Ahad, 14 Disember 2014

Camaraderie penggiat sinema baharu Malaysia

SATU lagi nama besar dalam industri perfileman tanah air pernah aku berkolaborasi sebagai penolong pengarah dan pengarah seni ialah pengarah filem tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Merupakan satu-satunya pengarah wanita negara paling menonjol dan produktif menghasilkan filem-filem membawa tema lain dari kebiasaan filem-filem arus perdana tempatan.

Filem-filem arahannya yang melekat di hati penonton tempatan sehingga kini bermula dengan filem arahan sulungnya pada 1992 berjudul Selubung, diikuti dengan filem-filem Ringgit Kasorrga (1995), Layar Lara (1997), Mimpi Moon (2000), Pontianak Harum Sundal Malam (2004), Pontianak Harum Sundal Malam 2 (2005), Waris Jari Hantu (2007), 1957: Hati Malaya (2007) dan paling terkini Tanda Putera (2013) yang mencetuskan kontroversi serta hangat diperkatakan oleh masyarakat awam dan juga orang politik.

Aku menjadi penolong pengarah dan pengarah seni beliau untuk telefilem pertama TV3 berjudul Maria diproduksikan pada 1984. Ketika ini aku belum lagi mengarah filem pertama aku, Kembara Seniman Jalanan (1986).

Telefilem ini dibarisi oleh pelakon-pelakon Fatimah Abu Bakar, Mustapha Nor (Allahyarham), Kee Thuan Chai dan dibantu oleh ramai pelakon-pelakon baharu yang mula menapak dari pentas teater.

Rata-ratanya ramai pelakon pembantu dan tambahan untuk telefilem ini terdiri daripada anak-anak muda aktivis teater yang berpeluang tampil untuk pertama kali dalam sesebuah penerbitan telefilem untuk siaran televisyen. Di antara mereka ialah Rosnah Mat Aris pemeran watak orang gaji kepada keluarga pasangan Maria (Fatimah Abu Bakar) dan Osman (Allahyarham Mustapha Nor).

Pengalaman menarik ketika terlibat dalam produksi telefilem Maria ini ialah proses penggambarannya menggunakan kamera dan filmstock 16milimeter (mm). Produksi filem-filem yang aku terlibat sebelum ini, Kami (1982), Mekanik (1983) dan Matinya Seorang Patriot (1984) menggunakan kamera dan filmstock 35mm.

Untuk pengetahuan pembaca dan penggiat filem generasi sekarang, ketika itu cuma ada dua stesen televisyen iaitu RTM dan stesen swasta TV3 yang baharu memulakan penyiarannya pada 1984.

Penggambaran telefilem Maria ini pada asalnya merupakan program latihan Finas kelolaan Shuhaimi Baba. Program ini bertujuan memberi latihan praktikal kepada karyawan-karyawan muda filem dan peserta bengkel lakonan anjuran Finas.

Walaupun produksi ini merupakan program bengkel latihan, tetapi Shuhaimi mahu memberikan pendedahan kepada peserta-peserta cara-cara pembikinan sesebuah produksi filem secara lebih khusus dan praktikal. Bengkel filem dan lakonan ini menggabungkan tenaga-tenaga profesional dengan peserta-peserta bengkel produksi filem dan lakonan.

Aku diminta oleh Shuhaimi untuk membantu beliau dalam aspek kerja-kerja dan tugas asas penolong pengarah dan pengarah seni untuk telefilem ini.

Walaupun telefilem ini cuma untuk tayangan di televisyen tetapi proses pembikinannya dari peringkat pra produksi, produksi sehingga pos produksi mengikut gerak kerja dan susun atur kerja seperti pembikinan filem cereka untuk tayangan di pawagam.

Jika tidak silap aku, proses terakhir dilakukan di makmal di Australia. Telefilem Maria mendapat sambutan hangat ketika ditayangkan di TV3 ketika itu sehingga diulang tayang beberapa kali.

Selain menjadi telefilem pertama untuk tayangan di stesen televisyen swasta pertama negara, Maria juga salah satu filem yang ditayangkan di festival The First Festival of Malaysian Films, dikelolakan oleh Mansor Puteh atas jemputan British Film Institute di London pada 1988.

Festival ini berkonsepkan penayangan filem-filem pertama arahan pengarah-pengarah muda Malaysia ketika itu. Selain telefilem Maria, filem pertama aku Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Seman (1987) arahan sulung Mansor Puteh turut ditayangkan.

Ditayangkan juga filem pendek animasi, Sang Kancil dan Monyet oleh Hassan Muthalib.

Selepas aku mengarah filem kedua Rozana Cinta 87, sekali lagi aku mendapat peluang berkolaborasi dengan Shuhaimi Baba pada 1990. Kali ini aku menggalas tugas production designer atau pereka produksi untuk filem sulung Shuhaimi Baba berjudul Selubung.

Kelihatan seperti aku ‘turun pangkat’ kerana aku sudah berjaya mengarah dua filem ketika itu. Tawaran untuk mereka ciptakan produksi filem sulung beliau aku terima kerana beberapa sebab.

Sebab utama dan paling asas ialah aku perlu mencari rezeki dan pendapatan untuk meneruskan kehidupan aku dan keluarga.

Keadaan aku lalui ketika itu selepas mengarah filem pertama dan kedua sangat memeritkan. Hubungan aku dengan Finas jadi sangat kurang mesra. Semua ini telah aku cerita dan tuliskan terdahulu dalam kolum ini. Aku telah dianggap ‘musuh’ kepada Finas.

Suasana ini tercetus selepas insiden aku pecahkan pintu Finas kerana isu filem pertama arahanku Kembara Seniman Jalanan dibatalkan penyertaannya tanpa sebab-sebab yang konkrit pada saat-saat akhir di Festival Filem Malaysia ke-6 pada 14 Disember 1986.

Kesan dari hubungan kurang mesra aku dengan Finas itu menyebabkan ramai produser filem dan penerbit drama TV kurang berani mengambil aku mengarah filem atau drama-drama terbitan mereka.

Keadaan ini terjadi kerana kerisauan mereka jika filem-filem dan drama-drama arahan aku akan di ‘gam’ atau diharamkan tayangannya oleh kementerian berkaitan dan pihak berkuasa.

Aku lihat ketika itu ramai produser filem dan penerbit drama TV dihinggapi sindrom ‘takut tak bertempat’ bila melibatkan aku untuk mengarah filem dan drama mereka. Tetapi tidak semua produser dan penerbit berjaya dijangkiti virus sindrom ini. Aku pernah menulis dalam kolum ini menceritakan mengenai sindrom ini.

Sebab lain aku menerima tawaran Shuhaimi ini adalah kerana rasa hormat aku kepada beliau dan semangat camaraderie kami yang mahu melihat filem-filem Melayu maju ke depan.

Beliau juga merupakan salah seorang penggiat filem yang sama terlibat dalam kebangkitan sinema baharu Malaysia pada awal 80an walaupun ketika itu beliau sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang filem dan penerbitan televisyen di National Film Television School (NFTS) dan BBC London di antara 1979 hingga 1982.
Sebelum ke sana, beliau bertugas di RTM sebagai penerbit drama. Selain drama-drama arahan Abdullah Zainol (Allahyarham), drama-drama arahan Shuhaimi juga sering membawa pembaharuan dan kelainan pada zaman RTM bersiaran hitam-putih ketika itu.

Di antara drama beliau yang mencetuskan fenomena ialah drama Ke Arah Mana?

Ke Arah Mana? hasil karya Shuhaimi ini mengisahkan masalah anak-anak muda di kota raya Kuala Lumpur dengan berlatar belakangkan aktiviti satu kumpulan teater. Drama yang mendapat sambutan hangat ini juga melonjakkan nama seorang pelakon baharu, Mior Hashim Manap sehingga meletup ketika itu. Aku juga berlakon dalam drama tersebut. Paling menarik kami semua berlakon menggunakan nama sendiri.

Hampir kesemua pelakon terlibat dalam drama ini merupakan anak-anak teater kumpulan Bengkel Teater Kuala Lumpur. Aku juga merupakan salah seorang anggota kumpulan tersebut yang dibimbing oleh Mustapha Nor (Allahyarham) dan Shuhaimi Baba. Tidak ada seorang pun pelakon-pelakon terkenal dan popular ketika itu terlibat berlakon dalam drama ini.

Aku suka naratif drama ini. Ke Arah Mana? mengangkat isu keresahan anak-anak muda berdepan dengan tekanan hidup di kota. Aku berpendapat Ke Arah Mana? adalah Rebel Without A Course versi Malaysia walaupun di tangan Shuhaimi ia hanya satu produksi untuk drama televisyen. Semangat anak muda filem legenda Rebel Without A Course (1955) arahan Nicholas Ray yang berhasil mengikonkan James Dean, berjaya disuntik oleh Shuhaimi melalui karyanya ini.

Apa yang menarik tentang penggiat-penggiat filem generasi baharu pada awal 80-an ialah hampir kesemua mereka bermula sama ada dari bidang filem iklan, teater dan RTM.

Tujuan dan matlamat kami satu dan sama – menghasilkan filem-filem Melayu bernafas baharu dan segar dengan tema dan isu-isu terkini dan kontemporari.

Walaupun aku sudah mengarah dua filem sebelum ini, atas rasa hormat dan menghargai sumbangan Shuhaimi Baba dalam perjalanan kerjaya seni dan filem aku sejak mengenali beliau pada pertengahan 70-an ketika aku masih menuntut di UiTM, Shah Alam, aku terima tawaran untuk menjadi production designer filem sulung beliau Selubung.

Pengalaman ini akan aku ceritakan pada minggu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...