Ahad, 10 Ogos 2014

ABANG: Kejutan daripada Rahim Razali

GELOMBANG baharu perfileman tanah air atau Malaysian new wave cinema bermula pada 1981 dengan lahirnya filem Abang arahan sulung Rahim Razali.

Setahun sebelum itu, Othman Hafsham telah menghasilkan filem Adik Manja (1980) yang lari dari kebiasaan acuan filem-filem Melayu arus perdana.

Walaupun filem Adik Manja meninggalkan jauh filem-filem Melayu lain ketika itu dari segi teknikal dan cara penceritaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan cinematic, filem ini tidak boleh dianggap pencetus kepada gelombang baharu filem Malaysia.

Ini adalah kerana, filem Adik Manja merupakan satu cerita adaptasi daripada skrip Hong Kong, Who’s baby in the Classroom yang diolah semula oleh Othman Hafsham untuk memenuhi tuntutan dan milieu tempatan.

Othman Hafsham berjaya membawa nafas segar dan baharu kepada filem Melayu terutamanya filem-filem genre komedi. Beliau berjaya menghasilkan filem komedi situasi yang tidak memaksa penonton ketawa dengan gelagat kurang cerdik dan aksi slap stick kebadutan watak-watak yang dipaparkan seperti kebanyakan filem-filem komedi yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah veteran dari Singapura ketika itu.

Isu masalah remaja yang lebih universal sifatnya diangkat oleh Othman Hafsham dalam Adik Manja. Masalah pertembungan pemikiran dan nilai hidup baharu dengan lama dalam menangani masalah kehidupan semasa.

Gelagat Cikgu Azmi yang diperankan oleh pendatang baharu, Dharma Harun Al Rashid yang bukan klise dan unconventional sehingga menimbulkan kekecohan kepada tenaga pengajar lain dan pelajar-pelajar di sebuah sekolah swasta perempuan.

Isu masalah sosial melibatkan pergaulan bebas remaja sehingga melahirkan bayi sebelum berkahwin. Kehadiran bayi si Adik Manja inilah yang mengharu-birukan suasana di sekolah swasta tersebut.

Di tengah-tengah kebanjiran filem-filem komedi style atau gaya lama seperti filem Da Di Du (1981), Setinggan (1981) arahan Aziz Sattar dan filem Si Luncai (1981) arahan Omar Rojik, Othman Hafsham dengan filem Adik Manja berjaya membawa angin perubahan lebih segar dan baharu – satu turning point.

Kejayaan Othman Hafsham itu memberi semangat, kekuatan dan inspirasi kepada penggiat dan pembikin filem generasi baharu untuk membawa perubahan kepada filem-filem Melayu.

Jika filem Adik Manja berjaya merubah gaya penceritaan dan pendekatan cinematic filem-filem Melayu bergenre komedi, bagaimana pula dengan filem-filem Melayu dari genre yang lain?

Di tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, selain penghasilan filem-filem komedi, produser-produser Melayu banyak menghasilkan filem-filem bergenre melodrama. Filem-filem melodrama ini kebanyakannya gagal mengangkat isu-isu semasa dan terkini yang sedang melanda bangsa Melayu ketika itu.

Filem-filem itu antaranya seperti Dia Ibuku, Langit Tidak Selalu Cerah, Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Potret Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Ribut Barat, Toyol dan Jejak Bertapak masih membawa tema cerita dan isu-isu lama dan yang tidak relevan dengan perkembangan hidup rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.

Mudah cakap, perubahan filem-filem Melayu ketika itu cuma pada warnanya sahaja sedangkan cerita dihasilkan masih macam cerita filem Melayu zaman hitam putih. Tiada perubahan dan kemajuan. Masih tersangkut di takuk lama.

Suasana politik tanah air ketika itu sedang rancak mengalami perubahan. Negara sedang bergerak dari sebuah negara berasas pertanian dengan rancangan Buku Hijaunya mula bertukar menuju ke arah menjadi negara berasaskan industri dan penswastaan.

Dikenali sebagai persyarikatan Malaysia – Malaysia Incorporated yang dicetuskan oleh perdana menteri ke empat Malaysia.

Rakyat mula digerakkan untuk menganut satu bentuk kehidupan yang berlandaskan sistem ekonomi bebas. Mula muncul tenaga dan tokoh-tokoh korporat Melayu yang dilahirkan oleh sistem ekonomi ini.

Ketika cara hidup dan cara mencari rezeki mula berubah, bagaimana dengan filem-filem Melayu ketika itu? Ikut samakah berubah? Nasib baik suasana membosankan melanda industri perfileman tanah air yang aku nyatakan di atas tadi tidak berlarutan.

Di tengah-tengah kelesuan dan kebosanan itu muncul seorang aktivis teater, pelakon drama dan personaliti tv yang lebih dikenali sebagai pengulas sukan bernama Rahim Razali. Beliau dengan berani mencuba nasib menduduki kerusi pengarah filem. Satu langkah yang mengejutkan mereka yang sedia ada dalam industri filem Melayu ketika itu.

Aku ketika itu secara peribadi berasa skeptikal juga dengan kemunculan Rahim Razali sebagai pengarah filem. Aku cuma tahu susuk ini sebagai pelakon drama tv dan pentas teater. Bolehkah seseorang tanpa latihan khusus dan latar belakang filem mengarahkan sebuah filem?

Dalam masa sama beliau juga berlakon memegang watak utama. Apa pun semua persoalan ini terjawab apabila filem sulung garapan Rahim Razali berjudul Abang berjaya disiapkan dan ditayangkan kepada umum mulai 7 Mei 1981.

Filem Abang dengan taglinenya, ‘Adakah dia jembalang atau hantu atau syaitan atau...’ merupakan filem pertama gelombang baharu Malaysia atau Malaysian new wave cinema.

Rahim Razali melakukan satu kejutan berani dengan Abang. Filem sulung Rahim Razali ini sememangnya satu gelombang baharu melanggar dan menghempas pantai karat berlumut jurassik perfileman Melayu.

Gelombang baharu yang memang ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh penggiat, pembikin, peminat dan penonton filem Melayu yang hauskan dan mahukan kemajuan dan perubahan.

Abang mengangkat isu perubahan hidup yang terjadi kepada orang Melayu. Keadaan orang-orang Melayu mula menikmati kekayaan dan kejayaan dalam bidang ekonomi hasil dari Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu. Melalui naratif Abang, Rahim memaparkan perubahan sikap dan terhakisnya nilai-nilai budaya kehidupan orang-orang Melayu.

Perubahan dan keruntuhan nilai-nilai ini disebabkan pengaruh budaya barat yang dianuti oleh orang-orang Melayu dalam perlumbaan mencari kekayaan dan kejayaan dalam dunia korporat.

Melalui Abang, Rahim mengajak penonton berfikir dan mengambil iktibar daripada paparan watak-watak dalam keluarga besar yang berabang sulungkan Fuad (Rahim Razali) melalui konflik dan kecelaruan bila diduga dengan kekayaan yang diperoleh dalam bisnes bertaraf korporat.

Isu kehilangan jati diri bangsa Melayu cuba dikupas oleh Rahim melalui naskhah sulungnya ini. Sebagai seorang pemikir dan pembikin filem yang sedar, Rahim cuba memberi penyelesaian kepada masalah yang diangkatnya melalui naskhah Abang.

Pada Rahim, orang Melayu perlu kembali semula kepada akar umbi budaya dan jati diri mereka walau setinggi mana kejayaan berhasil diraih. Dalam konteks ini, kejayaan dalam dunia perniagaan bertaraf korporat perlu diseimbangkan dengan keluhuran keaslian budaya warisan bangsa Melayu Islam.

Sama ada disedari atau tidak oleh Rahim Razali sendiri yang beliau telah membawa filem-filem Melayu ke satu aras baharu. Aku secara peribadi menganggap filem Abang arahan Rahim Razali adalah pencetus gelombang baharu – Malaysian new wave cinema. Terima kasih Datuk Rahim Razali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...