Ahad, 28 Disember 2014

M Nasir bawa watak Tombiruo?

ADAKAH Datuk M Nasir, Ito dan Pyanhabib yang turut hadir dalam majlis sidang media pra pelancaran filem Tombiruo minggu lalu akan terlibat dalam filem ketiga bakal aku arahkan tidak lama lagi?

Bermacam-macam spekulasi daripada peminat dan pembaca novel Ramlee Awang Murshid tentang kehadiran otai-otai ini terutamanya M Nasir.

Ramai di antara mereka meramalkan watak Ejim aka Tombiruo bakal diperankan oleh M Nasir.

Ini spekulasi pro dan kontra yang menarik dan segar. Aku rasa belum pernah sebelum ini peminat filem dan peminat serta pembaca novel meluahkan pendapat dan pandangan mereka tentang pemilihan pelakon bakal membintangi filem yang diadaptasi dari novel tulisan penulis kesukaan mereka.

Partisipasi peminat dan pembaca novel-novel Ramlee sungguh luar biasa serta di luar jangkaan aku. Aku lihat keadaan ini menjustifikasikan kenapa Ramlee adalah novelis thriller no 1 Malaysia. Alhamdulillah.

Suasana ini berlaku kerana dimungkinkan oleh ruang dan kesempatan untuk melahirkan ledakan maklumat melalui alam siber. Lebuh raya penyebaran maklumat melalui internet memungkinkan Ramlee mendapat reaksi dari peminat dan pembaca tegar novel-novelnya dengan pantas.

Aku dapat fahami daripada reaksi peminat-peminat Ramlee tentang sikap peduli mereka terhadap karya-karya penulis idola mereka ini.

Aku kagum dan teruja dengan sikap peduli dan mengambil berat mereka dalam menentukan siapa pelakon bakal memerankan watak Ejim aka Tombiruo.

Sikap ini adalah manifestasi rasa sayang dan kasih mereka kepada watak Ejim dalam novel Tombiruo. Bukan setakat watak Tombiruo sahaja mendapat perhatian mereka.

Watak-watak lain seperti Amiruddin, Wan Suraya dan Ondo juga diperbincangkan tentang pemilihan dan kesesuaian pelakon yang bakal memerankan watak-watak tersebut. 

Aku meneliti luahan perasaan keterujaan mereka di Facebook atau muka buku Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) bila novel pertama Ramlee ini akhirnya diangkat untuk difilemkan. Aku tidak nafikan keadaan ini bakal membawa aku berkarya dalam satu suasana kerja baharu yang sungguh terkini dan semasa.

Harapan aku supaya interaksi antara Ramlee dan peminat-peminatnya akan berupaya menyumbang kepada kelancaran kefahaman penerimaan mereka tentang konsep mengadaptasikan novel kepada filem. Seharusnya interaksi ini diteruskan sepanjang penggambaran filem Tombiruo dijalankan sehingga selesai kelak.

Berbalik kepada kehadiran sahabat-sahabat lama aku itu, sebenarnya idea untuk menjemput mereka dicetuskan oleh Omar Zaharan, perancang strategi Layar Sunan. Beliau juga merupakan salah seorang tenaga penggerak penting dalam memproduksikan filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

Omar mencadangkan jemputan kepada sahabat-sahabat lama aku ini atas dasar keinginan berkongsi semangat dan rasa bersyukur aku berhasil membuat comeback selepas 27 tahun tidak mengarah filem.

Untuk pengetahuan pembaca, sahabat-sahabat aku ini merupakan tenaga penting yang bersama-sama mencetuskan kesedaran dan kesegaran idea baharu dalam filem dan muzik Melayu hampir 30 tahun lalu melalui filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

Tetapi sebelum sidang media itu berlangsung, kesihatan Omar tidak membolehkannya bergerak cergas. Atas nasihat doktor beliau perlu banyak berehat di samping menjalani rawatan.

Aku maklumkan hasrat dan cadangan Omar yang aku persetujui untuk menjemput rakan-rakan lama yang terlibat dalam filem Kembara Seniman Jalanan ke sidang media tersebut kepada Abid Kamal, rakan kongsi Ramlee dalam syarikat Layar Sunan.

Aku beritahu Abid, aku ingin menjemput M Nasir, Ito Blues Gang, Datuk Ramli Sarip, Pyanhabib dan dR Sam Rasputin yang popular dengan lagu reggae evergreen, Saya Anak Malaysia.

Abid dan Ramlee tidak menghalang permintaan aku itu malah, mereka pula berasa risau kalau otai-otai legenda itu menolak jemputan dari Layar Sunan.

Aku cuba meyakinkan Abid supaya mencuba dahulu kerana aku percaya kepada pegangan sikap – belum cuba belum tahu. Lantas kami berusaha menghubungi mereka untuk jemputan ke sidang media tersebut.

Aku dan Abid berjaya berjumpa mereka secara personal melainkan dR Sam hanya dapat aku hubungi dan menjemputnya melalui telefon.

Alhamdulillah, mereka semua setuju hadir memberi sokongan kepada aku. Kami juga berjaya meminta M Nasir, Ramli Sarip dan Ito untuk membuat persembahan menyampaikan satu lagu. Terima kasih, brothers atas sokongan lu orang!

Kita merancang tetapi penentuan muktamad atas kuasaNYA. Pada hari tersebut cuma M Nasir, Ito dan Pyanhabib mampu hadir. DR Sam pada saat-saat akhir memberi tahu aku melalui telefon dia tidak dapat hadir kerana perlu ke Johor Bahru petang itu atas urusan peribadi yang penting tidak boleh dielakkan. Tiada masalah, brother. Lu real!

Ketika aku, Abid dan Pyanhabib bertemu Ramli Sarip hendak menjemputnya, beliau memberitahu kami yang beliau akan berada di Pulau Pinang untuk satu program sehari sebelum sidang media kami diadakan.

Beliau berjanji akan terbang balik ke Kuala Lumpur dengan penerbangan tengah hari dan dijangka sampai di KLIA dalam lingkungan 1.30 ke 2 petang. Perancangan yang agak selesa kerana sidang media dijadualkan bermula jam 3 petang.

Pada petang Selasa sebelum dan ketika sidang media pra pelancaran filem Tombiruo berlangsung di Karangkraf, hujan lebat. Ito tiba dalam hujan setengah jam sebelum sidang media dimulakan.

Kami menghubungi M Nasir ketika itu masih dalam perjalanan dari studionya di Sungai Buluh. Dia tersangkut dalam hujan dan kesesakan jalan raya. Kami cuba hubungi Ramli Sarip – panggilan kami tiada jawapan.

Sebaik sidang media hendak dimulakan, Ramli Sarip menghubungi aku untuk memberitahu beliau sudah sampai di KLIA dari Pulau Pinang. Menurut Ramli hujan lebat di KLIA. Beliau memberitahu aku yang dia terpaksa membatalkan kedatangannya ke sidang media kami. Ramli ada satu lagi acara di Balai Seni Visual Negara pada jam 5 petang.

Dengan hujan lebat dan kesesakan jalan raya beliau khuatir akan berdepan dengan kesuntukan masa dari KLIA untuk ke Karangkraf, Shah Alam dan seterusnya ke Balai Seni Visual Negara, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Aku faham keadaan dihadapi oleh brother gua ini – no problem.

Sebaik sahaja majlis sidang media dimulakan, M Nasir muncul. Lega aku rasakan, sekurang-kurangnya beliau dan Ito boleh membuat persembahan walaupun tanpa Ramli Sarip.

Lagu Siapa Orang Kita petikan dari filem Kembara Seniman Jalanan disampaikan dalam versi santai oleh M Nasir dengan petikan gitar dan diiringi blues harp dari Ito. Lagu ini dengan lirik mahalnya membawa seribu satu macam pengertian, terutama kepada mereka yang berasakan perjuangan orang-orang seni dan karyawan tanah air mesti diteruskan. Garis penamat kemenangan masih jauh lagi!

Cetusan dari ilham dan usaha untuk menggabungkan tiga ikon ini di sidang media tempoh hari tidak berhasil sepenuhnya. Apa kata digabungkan tiga legenda muzik tanah air ini, M Nasir, Ito dan Ramli Sarip menyanyi dan merakamkan lagu tema untuk filem Tombiruo? Aku rasa ini satu usaha menarik. Bagaimana reaksi peminat? 

Kepada brother-brother gua ini, diucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan semangat untuk aku memulakan langkah mengarah filem Tombiruo.

Terima kasih tidak terhingga kepada wartawan-wartawan dari media cetak dan elektronik atas kerjasama yang diberikan.

Kepada pembaca dan peminat Ramlee Awang Murshid terutamanya ahli-ahli kelab RAMFC terima kasih banyak diucapkan. Kami di Layar Sunan berharap kerjasama, pendapat, pandangan dan komen-komen anda semua diteruskan untuk kita sama-sama membantu menjayakan Tombiruo – Penunggu Rimba!

Akhir sekali aku mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2015 kepada pembaca Lantera, peminat, penggiat dan penyokong filem-filem Malaysia. Moga 2015 lebih menyinar untuk filem Malaysia. Insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...