Ahad, 1 Jun 2014

P Ramlee: Bukan perjuangan belum selesai tapi...

TIGA hari lalu bersamaan dengan 29 Mei 2014, genaplah 41 tahun legenda bangsa Melayu dan Malaysia umumnya, P Ramlee meninggalkan kita.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang dan meninggal dunia pada 29 Mei 1973 di Kuala Lumpur ketika berusia baharu 44 tahun.

Minggu ini aku rasa terpanggil untuk menulis tentang Seniman Agung ini sempena kita mengingati 41 tahun pemergian Allahyarham menghadap Yang Maha Esa.

Terlebih dahulu aku ingin menyatakan tulisan aku mengenai tokoh legenda besar ini bukan daripada kaca mata seorang ahli akademik, pengkaji sejarah, seorang ahli politik dan bukan juga daripada pandangan seorang pengagum dan peminat fanatik beliau. Tulisan aku ini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman aku dari zaman kanak-kanak sehingga aku memasuki alam remaja dan membesar ke alam dewasa. Aku dikelilingi dengan aura P Ramlee melalui lagu-lagunya dan filem-filemnya. Aku berusia 19 tahun dan berada di tingkatan enam atas ketika P Ramlee meninggal dunia empat dekad lalu.

Aku melihat dan memahami keadaan ketika P Ramlee berada di puncak kegemilangannya ketika berada di Singapura dan seterusnya zaman kemerosotan dan kejatuhannya di Kuala Lumpur. Satu perjalanan hidup dan jatuh bangunnya seorang seniman, seorang hamba seni yang terlalu obses dengan kerja dan karya seninya. Dunianya hanyalah filem, filem dan filem. Aku rasa memang sukar untuk orang kebanyakan untuk memahami ketaksuban dan ‘kegilaan’ seorang bernama P Ramlee terhadap seni filem.

Aku menulis sebagai seorang pembikin filem. Kami mengarah filem Melayu. Apa juga pengalaman yang pernah dilalui oleh P Ramlee sebagai pembikin filem, pengalaman itu jugalah yang telah dan bakal terus aku lalui. Onak duri kehidupan yang pernah dilalui oleh P Ramlee tidak mengecualikan sesiapa saja di Malaysia yang mahu dan bercita-cita untuk duduk di kerusi pengarah – director’s chair!

Sepak-terajang, tindas-menindas, pijak-memijak dalam dunia perfileman kita tiada bezanya dari zaman P Ramlee hinggalah sekarang. Masalah modal dan panggung untuk tayangan masih belum selesai dari zaman P Ramlee sehingga sekarang. Apa lagi masalah nombor wahid – cetak rompak!

Keadaan ini ditambah burukkan dengan budaya mempolitikkan seni demi survival kelompok tertentu orang-orang politik. Mungkin ada yang meragui kenyataan aku ini. Aku menulis berdasarkan kenyataan dan pengalaman. Cuba kita lihat secara jujur isu-isu melibatkan artis-artis kita, terutamanya sejak awal 80an. Isu-isu berkaitan dengan artis lebih menjurus kepada bentuk divertion – untuk mengalih perhatian massa. Contoh paling klasik ialah isu rambut panjang pada 1992. Penyanyi dan kumpulan rock berambut panjang tidak dibenarkan muncul di RTM, kononnya membawa kepada keruntuhan moral anak-anak muda. Betul ke?

Apakah hasil peraturan cetusan daripada minda seorang pak menteri ini, moral rakyat Malaysia daripada kanak-kanak sekolah rendah hingga ke golongan remaja, dewasa dan orang-orang tua makin bertambah baik sekarang? Kita perlu jujur pada diri kita dalam mencari dan memberi jawapan terhadap isu moral ini. Jawapannya ada depan mata kita.

Apa aku saksikan ialah isu rambut ketika itu digembar-gemburkan untuk menutup suara-suara ketidakpuasan penggiat seni, terutamanya pembikin filem dan drama tv terhadap agihan slot dan modal oleh Kementerian Penerangan kepada produser-produser tempatan (baca Melayu). Kami yang terlibat dalam pembikinan filem dan drama dipinggirkan. Tiba-tiba wujud satu studio gergasi HVD memonopoli produksi drama untuk siaran di RTM dengan tenaga kerja ramai dibawa dari Hong Kong. Produser tempatan hanya dapat tulang sedangkan daging dan isi dibaham oleh studio gergasi yang tiba-tiba muncul itu. Apa jadi kepada HVD sekarang? Tinggal batu nisan!

Kesimpulannya, isu rambut panjang 1992 itu adalah salah satu contoh klasik bagaimana artis digunakan menutup salah laku dan rasuah pihak tertentu ketika itu. Apakah senario serupa masih berlaku sekarang?

Berbalik semula kepada P Ramlee, aku mula mengenali karya seni beliau melalui lagu-lagunya. Kebanyakannya adalah lagu-lagu yang terdapat dalam filem-filem lakonan dan arahannya. Pada tahun-tahun awal 60an lagu filem-filem Melayu disiarkan oleh Radio Malaya dan Radio Singapura sebagai salah satu cara dan bahan promosi sebelum dan ketika sesuatu filem itu ditayangkan.

Aku masih ingat mendengar lagu Menceceh Bujang Lapok petikan dari filem Seniman Bujang Lapok (1961) melalui radio transistor kepunyaan arwah datuk aku. Promosi lagu-lagu dari filem melalui radio ini diteruskan walaupun televisyen mula diperkenalkan pada 1963.

Di antara lagu hit P Ramlee sebelum fenomena pop yeh yeh melanda generasi muda pada 1965 ialah Yang Mana Satu dari filem Labu Labi (1962), Jangan Tinggal Daku, Di Manakan Ku Cari Ganti dari filem Ibu Mertuaku (1962), Aci Aci Buka Pintu dari filem Nasib Si Labu Labi (1963), Selamat Pengantin Baru dari filem Madu Tiga (1964), Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1964) dan banyak lagi.

Filem pertama melibatkan P Ramlee yang aku tonton berjudul Panggilan Pulau (1954) arahan S Ramanathan. Aku bukan menonton di panggung tetapi melalui tayangan di televisyen hitam putih pada 1964. Aku berusia 10 tahun ketika itu. Televisyen Malaysia mula menayangkan filem-filem Melayu seminggu sekali selepas setahun televisyen diperkenalkan pada 1963. Melalui slot ini banyak filem awal lakonan P Ramlee, terutamanya yang diproduksikan pada tahun-tahun sebelum 1957 ditayangkan.

Di antara filem-filem lakonan P Ramlee yang aku tonton melalui televisyen Malaysia ialah Sejoli (1951) arahan BS Rajhans, beliau juga merupakan orang yang mengesan bakat seni P Ramlee ketika melihatnya menyanyi di satu pertunjukan di Pulau Pinang dalam rangka jelajahnya untuk mencari bakat baharu.

Filem-filem P Ramlee yang aku tonton di panggung adalah kebanyakannya filem-filem arahannya ketika di Studio Merdeka, Ulu Kelang. Hasil karyanya pada zaman kemerosotan dan kejatuhannya.

Merenung kembali sejarah jatuh bangunnya P Ramlee membuat aku berfikir yang P Ramlee telah menentukan hala tuju dan asas perjuangan untuk semua penggiat seni dan karyawan tanpa mengira bangsa perlu lakukan untuk memartabatkan seni muzik dan filem kita. Perjuangan P Ramlee sudah selesai. Hanya yang belum selesai hingga sekarang ialah masalah dalam industri seni kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...