Ahad, 23 Ogos 2015

Aku graduan filem lulusan Cathay Melaka

PENGALAMAN pertama kali menonton filem Chuchu Datok Merah arahan M Amin di panggung Cathay Melaka bersama arwah bapaku pada 1963, membuat aku mula menjadi pencandu wayang seawal usia 9 tahun.

Tetapi peluang menonton wayang di panggung terhad buat diri aku yang masih bersekolah rendah dalam darjah tiga ketika itu. Ditambah lagi dengan jarak rumah dan kampung aku terletak jauh dari bandar Melaka.

Boleh dikatakan hampir kesemua keluarga rakan sebaya di sekolah dan sekampung aku tidak meletakkan aktiviti menonton wayang di pawagam sebagai satu kegiatan sosial keluarga. Konsep ibu bapa meluangkan masa dengan anak-anak belum ada lagi dalam kamus kehidupan orang-orang Melayu di kampung dan di luar bandar ketika itu.

Apatah lagi aku yang ketika itu duduk di bawah jagaan arwah datuk dan nenek sedangkan keluargaku bermastautin di Singapura kerana bapaku bekerja di sana.

 Pada tahun akhir 50-an dan awal 60-an, orang Melayu masih dibelenggu kemiskinan. Pada 1963, Tanah Melayu atau Malaya baharu 7 tahun merdeka daripada penjajahan British.

Ketika itu, negara kita masih merupakan negara pertanian di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama. Kepesatan hidup rakyat tidak sekalut sekarang.

Masih relaks serta bergerak perlahan dan tenang. Mungkin sebab itu agaknya lambang parti Perikatan yang memerintah ketika itu ialah kapal layar - belayar di laut sambil dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. (Perikatan bertukar menjadi Barisan Nasional pada 1974 selepas peristiwa 13 Mei 1969).

Kesimpulannya, aktiviti berkaitan seni dan hiburan seperti filem bukan keutamaan kepada masyarakat Melayu di luar bandar. Walaupun televisyen mula diperkenalkan pada 1963, kemampuan memiliki peti televisyen di kalangan orang Melayu sangat terbatas.

Selain kekangan ekonomi, masih banyak lagi kampung di luar bandar belum upaya nikmati elektrik.

Dalam kalangan rakan-rakan sekolah dan sedarjah pun hampir tiada berminat dengan filem. Aku beruntung kerana belajar di sekolah rendah aliran Inggeris, Alor Gajah English School di mana aku berpeluang berinteraksi dengan rakan bangsa Cina dan India.

Aku dapati rakan-rakan Cina lebih berminat bercerita tentang filem terbaharu terutamanya filem-filem Barat. Mereka juga punya keupayaan kewangan untuk menonton filem di pawagam.

Selepas pengalaman pertama kali menonton filem Chuchu Datok Merah di panggung Cathay Melaka aku mula berani pergi ke bandar Melaka untuk menonton wayang.

Bersama seorang rakan Cina sedarjah bernama Fang Kee Kuan, kami sering ke bandar Melaka untuk menonton. Keluarga rakan aku ini menjalankan perniagaan kedai kopi (sekarang dikenali sebagai kopitiam) di pekan Alor Gajah.

Aktiviti ini kami lakukan dari 1963 sehingga 1966 sebelum kami melangkah ke sekolah menengah. Selalunya dengan berbekal wang dikumpul daripada duit saku harian sekolah, kami akan naik bas bertambang 25 sen ke bandar Melaka pada sebelah tengah hari selepas sekolah untuk tonton wayang. Panggung kami tuju pastinya panggung Cathay.

Kenapa panggung Cathay menjadi pilihan kami? Pada era 60-an, panggung-panggung kepunyaan syarikat Cathay memberi kemudahan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah membeli tiket melalui sistem dikenali sebagai concession ticket for school children.

Kemudahan dan keistimewaan ini tidak terdapat di panggung-panggung Shaw Brothers.

Kami hanya perlu membeli tiket kelas tiga berharga 65 sen dan kemudian membawa tiket tanpa nombor tempat duduk itu ke kaunter tiket kelas pertama berharga RM1.25 untuk mendapatkan nombor tempat duduk. Senang cerita - beli tiket kelas tiga tapi menonton di kelas pertama. Memang berbaloi!

Dengan penjimatan melalui sistem concession ticket ini membuka peluang aku menonton banyak filem Barat yang ditayangkan di panggung Cathay Melaka.

Tidak dapat aku lupakan dengan hanya tiket berharga 65 sen untuk pertama kalinya aku berpeluang menonton filem Perancis, Any Number Can Win (1963) arahan Henri Verneuil (1920-2002) dan dibintangi Alain Delon.

Itulah pertama kali aku mengenali pelakon Alain Delon. Satu nama besar dalam filem keluaran Perancis dan Hollywood selain dikenali ikon dalam dunia fesyen dan produk kosmetik lelaki era 80-an hingga sekarang.

Filem Any Number Can Win dalam bentuk hitam putih dan bidang luas ini diadaptasi daripada novel The Big Grap karya John Trivian sangat meninggalkan kesan kepada aku.

Filem ini mengisahkan rompakan dilakukan sekumpulan bekas banduan di satu kasino di Cannes.

Paling aku ingat sehingga sekarang babak ratusan kepingan wang kertas hasil rompakan bertabur dalam kolam renang yang gagal dimiliki Alain Delon dan kumpulan perompak.

Satu lagi filem aku tonton dengan concession ticket yang meninggalkan kesan mendalam kepada aku ialah filem The Naked Prey (1966) arahan dan lakonan Cornel Wilde (1912-1989). Filem dalam bentuk warna dan layar lebar ini aku tonton ketika di darjah 6 pada 1966.

Filem ini mengisahkan seorang pemandu pelancong rombongan safari kulit putih British terpaksa menebus kesalahan dan kebiadaban dilakukan oleh sekumpulan pelancong bangsanya terhadap pantang-larang dan adat-resam kaum Asli Afrika ketika sertai rombongan pelancongan safari di benua tersebut.

Semua pelancong kulit putih dalam kumpulan itu dibunuh kaum Asli kecuali pemandu pelancong yang diperankan Cornel Wilde. Dia diberi peluang menyelamatkan diri dengan syarat dia mesti lari dalam keadaan bogel daripada buruan kaum Asli itu sehingga dia berjaya sampai ke kubu askar British.

Filem Any Number Can Win dan The Naked Prey ini walau sudah berusia hampir 50 tahun tetapi masih boleh ditonton melalui Youtube.

Panggung Cathay Melaka juga sering menawarkan pakej menonton filem-filem yang memenangi anugerah Academy Award kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar. Aku dan murid-murid lain dibawa dengan bas-bas sewa khas oleh guru-guru kami untuk program menonton filem-filem tersebut.

Melalui pakej ini, ketika di darjah 6 aku berpeluang menonton filem ikonik dan evergreen - The Sound Of Music (1965) arahan Robert Wise (1914-2005).

Filem ini memenangi anugerah Academy Award 1966 untuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Mulai 1967, aku melangkah ke sekolah menengah. Aku bersekolah menengah di High School, Melaka dan duduk di asrama.

Suasana baharu ini makin membuka peluang luas untuk aku meneruskan minat menonton wayang. Sekali lagi panggung Cathay Melaka menjadi ‘sekolah filem’ tidak rasmi aku dengan kemudahan concession ticket sehingga tamat sekolah menengah pada 1973.

Kesempatan bersekolah dan duduk di bandar ini aku manfaatkan untuk menonton apa juga filem yang ditayangkan di pawagam-pawagam di bandar Melaka ketika itu.

Aku makin menjadi pencandu wayang. Hujung minggu jika aku tidak balik ke kampung, pasti aku akan menonton tayangan murah - cheap matinee.

Filem-filem cheap matinee ini adalah filem-filem lama yang telah ditayangkan 3 tahun atau lebih sebelumnya. Tayangan murah ini lazimnya pada pukul 10 pagi setiap Sabtu dan Ahad. Harga tiket tayangan cheap matinee memang murah. Dengan hanya membayar 40 sen penonton boleh menonton di kelas pertama.

Ketika menonton tayangan cheap matinee aku sering mendapat peluang berasa keenakan dan keselesaan menonton di kelas khas - circle seats. Harga tiket kelas khas - circle seats untuk tayangan hari biasa ialah RM2.50 tetapi untuk cheap matinee cuma 65 sen!

Seingat aku filem-filem cheap matinee yang aku tonton di panggung Cathay Melaka adalah filem-filem aksi B-Grade hitam putih dan warna dari Jepun dan Itali yang dialih bahasa ke bahasa Inggeris.

Hasil menonton filem sambil belajar di ‘sekolah filem’ tidak rasmi ini membenihkan cita-cita dalam diriku untuk menjadi seorang filmmaker dan pengarah filem.

Klimaksnya, aku lulus ‘graduan filem’ dari ‘sekolah filem’ Cathay Melaka pada 19 Februari 1986. Pada tarikh itu berlangsung tayangan perdana filem sulung arahan aku, Kembara Seniman Jalanan di Cathay Melaka di bawah naungan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Sri Rahim Thamby Chik, sebelum tayangan seluruh negara pada 27 Februari 1986.

Malam bersejarah dalam hidup aku itu juga kali terakhir aku tengok wayang di panggung Cathay Melaka. Aku duduk di kelas khas, circle seats - percuma!

Sungguh banyak kenangan manis aku dengan pawagam ini. Cathay Melaka, jutaan terima kasih!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...