-filem komedi kurang cerdik dan filem-filem melodrama Melayu yang tidak mencabar minda dihasilkan ketika itu.

Persoalannya ialah sampai bila dan tidak adakah usaha untuk meningkatkan mutu filem-filem kita?

Apakah kita sudah berpuas hati dengan penghasilan filem-filem sedemikian? Masih di takuk lama?

Untuk pengetahuan pembaca lebih-lebih lagi pelajar-pelajar filem  sekarang dan generasi berusia bawah 45 tahun, televisyen berwarna dilancarkan pada 1978.

Suasana kehidupan rakyat di Malaysia ketika tahun-tahun awal 80-an sedang berdepan dengan kelahiran ramai golongan muda yang keluar dari institusi-institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara.

Mereka ini bakal menambahkan bilangan penonton filem-filem Melayu. Cita rasa mereka tidak sama dengan penonton-penonton sebelum ini. Dalam bahasa mudah – mereka adalah penonton cerdik dan celik seni.

Penggiat-penggiat filem Melayu ketika itu masih tidak berubah. Mereka masih menghasilkan filem-filem yang tidak selari dengan perubahan cita rasa penonton generasi baharu ini.

Keadaan ini meresahkan aku dan rakan-rakan yang mahu melihat perubahan berlaku dalam cinema Melayu.

Pengaruh budaya popular ketika itu adalah demam John Travolta yang meletup dengan filem pecah panggung Saturday Night Fever. Filem Starwars arahan George Lucas mula menjadi kegilaan seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dari segi muzik pula seluruh dunia dilanda kemaruk muzik disko yang dicetuskan oleh filem Saturday Night Fever dan Thank God, It’s Friday.

Di negara kita pula muzik genre blues dan rock mula mengambil alih muzik dangdut ala Hindustan yang dipelopori oleh penyanyi-penyanyi seperti DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid.

Muzik blues dipelopori oleh Blues Gang dan muzik rock dari Sweet Charity mula menjadi kegilaan anak-anak muda.

Lagu-lagu seperti Apo Nak Dikato oleh Blues Gang dan Kamelia oleh Sweet Charity menjadi hit di samping lagu-lagu bergenre pop di antaranya Hingga Akhir Nanti dan Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dendangan Alleycats.

Perkembangan dan perubahan muzik Melayu begitu ketara sekali ketika itu. Kemunculan komposer-komposer muda di antaranya M Nasir, Ito Mohd, Ramli Sarip, Eddie Marzuki serta penulis lirik seperti S Amin Shahab dan M Nasir sendiri berjaya memberi warna baharu dalam penghasilan muzik dan lagu-lagu Melayu kontemporari.

Tetapi kemajuan dihasilkan dalam bidang muzik dan lagu tidak selari dengan kemajuan dalam penghasilan filem-filem Melayu ketika itu. Tidak ada keseimbangan.

Ini senario yang berlaku pada tahun-tahun awal 80-an. Bertolak dari suasana itu aku dan beberapa rakan lain berasakan kami perlu melakukan sesuatu untuk mengerakkan filem Melayu ke arah lebih terkini dan selari dengan perkembangan semasa. Kesedaran ini timbul kerana cinta kami pada filem dan cinema Melayu.

Aku bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan yang punya matlamat sama dan sehaluan – ‘sekepala’. Kami sering bertemu dan berbincang tentang filem secara serius dan santai.

Kami berbincang tentang world cinema sebagai rujukan. Kami kaji sejarah cinema dunia, selain filem-filem keluaran ‘kilang mimpi’ bernama Hollywood.

Walaupun internet dan konsep informasi di hujung jari belum wujud lagi ketika itu tidak menghalang kami untuk mencari dan meneroka informasi tentang kemajuan terkini dan sejarah filem dari serata dunia.

Perpustakaan British Council dan Lincoln Centre di Jalan Ampang menjadi tempat aku melepak mencari bahan-bahan bacaan tentang filem.

Ketika itu aku hanya mampu membaca dan melihat gambar-gambar kaku melalui buku dan majalah dari luar negara tentang filem-filem hasil karyawan-karyawan filem besar dunia.

Dari situ aku mengenali filem-filem penting cinema dunia. Di antaranya filem-filem Seven Samurai (1954), Rashomon (1950), Yojimbo (1961), Straydog (1949) dan Sanshiro Sugata (1943) arahan pengarah paling berpengaruh di dunia, Akira Kurusawa (1910 -1998).

Akira Kurusawa, The grand master of film yang menjadi rujukan wajib nombor wahid kepada sesiapa bercita-cita menjadi pengarah filem. Tidak terkecuali pengarah-pengarah tersohor dunia sekarang seperti Steven Spielberg, George Lucas, Martin Scorsese dan Ford Copolla.

Tidak ketinggalan aku berpeluang membaca tentang filem-filem klasik dunia Pather Pancali (1956) dan The World of Apu (1959) daripada pengarah Bengali, Satyajit Ray (1921 – 1992).

Melalui bacaan dan menatap gambar-gambar ‘kaku’ ini aku berkenalan dengan filem-filem berjudul La Dolce Vila (1960) dan 8½ (1963) arahan pengarah Itali, Federico Fellini (1920–1993).

Paling menarik perhatian aku adalah hasil kerja dan semangat rebel pengarah Perancis, Francois Truffaut (1932–1984). Tidak keterlaluan jika aku katakan tidak lengkap ilmu filem bagi sesiapa bercita-cita menjadi pengarah filem jika tidak kenal siapa Truffaut dan filem klasiknya The 400 Blows (1959).

Cerdik sejarah dengan mengenali tokoh-tokoh filem besar dunia dan karya-karya besar mereka dituntut sebagai prasyarat penting melengkapkan diri sesiapa sahaja bercita-cita untuk memberi arahan ‘ACTION!’ dan ‘CUT!’

Renungkan kata-kata Albert Einstein ini – Perbezaan di antara kecerdikan dan kebodohan ialah kecerdikan ada HAD tetapi kebodohan tiada SEMPADAN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...