Ahad, 16 Mac 2014

KSJ tutup peluang mengarah

MINGGU lalu aku ada berjanji untuk menceritakan kenapa aku sehingga sekarang hanya mampu mengarah dua fi lem sahaja iaitu Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana Cinta 87 (1987).

Cukuplah aku menceritakan secara jujur apa yang pernah aku alami selama ini. Aku bukan mahu menghukum atau membalas dendam. Aku hanya mahu menceritakan sejujur yang boleh tentang apa sebenarnya terjadi - the truth!

Aku manusia yang berpegang pada prinsip berani kerana benar! Aku berpegang kuat dan yakin pada katakata novelis tersohor dunia, Ernest Hemingway – ‘Manusia berprinsip mungkin boleh dibinasakan tetapi tidak boleh dikalahkan!’

Hampir 30 tahun telah berlalu filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) ditayangkan.

Filem inilah yang memperkenalkan M Nasir yang memainkan peranan watak utama Bujang dan Jebat. Filem ini jugalah yang menampilkan kumpulan rock Search buat pertama kalinya sebelum meletup dan menjadi ikon muzik rock Malaysia.

KSJ membuka ruang untuk aku menjadi pengarah filem. Dalam masa sama fi lem ini juga boleh aku katakan seperti menutup ruang untuk aku terus berkarya dan mengarah. Pelik bunyinya kan?

Tapi itulah kenyataan yang terpaksa aku hadapi dan lalui. Aku terpaksa melalui satu perjalanan hidup seni yang sungguh memeritkan sejak dari tahun 1988 hingga sekarang.

Satu keperitan untuk berjuang mendapatkan hak dan peluang bagi aku terus berkarya.

Memang benar attitude iaitu sikap, pandangan dan prinsip hidup seseorang karyawan seni itu pasti akan terpercik secara langsung atau tidak, dan secara sedar atau tidak dalam karya-karyanya.

Attitude yang dibawa dan cuba dilahirkan melalui KSJ adalah attitude melawan, sikap menentang ketidakadilan dan sikap berani menuntut hak dan kebenaran seni seorang seniman.

Isu yang diangkat oleh KSJ adalah mengenai cetak rompak. Cetak rompak, terutama lagu-lagu Melayu merupakan isu yang telah berlarutan sejak dari tahun 60an. Sejak zaman Allahyarham P Ramlee lagi.

Memang benar sebelum KSJ, tidak ada langsung filem-filem Melayu yang menyentuh atau cuba memaparkan isu ini.

Aku dan M Nasir, Ito (Blues Gang), Zarul Albakri (produser) yang terlibat memproduksikan filem KSJ ketika itu berasakan sudah sampai masanya isu cetak rompak ini diketengahkan dalam filem kita.

Bangsa Melayu perlu disedarkan. Selama ini karyawan-karyawan Melayu ditipu dan ditindas oleh lanun cetak rompak yang menghisap darah mereka. Nasib mereka tiada pembelaan daripada pihak berwajib.

Manifestasi penentangan kami terhadap kegiatan lanun cetak rompak ini kami garapkan melalui filem KSJ. Kami tidak berselindung. Kami berterus terang dengan protes kami itu.

Cuba perhatikan dialog-dialog yang dilontarkan oleh Bujang/Jebat dalam salah satu babak di penghujung filem KSJ –“Pencipta lagu... Melayu, pengubah lagu Melayu, penyanyi Melayu, pemuzik Melayu... pembeli pun Melayu! Tapi yang untung siapa?”

“Lanun mata sepet!”

Aku dapati apabila KSJ ini ditayangkan pada umum mulai Februari 1986 maka banyak pihak yang terasa panas punggung dan terasa pedas bagai termakan cili.

KSJ disabotaj tayangannya. Aku bersama beberapa kawan membuat serbuan di pawagam-pawagam di bandar-bandar Pulau Pinang dan Alor Star selepas mendapat aduan penonton yang tidak puas hati dengan jalan cerita terputus-putus.

Mereka merungut tidak faham jalan cerita KSJ.

Kami dapati ada pihak yang cuba sabotaj tayangan KSJ. Modus operandi mereka adalah dengan mempercepatkan pertukaran reel dari satu projektor ke satu lagi projektor.

Semua pawagam akan menggunakan dua projektor untuk menayangkan filem. Cara ini memudahkan pertukaran reel filem yang sedang ditayangkan supaya penonton akan terus dapat menonton tanpa menunggu si pengendali projektor menukar reel jika hanya satu projektor digunakan.

Kami dapati si pengendali projektor diarah oleh tauke panggung untuk menukar reel yang sedang diputar melalui projektor pertama sebelum reel itu tamat dan ditukar ke reel di projektor kedua.

Apa yang terjadi ialah ada babak yang sepatutnya muncul di penghujung reel di projektor satu contohnya tidak dapat ditonton oleh penonton kerana telah ditukar kepada reel baharu di projektor kedua sebelum tiba masanya.

Apa yang terjadi kepada penonton ketika itu? Hasil sabotaj terancang ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti perjalanan cerita KSJ dengan tersusun. Ada babak demi babak ditebuk sehingga jalan cerita jadi kelam kabut dan terputus-putus.

Akhirnya, penonton jadi tidak faham dan kalut. Apa yang kami dapati kebanyakan babak melibatkan watak-watak lanun cetak rompak.

Ini adalah insiden-insiden yang kami dapat kesan berlaku di Pulau Pinang dan Alor Star. Bagaimana di bandar-bandar lain? Aku yakin sabotaj ini berlaku kerana kami menerima juga aduan daripada penonton-penonton dari bandar-bandar lain.

Kami tidak mampu untuk pergi ke setiap bandar dan ke semua panggung yang menayangkan KSJ ketika itu.

Hambatan masa dan masalah logistik menjadi penghalang.

Tetapi di pawagam Coliseum di Kuala Lumpur tidak pula berlaku. Aneh dan menghairankan juga. Mungkin dalang sabotaj ini berasakan kami semua bermastautin di Kuala Lumpur dan peluang untuk mengesan mereka lebih mudah.

Mungkin ada pembaca yang tertanya sama ada aku ada buat laporan polis atau tidak. Aku masih ingat kami buat laporan polis di Pulau Pinang.

Tetapi hingga ke hari ini tiada tindakan dan perkembangan, senyap dan terus ditelan masa sudah hampir 30 tahun!

Aku juga terpaksa berdepan dengan kerenah wartawan media cetak (ramai di antara mereka kini sudah bersara).

Mereka memprotes babak di mana watak wartawan hiburan, Ana yang diperankan oleh Khatijah Ibrahim cuba disogok dengan suapan wang dalam sampul surat oleh tauke syarikat rakaman Encik Johan yang diperankan oleh Majid Salleh.

Zaman itu ada golongan wartawan hiburan (bukan semua) yang dikenali sebagai wartawan ‘envelope’ atau wartawan sampul surat.

Ini panggilan popular untuk wartawanwartawan yang sanggup menerima rasuah untuk menaikkan artis-artis dari syarikat rakaman tertentu.

Aku kurang pasti sama ada golongan wartawan dan aktiviti seperti itu masih wujud lagi atau tidak sekarang.

Jelas dalam babak itu watak Ana tidak membuat aksi mengambil sampul surat yang diberikan oleh Encik Johan. Aku pun tidak memberi arahan mengambil sampul surat itu.

Babak itu aku akhiri dengan watak Ana teragak-agak mahu ambil atau tidak sampul surat itu. Aksi atau action yang tergantung.

Isu itu telah membuat hubungan aku dengan sebahagian wartawan hiburan ketika itu menjadi kurang mesra. Aku diboikot oleh sebahagian wartawan hiburan yang majoritinya dari satu syarikat akhbar tertua di negara kita ini. Namun aku bersyukur masih ramai lagi wartawan hiburan dari syarikat lain yang faham apa aku cuba sampaikan.

Kemuncak kepada semua ini adalah apabila KSJ ditolak pencalonannya pada saat-saat akhir di Festival Filem Malaysia 1987. Insiden inilah punca yang mencetuskan penentangan dan konfrontasi antara aku dengan FINAS.

Aku rasa senario atau latar belakang suasana yang aku ceritakan di atas sudah cukup setakat ini bagi pembaca memahami titik mula aku berdepan dengan situasi yang menghalang aku terus mengarah filem.

Aku akan ceritakan tentang pertembungan aku dengan FINAS ini minggu depan, insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...