Ahad, 31 Ogos 2014

1985- Kenapa cuma 5 filem?

PERUBAHAN dibawa oleh Rahim Razali lewat filem-filemnya – Abang (1981), Pemburu (1982), Matinya Seorang Patriot (1984) dan Tsu-Feh Sofia (1985) tidak berjaya menghasilkan kesan perubahan yang diharapkan oleh kami daripada pembikin dan peminat filem golongan muda ketika itu.

Aku lihat sebahagian besar golongan penonton filem-filem Melayu masih liat lagi untuk menerima perubahan ini.

Aku ingin menekankan di sini, perubahan yang aku maksudkan sepanjang tiga minggu lalu aku menulis tentang gelombang baharu cinema panggung Melayu dan sumbangan pengarah Rahim Razali dalam mencetuskan the Malaysian new wave cinema ialah dari aspek tema, isu dan inti pati paling penting sesebuah filem iaitu cerita. Apa cerita mahu disampaikan?

Aku bukan menekankan isu teknik persembahan visual dan persalinan kulit filem-filem Melayu dari hitam putih kepada warna.

Dari segi teknikal filem-filem Melayu ketika itu sudah ada peningkatan yang meyakinkan.

Elemen tema, isu dan cerita yang dinaratifkan dalam penghasilan sesebuah filem adalah kunci segala-segalanya.

Cerita yang diangkat oleh mana-mana pengarah menuntut kefahamannya tentang budaya, masalah bangsa dan tanggungjawab sosialnya kepada kesinambungan tamadun bangsanya.

Nilai-nilai ini mesti ada kepada setiap pengarah filem yang peka dan sedar serta tahu mengapa dia memilih untuk memikul tugas dan tanggungjawab seorang pengarah filem.

Kefahaman inilah aku tekankan sejak tiga minggu lalu bila aku menulis tentang isu kelemahan tema dan cerita-cerita yang diangkat dalam filem-filem sebelum dan selepas lahirnya filem Abang arahan Rahim Razali pada 1981.

Antara 1981 sehingga tahun-tahun akhir 80-an tidak banyak perubahan berlaku dari segi peningkatan mutu cerita dan gaya persembahan filem-filem kita.

Keadaan ini berlaku kerana pengarah-pengarah filem dari generasi lama masih menguasai industri filem ketika itu. Mereka gagal untuk memahami kepentingan tema dan isu yang dipilih untuk diangkat dalam filem-filem mereka bagi meningkatkan daya pemikiran penonton Melayu.

Di celah-celah penguasaan generasi lama inilah nama-nama seperti Rahim Razali, Othman Hafsham, Shahrom Mohd Dom dan Yassin Salleh cuba membawa kelainan dari aspek tema dan isu dalam filem-filem mereka.

Filem-filem yang diterbitkan dalam tahun-tahun 80-an juga agak tidak konsisten jumlah bilangannya. Dalam tahun 1981 terdapat 15 filem diterbitkan.

Cuma filem Abang paling menonjol kerana pembaharuan tema yang dibawanya. Pada 1982 terdapat 13 filem dihasilkan dengan filem Langit Petang arahan Shahrom Mohd Dom membawa perubahan baharu dari segi tema dan isu.

Filem ini salah satu filem terawal era filem Melayu warna yang diadaptasi dari novel tulisan A Samad Said.

Shahrom cuba mengangkat isu masalah  tanah milik orang-orang Melayu yang mula terhakis akibat ketamakan cokong-cokong bangsa Melayu sendiri yang mengejar keuntungan tanpa memikirkan masa depan bangsanya sendiri. Inilah masalah orang-orang Melayu yang mula membiak ketika itu.

Kesannya dirasai sekarang setelah lebih 30 tahun peringatan dan amaran itu digarap oleh Shahrom lewat filem Langit Petang.

Shahrom Mohd Dom hilang terus dari industri filem tanah air selepas menghasilkan magnum opusnya - Langit Petang.

Pada aku beliau merupakan contoh pengarah filem yang faham dan sedar tanggungjawab sosial yang perlu digalas oleh seseorang pengarah filem dalam memberi kesedaran tentang nasib dan masa depan bangsanya.

Filem Mekanik arahan Othman Hafsham paling menonjol dari jumlah 10 filem yang dihasilkan pada tahun 1983.

Ada perkembangan menarik pada tahun ini apabila pengarah veteran Jamil Sulong berjaya mengangkat isu kemiskinan petani Melayu melalui filem Ranjau Sepanjang Jalan yang merupakan adaptasi dari novel karya Shahnon Ahmad.

Seperti filem Langit Petang yang diadaptasi dari novel, Ranjau Sepanjang Jalan juga kecundang dari segi kutipan walaupun berjaya mengangkat isu-isu penting yang melanda bangsa Melayu.

Seterusnya pada 1984, sekali lagi Rahim Razali mengkaryakan kelainan melalui filem ketiga arahannya, Matinya Seorang Patriot yang bukan terbitkannya sendiri.

Kali ini Rahim hanya mengarah sedangkan tugas penerbitan terletak di bahu seorang produser muda, Zarul Hisham Al Bakri melalui syarikatnya ZSA Filem Productions.

Aku berpeluang menjadi penolong pengarah dan pengarah seni kepada Rahim Razali. Filem ketiga Rahim ini ialah di antara 14 filem yang dihasilkan pada tahun itu. Jumlah ini merupakan paling banyak dihasilkan sepanjang 4 tahun pertama tahun 80-an. 

Tahun berikutnya, 1985 hanya lima filem yang dihasilkan. Tiba-tiba jumlah filem dihasilkan merosot dengan drastik sekali.

Antara filem-filem yang diterbitkan pada tahun ini ialah Ali Setan arahan Jins Shamsuddin, Anak Niat dan Bujang Selamat arahan Z Lokman.

Tahun ini juga, melihat kemunculan seorang lagi pengarah generasi baharu, Mahadi J Murat menghasilkan filem pertamanya Roda-roda.

Rata-rata filem-filem ini gagal di boxoffice. Kenapa kemerosotan ini terjadi tidak dapat dipastikan secara mutlak. Aku lihat masalah ekonomi yang tidak merangsangkan melanda negara ketika itu.

Menonton wayang bukan prioritas kepada kebanyakan orang.

Kemunculan saluran televisyen baharu TV3 menyumbang juga kepada penonton menjauhi menonton filem-filem Melayu di panggung.

Selain merupakan saluran percuma, TV3 menghidangkan program-program lebih menarik dan terkini berbanding dengan program-program siaran RTM.

TV3 memulakan siarannya pada 1 Jun 1984.

Tidak dapat dinafikan kemunculan stesen baharu ini melahirkan satu fenomena baharu dan kegemparan yang menarik kepada budaya menonton televisyen negara ini.

Untuk pertama kalinya, rakyat negara ini disajikan dengan program-program dari stesen televisyen swasta yang tidak bersifat propaganda.

Rakyat didatangi satu kejutan budaya baharu menonton program-program yang pastinya lebih menarik dan terkini.

Pada pengamatan aku, satu lagi sebab yang boleh diambil kira tentang kemerosotan penghasilan filem-filem tempatan pada tahun itu ialah suasana politik yang melanda negara ketika itu.

Pergolakan politik melibatkan isu kafir-mengkafir antara dua parti politik Melayu – Pas dan Umno sedang hangat dan berupaya mendinginkan kegiatan penghasilan filem-filem tempatan.

Isu ini berlarutan dari tahun 1984 sehingga 1985.

Tahun ini juga menyaksikan terjadinya peristiwa Memali. Insiden berdarah ini berlaku pada 19 November 1985 menyaksikan 14 orang awam dan 4 anggota polis terkorban.

Selepas hampir 30 tahun, bila aku imbas kembali apa terjadi rasanya tidak silap jika aku beranggapan suasana pergolakan politik, kemurungan ekonomi dan kemunculan TV3 merupakan jawapan kepada kenapa hanya 5 filem sahaja dihasilkan pada 1985.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...