Ahad, 29 Jun 2014

Cukup hanya pecah panggung atau...

ANTARA 1974 sehingga 1980, Merdeka Film Productions mula mengorak langkah baru dengan memproduksikan filem-filem berwarna dengan tujuan menarik sambutan penonton filem Melayu semula ke panggung.

Dalam masa sama syarikat-syarikat filem independent atau syarikat persendirian bebas diasaskan oleh usahawan-usahawan Melayu mula ditubuhkan dan berkembang di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

Di antara syarikat atau rumah produksi – production house mula aktif ketika itu terdiri daripada Jins Shamsuddin dgn PERFIMA – Perusahaan Filem Malaysia Sdn Bhd dan kemudian Jins Shamsuddin Filem Productions. Diikuti oleh Deddy M Borhan, seorang usahawan muda berasal dari Sabah mewujudkan Sabah Filem Productions. Syarikat Indra Filem Productions diasaskan oleh dua beradik, Zain dan Zahran sementara Syed Kechik Film Productions diasaskan oleh Datuk Syed Kechik.

Di samping itu tumbuh juga syarikat-syarikat produksi berskala kecil dan sederhana di antaranya – Anang Enterprise, Bintang Maju Produksi Sdn Bhd, Karya Film Promotions Sdn Bhd, Solo Filem Productions, Varia Filem Productions, Sarimah Filem Productions, Baiduri Filem Productions dan lain-lain lagi. Ada di antara syarikat-syarikat ini menghasilkan satu atau dua filem kemudian ‘tutup kedai’.

Masalah modal merupakan faktor utama yang sering menjadi halangan kepada syarikat-syarikat ini.

Aku lihat antara 1974 sehingga 1980 kegiatan atau bisnes filem Melayu sudah berpindah keseluruhannya ke Kuala Lumpur.

Senario ketika itu melihatkan syarikat-syarikat filem tempatan yang baharu muncul itu memberi peluang mengarah kepada kebanyakannya bekas pelakon-pelakon studio Jalan Ampas atau Cathay Keris dari Singapura.

Pelakon-pelakon dari Malay Film Productions, Jalan Ampas seperti Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Ahmad Mahmud, Saadiah dan Malik Selamat bekas pelakon Cathay Keris menduduki kerusi pengarah untuk syarikat-syarikat baharu ini.

Kemunculan barisan pengarah baharu ini menambahkan bilangan pengarah filem sedia ada bernaung di bawah Merdeka Film Productions ketika itu seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, S Kadarisman dan M Amin.

M Amin dan Omar Rojik kemudiannya berpindah ke Sabah Filem selepas Merdeka Films Production menghentikan produksi mereka buat sementara waktu selepas kegagalan filem Loceng Maut (1978).

Merdeka Film Productions menyambung semula produksi dengan menerbitkan Adik Manja (1980) arahan Othman Hafsham. Walaupun filem ini ‘pecah panggung’ boxoffice tetapi filem ini adalah produksi terakhir mereka.

Sabah Film Productions memberi peluang kepada Aziz Sattar mengarah filem-filem Keluarga Comat (1975), Si Badul (1978). Kedua-dua filem ini meletup di boxoffice.

Kejayaan yang ditempa oleh Sabah Filem ini memberi suntikan semangat baru untuk ramai lagi usahawan Melayu mula berani menceburi dan melabur dalam penerbitan filem Melayu.

Aku dapati di antara 1975 hingga 1980 sememangnya tidak dapat dinafikan keberanian Deddy M Borhan, si peneraju Sabah Filem Productions menghasilkan filem-filem berwarna bergenre komidi, muzikal, purba dan seram berjaya menggamit penonton untuk kembali ke panggung menonton filem Melayu.

Filem Si Badul (1978) berjaya meraih kutipan pecah panggung hampir  RM2 juta. Jumlah sungguh besar dan gempak dibandingkan dengan kos penerbitan yang rata-ratanya kurang dari RM200,000 ketika itu. Harga tiket untuk menonton filem pula bernilai antara RM1 hingga RM2.50 ketika itu. Filem Si Badul memecahkan rekod tayangan selama tiga bulan di Pawagam P Ramlee dan selama dua bulan di panggung Coliseum. Satu kejayaan di luar jangkaan yang mengejutkan dalam sejarah filem Melayu. Deddy M Borhan berjaya memulihkan semangat pembikin, penonton, peminat dan pencinta filem Melayu. Salut!

Sabah Filem Productions sungguh produktif menghasilkan tujuh filem sepanjang 1975 hingga 1980. Filem-filem Keluarga Comat (1975) dan Si Badul (1978) arahan Aziz Sattar, M Amin mengarah Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar (1977) dan Kisah Seorang Biduan (1979). Filem Gila-Gila (1979) arahan Omar Rojik dan filem genre seram Toyol (1980) arahan Malek Selamat.

Menariknya filem muzikal Hapuslah Air Matamu (1976) ialah percubaan Sabah Filem membawa pelakon dan penyanyi top Indonesia ketika itu, Broery Marantika untuk digandingkan dengan penyanyi top Malaysia Sharifah Aini berjaya meraih sambutan hangat penonton membanjiri panggung.

Sabah Filem menggunakan formula sama dengan membawa pelakon watak crook tersohor Indonesia, Farok Afero berganding dengan pelakon-pelakon Malaysia, Aziz Jaafar, Noor Azizah dan Deddy M Borhan sendiri untuk membarisi filem Pendekar (1977).

Kolaborasi antara pelakon dua negara serumpun ini bertujuan  menghasilkan filem-filem Melayu yang diharap berupaya menembusi pasaran Indonesia. Tetapi usaha Sabah Filem ini gagal kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia bagi melindungi pasaran filem tempatan mereka.

Apa pun keberanian Deddy M Borhan sebagai produser persendirian memang patut dipuji.

Usaha yang dimulakan oleh beliau pada tahun-tahun akhir 70an ini patut diteruskan sehingga hari ini oleh pihak-pihak berwajib yang bertanggungjawab terhadap industri perfileman kita. Kenapa tiada kesinambungan dalam usaha mencari pasaran baharu di Indonesia?

Dalam masa sama pelakon dan pengarah Jins Shamsuddin memproduksikan filem-filem siri ‘esok’nya.

Bermula dengan syarikatnya Perfima, beliau menghasilkan filem warna pertamanya berjudul Menanti Hari Esok (1977). Filem ini memperkenalkan model Noor Kumalasari sebagai heroin.

Selain ditayangkan di rangkaian panggung-panggung Cathay, Perfima juga mengambil usaha menayangkan sendiri filem Menanti Hari Esok di dewan Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tidak silap aku di Dewan Hamzah, Kelang.

Ini merupakan langkah permulaan syarikat tempatan Bumiputera menceburi bidang penayangan dan pengedaran filem tempatan.

Usaha ini mati sekerat jalan – gagal. Sekali lagi persoalan sama timbul. Kenapa tidak ada kesinambungan usaha ke arah ini oleh pihak berwajib sehingga ke hari ini?

Kegigihan dan semangat untuk mengembalikan dan memartabatkan filem Melayu dilakukan oleh penggiat-penggiat filem ketika itu memang hebat dan mengagumkan. Sejarah sumbangan mereka ini tidak boleh dinafikan memenuhi tuntutan - tiada esok tanpa hari ini yang dibina dengan sejarah semalam.

Ketika semua ini berlaku, aku baru mencari tapak dalam bidang perfileman, khususnya dalam pembikinan filem-filem iklan selepas aku berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sebaran am dari ITM, sekarang UiTM, Shah Alam pada 1977.

Banyak masa terluang aku gunakan menonton filem-filem yang ditayangkan di panggung-panggung sekitar KL tanpa mengira filem-filem Melayu, Barat, Hong Kong, Hindustan, Tamil dan menghadiri tayangan-tayangan filem di kedutaan-kedutaan asing.

Aku menjadi seorang pencandu filem.

Aku berinteraksi dengan rakan-rakan yang sama minat dalam filem. Peluang ini membolehkan aku menambah ilmu dan pengetahuan tentang filem dan sejarah filem dunia.

Dari pendedahan kami kepada filem-filem dari berbagai pelosok dunia dan perbincangan serta sembang-sembang sesama kami itu mencetuskan satu persoalan.

Apakah kemajuan dan pencapaian filem-filem Melayu cukup sekadar dengan kutipan boxoffice filem-filem keluaran Sabah Filem dan filem-filem siri ‘esok’ Jins Shamsuddin?

Apakah tugas lebih penting dan ultimate yang dituntut dari penggiat-penggiat filem oleh industri filem Melayu ketika itu? Aku akan jelaskan minggu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...