Ahad, 7 Februari 2016

Kembara Seniman Jalanan masih relevan?

Februari 2016, genaplah 30 tahun usia filem sulung arahanku, Kembara Seniman Jalanan (KSJ). Filem KSJ memperkenalkan M Nasir (Datuk) ke layar perak ini mula ditayangkan kepada umum pada 22 Februari 1986.

Aku dapati filem KSJ masih mampu mencuri perhatian penggiat seni dan pihak berkuasa terlibat dengan seni hiburan tanah air sehingga sekarang. Awal tahun ini, filem KSJ mencetuskan isu penggunaan babak-babak filem tersebut oleh TPPA Malaysia untuk klip video kempen penerangan mereka lewat alam siber tanpa keizinan penerbit dan tuan punya hak ciptanya. Kekecohan isu ini berjaya diselesaikan dengan penarikan balik klip video tersebut oleh TPPA Malaysia daripada terus viral di internet.

Kesimpulannya, filem sulung arahan dan lakon layar tulisanku berdasarkan skrip asal M Nasir ini masih relevan sehingga kini. Aku percaya kerelevanan filem KSJ kerana idea dan isu yang diangkat lewat naskhahnya – isu cetak rompak dan rasuah. Dua gejala perosak nombor wahid terhadap pembangunan budaya, tamadun bangsa dan negara.

Aku akan cuba menjejaki semula sejarah pembikinan filem KSJ diproduksikan pada 1985 ini daripada bagaimana mula tercetus idea memproduksikan filem ini sehingga ke peringkat pembikinannya dan seterusnya sehingga tayangannya. Satu kembara seni penuh dugaan, ranjau onak duri yang menuntut kesabaran, ketabahan dan kejituan satu semangat setiakawan – camaraderie tulus ikhlas demi satu perjuangan untuk masa depan lebih baik untuk semua anak bangsa watan ini.

Tetapi sebelum aku meneruskan nukilanku tentang filem KSJ, ada beberapa kenyataan atau informasi perlu aku perjelaskan dahulu kepada peminat dan pembaca terutamanya peminat hardcore dan die hard filem.

Secara peribadi dan sejujurnya aku keberatan untuk menulis tentang kisah di belakang kamera pembikinan filem KSJ ini. Proses pembikinan filem kenali sekarang sebagai – the making of. Jika dibandingkan dengan cara terkini pembikinan filem oleh pengarah era sekarang dengan cara pembikinan filem 30 tahun lalu terlalu amat jauh bezanya – bagai langit dan bumi. Aku percaya kepada ungkapan, masa beredar dan zaman berubah.

Perubahan dan kecanggihan teknologi cuma membantu. Paling penting ialah apa idea atau gagasan mahu disampaikan kepada penonton merupakan tugas paling utama mesti digalas oleh seseorang pengarah filem. Inilah pegangan dan prinsip aku sebagai seorang filmmaker.

Aku juga tidak mahu dianggap masuk bakul angkat sendiri. Aku mahu berlaku adil kepada semua. Aku tidak mahu menyalah gunakan kolumku ini untuk secara tidak langsung mempromosikan ‘kegemilangan lampau’ku.

Jika menduduki kerusi pengarah 30 tahun lalu itu boleh dianggap satu ‘kegemilangan’. Tanggapan dan anggapan yang tidak pernah terlintas di mindaku sejak dahulu, kini dan hingga bila-bila, insya-ALLAH.

Jujurnya, aku lebih berasakan berkerjaya sebagai pengarah filem di Malaysia ketika itu lebih merupakan satu pembaziran masa dan tenaga kreatifku. Banyak masa terpaksa aku buang berdepan dan melayan pertembungan dengan manusia-manusia munafik dan sistem birokratik bobrok.

Sistem yang kononnya mengawal selia dan berfungsi memajukan seni tanah air terutamanya ‘industri’ filem. Realitinya – hampeh!

Ironinya, bidang perfileman dipanggil ‘industri’ itu hanya mampu menerbit dan menghasilkan kurang daripada 15 filem setahun ketika itu. Suasana perfileman tanah air ketika itu dimonopoli bekas pengarah, pelakon dan tenaga kerja daripada studio Jalan Ampas dan studio Cathay Keris, Singapura.

Golongan ini berhijrah ke Kuala Lumpur selepas kedua studio tersebut ditutup pada awal70-an. Membawa bersama mereka sistem dan pendekatan pembikinan filem cara lama. Dengan cerita dan teknik penceritaan masih gaya era 50 dan 60-an.

Para pemodal terdiri daripada usahawan baharu Melayu Bumiputra yang ada keupayaan mengeluar dana sendiri atau memohon pinjaman bank dan skim pinjaman Finas. Finas ditubuhkan pada 1981 dan mula aktif bergerak pada 1982. Begitulah senario ringkas bidang perfileman Melayu pada era akhir 70-an dan awal 80-an.

Berbalik kepada keberatan aku untuk menulis tentang pengalaman mengarah anak sulungku, filem KSJ bermula sejak aku mula menulis kolumku ini. Namun terlepas juga dua atau tiga artikel tentang pengalaman pahit, isu panas dan tindakan kontroversial yang aku ambil dalam proses mempertahankan maruah seni karya sulungku itu dan paling penting maruah, integriti dan harga diriku sebagai seorang filmmaker.

Sejak mula menulis kolum ini, aku mendapat banyak respons daripada pembaca dan peminat mahukan aku menulis pengalaman mengarah filem KSJ. Aku pula tidak tahu kenapa sangat berat dan sukar memenuhi permintaan mereka.

Sejujurnya, aku tidak ada sebab konkrit untuk tidak menulis pengalaman pembikinan filem KSJ. Agaknya bosan dengan keengganan aku menulis, akhirnya keadaan berlalu begitu sahaja.

Tetapi dengan tersiarnya tulisan aku mengenai isu klip video TPPA Malaysia menggunakan babak-babak daripada filem KSJ tanpa izin daripada produsernya, Zarul Hisham AlBakri, tiba-tiba respons dan permintaan daripada pembaca dan peminat meminta aku menulis menceritakan pengalaman mengarah filem KSJ timbul semula.

Aku cuba mencari sebab dan kenapa mereka bersungguh mahukan aku mengimbas kembali sejarah 30 tahun lampau pembikinan filem KSJ. Aku bertemu dengan informasi dan penemuan di luar jangkaanku. Menarik pada pandanganku.

Aku dapati rata-rata pembaca dan peminat filem KSJ berusia antara awal 40-an sehingga pertengahan 60-an. Ramai pembaca dan peminat generasi muda berusia akhir 20-an dan awal 30-an juga berminat dengan filem KSJ.

Generasi ini berpeluang menonton lewat YouTube. Kelompok ini juga mahu aku menulis tentang - the making of KSJ. Aku perhatikan generasi muda ini merupakan peminat baharu muzik bergenre blues dan rock terutamanya muzik kumpulan Wings dan Search. Tidak ketinggalan muzik kumpulan Blues Gang dan Sweet Charity. Pastinya mereka ini bukan peminat rock kapak atau rock leleh jiwang-jiwang.

Berikut adalah respons aku peroleh lewat media baharu mahupun sembang santai secara peribadi.

“Abang Nasir masa filem Kembara Seniman Jalanan keluar wa baharu naik sekolah menengah. Umur wa 15 tahun. Wa simpan rambut panjang sampai sekarang sebab filem abanglah.” Maklum balas lewat perbualan telefon dengan seorang peminat hardcore berusia 45 tahun. Beliau seorang usahawan makanan segera yang sukses.

“Saya belum lahir time tu. Tapi bila dah besar tengok kat tv, internet dan DVD. Rasa filem tu macam baru je. Tulislah macam mana the making of Kembara Seniman Jalanan...pasti menarik kan?” Mesej daripada seorang gadis graduan filem dari kolej tempatan berusia lewat 20-an.

“Bro, gua layan filem Kembara ni dari zaman kolej sampai sekarang. Gua membesar dengan filem ni dan muzik rock. Anak-anak gua pun sekarang boleh layan Kembara Seniman Jalanan dan muzik rock, blues. I’m a corporate punk because of your film, bro!”.

Petikan perbualan aku dengan seorang pengurus produk syarikat elektronik gergasi antarabangsa yang sering menggunakan slanga gua, lu bila kami berinteraksi. Berusia awal 50-an dan merupakan peminat die hard Pyanhabib, Ito dan Ramli Sarip.

Akhirnya, seorang rakan karibku yang baharu memasuki usia 50 tahun berjaya meyakinkan aku untuk menulis tentang pembikinan filem KSJ.

Menurut rakanku ini, ramai generasi Melayu berusia daripada pertengahan 60-an ke bawah sehingga yang berusia awal 40-an membesar dengan filem KSJ. Generasi ini membesar dengan ikon seni tanah air yang muncul pertama kalinya dalam filem KSJ – M Nasir, Ramli Sarip, Ito dan Pyanhabib.

Paling penting menurut rakanku ini, filem KSJ merubah pop culture atau budaya popular generasi muda Melayu amnya. Filem KSJ merubah attitude dan sikap generasi muda 80-an yang seterusnya membezakan mereka daripada generasi zaman pop yeh yeh 60-an.

Pengaruh pop culture dicetuskan oleh filem KSJ mempengaruhi gaya hidup dari aspek fesyen, gaya rambut dan jenis muzik generasi remaja Melayu 80-an. Budaya popular ini berkembang serta diteruskan kumpulan rock ikonik tanah air-Search dan Wings pada era 90-an dan masih berpengaruh sehingga sekarang.

Dialog paling menyengat daripada rakan karibku ini – “Lebih baik abang tulis daripada orang lain menulis pasal filem abang ni selepas abang dah tak ada nanti...” Aku akur. Noktah. Khalas.

Secara peribadi filem pertamaku ini banyak membentuk corak hidup aku lalui seterusnya sama ada dalam bidang filem mahupun kehidupan peribadiku. Filem KSJ tidak menjanjikan aku glamor, kekayaan dan pangkat serta darjat.

Sebaliknya, filem KSJ mengajarkan aku erti perjuangan memartabatkan seni bangsa terutamanya filem Melayu. Filem KSJ juga menemukan aku sepak terajang dalam industri filem dan juga kemunafikan dunia politik tanah air.

Setelah aku mengambil kira dan menimbangkan segala pro dan kontranya, aku memutuskan akan menulis riwayat perjalanan satu kembara seni lewat filem berjudul Kembara Seniman Jalanan. Filem sulung arahanku ini masih meneruskan kembaranya merentasi masa menyedarkan khalayak tentang hak cipta dan kehancuran nilai hidup jika rasuah tidak dibanteras.

Terima kasih kepada pembaca kerana sudi melayan mukadimah panjangku minggu ini. Kita mulakan kembara kita dengan filem Kembara Seniman Jalanan minggu depan. Insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...