Ahad, 3 April 2016

'Slank, nggak ada matinya', kreativiti dan moral?

FILEM 'Slank, nggak ada matinya’, arahan Fajar Bustami adalah filem muzikal Indonesia ditayangkan pada penghujung 2014. Aku hanya berpeluang menonton filem ini lewat DVD dipinjamkan oleh seorang rakan.

Rakanku memperoleh DVD ini ketika beliau bercuti di Bandung awal bulan lalu. Rakanku ini memang tahu dalam senarai penyanyi dan grup rock aku dengar dan minati, salah satunya ialah kumpulan Slank daripada Indonesia.

Apa menariknya filem tentang kumpulan pemuzik hard rock dan blues bernama Slank ini? Sebelum aku meneruskan coretan tentang filem Slank, nggak ada matinya ini, rasanya lebih baik aku berikan latar belakang kumpulan rock paling top bertaraf legandaris dengan menerima bayaran paling mahal untuk setiap konsert mereka di Indonesia.

Ditubuhkan pada 1983 oleh Bimo Setiawan Almachzumi (Bimbim) merangkap pemain dram. Sehingga kini Slank telah melalui 14 kali pertukaran anggota. Kali terakhir ialah pada 1996. Barisan anggota yang kekal sehingga kini terdiri daripada Bimbim, Akhadi Wira Satriaji (Kaka) penyanyi, Ivan Kurniawan Arifin (Ivanka) bass, Abdee Negara (Abdee) gitar dan Mohammad Ridwan Hafiedz (Ridho) gitar dan keybod.

Peminat dan pengikut setia Slank dikenali sebagai Slankers. Presiden Indonesia sekarang, Jokowi juga seorang Slankers!

Ketika Pemilu atau Pemilihan Presiden 2014, Slank menyumbangkan lagu berjudul Salam 2 Jari sebagai lagu tema menyokong Jokowi dalam kempennya.

Slank pernah menyatakan kumpulan rock tersohor Malaysia, Search sebagai idola mereka. Aku ada terbaca dalam satu majalah muzik rock tempatan, Slank juga meminati kumpulan Blues Gang dan Wings.

Jika tidak silap aku, Slank pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2007. Rata-rata penonton menyaksikan konsert Slank ini terdiri daripada rakyat Indonesia yang mencari nafkah dan bekerja di sini selain penonton tempatan.

Pengaruh muzik Slank sangat luas dan besar di Indonesia. Sehingga kini, Slank telah menghasilkan 20 album, bermula dengan album sulung mereka berjudul Suit suit... he he pada 1992. Slank punya jutaan peminat di Indonesia dan di luar negara.

Slank pernah mengadakan konsert di Jepun, Korea, Hong Kong, Amerika dan Eropah. Selain mengadakan konsert, pada 2006 Slank pernah menghasilkan album di Amerika. Seterusnya pada 2008, Slank pernah berkolaborasi dengan kumpulan rock Jepun, The Big Hip menghasilkan album.

Selain berkarya lewat muzik, Slank juga paling diketahui umum sikap peduli mereka tentang masalah korupsi atau rasuah yang masih membarah di negara mereka. Terkini Slank turut memberi sokongan kepada Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK), kalau di sini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada awal tahun ini, Slank mengadakan mini konsert di pekarangan pejabat KPK untuk menyatakan penentangan mereka terhadap isu penyemakan semula kuasa bertindak KPK. Sememangnya, Slank dari dahulu lagi telah menyatakan prinsip kental anti korupsi lewat lagu-lagu mereka. Paling terkenal lagu Seperti Para Koruptor.

Filem Slank, nggak ada matinya, merupakan filem kedua mengisahkan perjalanan hidup grup ini. Slank pernah muncul dalam filem, Generasi Biru (2009), arahan pengarah tersohor Indonesia, Garin Nugroho. Filem ini dihasilkan dalam bentuk animasi, koreografi dan dokumentari. Para anggota Slank berlakon sebagai diri mereka sendiri.

Tetapi untuk filem Slank, nggak ada matinya, watak-watak anggota Slank diperankan oleh pelakon-pelakon muda. Adipati Dolken memerankan watak Bimbim, ketua dan pemain dram dan Ricky Harun sebagai Kaka,si penyanyi. Watak Ivanka, si pemain bass diperankan oleh Aaron Ashab. Watak gitaris Ridho dan Abdee pula diperankan oleh Ajun Perwira dan Deva Mahenra.

Selain itu, watak pembantu penting dan utama ialah Bunda Iffet, ibu Bimbim diperankan oleh aktres otai tersohor Indonesia, Meriam Bellina.

Anggota Slank hanya muncul dengan penampilan cameo. Bimbim sebagai pengurus disko, Kaka bercameo sebagai pengawal keselamatan hotel dan tok penghulu. Ridho sebagai pengurus hotel, Ivanka muncul sebagai pekerja hotel bahagian room service. Abdee pula bercameo sebagai seorang lelaki rocker peminat Slank bertemu di tandas.

Secara peribadi aku dapati filem Slank, nggak ada matinya, sebuah filem yang jujur. Slank tidak hipokrit kepada jutaan peminatnya.

Paling penting Slank tidak munafik kepada diri sendiri. Amat sukar untuk artis baik di Indonesia mahupun artis tempatan yang sanggup berterus terang tentang sisi gelap dan kehidupan hitam pernah mereka lalui kepada peminat dan khalayak. Apatah lagi divisualkan menjadi filem tontonan di layar besar lebar oleh khalayak ramai.

Filem ini walaupun bergenre rock muzikal tetapi banyak juga unsur dan tema Islamik diselitkan. Elemen kembali semula kepada hidup beragama dan lslami berjaya dipaparkan dengan santai bersahaja. Penampilan yang tidak klise dan pretentious.

Filem ini memberi penumpuan kepada jangka masa antara 1997 sehingga 2000. Naratif filem ini bermula dari suasana di rumah Bimbim yang sekali gus merupakan studio rakaman dan markas Slank di jalan atau Gang Potlot, Jakarta.

Inilah masa paling kritikal buat Slank. Mereka berada di persimpangan. Bimbim, Kaka dan Ivanka terjebak ketagihan dadah jenis heroin. Penagihan mereka ini melahirkan keadaan tidak menentu dan kekalutan dalam kerjaya mereka yang sedang memuncak ketika itu.

Kegiatan rakaman dan konsert jelajah menjadi bercelaru kerana keadaan normal, kestabilan sikap dan kewarasan Bimbim, Kaka dan Ivanka sukar dipastikan. Saat ini Slank di ambang kehancuran dan perpecahan jika ketagihan dadah mereka tidak diatasi segera.

Naratif terus berkembang dengan memaparkan usaha ibu Bimbim, Bunda Iffet terpaksa mengambil alih tugasan pengurus dan tanggung jawab pengurusan Slank di saat genting ini. Diperlihatkan kegigihan seorang ibu berusaha keras memastikan anaknya, Bimbim dan anggota Slank lain, Kaka dan Ivanka bebas dari dunia gelap penagihan narkoba atau dadah.

Usaha Bunda Iffet ini disokong dan dibantu oleh Ridho dan Abdee, dua anggota Slank yang tidak terlibat dan bebas dadah. Bunda Iffet berusaha memulihkan mereka dengan berbagai cara termasuk pemulihan tradisional dan Islamik.

Pengarah filem ini, Fajar Bustomi menyatakan setakat pengetahuannya hanya Slank sahaja satu-satunya band rock n roll di dunia diuruskan oleh ibu mereka sendiri. Slank sangat bangga dengan keunikan ini.

Filem Slank, nggak ada matinya bergerak atas plot yang mudah diikuti walaupun penonton bukan peminat Slank atau muzik rock dan blues.

Inti pati penting filem ini ialah bagaimana Bimbim, Kaka dan Ivanka melalui proses menghilangkan gian ketagihan dadah. Babak-babak mengamuk sendiri sehingga nekad untuk membunuh diri. Namun dengan sokongan para isteri mereka, Bunda Iffet, Abdee dan Ridho mereka berjaya pulih dan bersih dari dadah sampai saat ini.

Saat ini paling penting dalam perjalanan kerjaya Slank mengubah diri mereka menjadi band paling unggul hingga sekarang. Menarik, mengharukan penuh contoh tauladan yang menginsafkan.

Ada juga momen lucu berdasarkan insiden benar berlaku di konsert Slank. Mereka diminta untuk tidak tampil sebagai band acara kemuncak kerana ada satu lagi band yang merasakan mereka lebih layak. Slank diminta oleh penganjur muncul di awal konsert. Tanpa banyak kerenah dengan sikap santai pemuzik rock n roll dan rockers tulen, SLANK tampil membuat persembahan.

Mereka mengakhiri persembahan dengan membawakan salah satu lagu hit mereka ‘Kamu Harus Cepat Pulang’. Penonton yang kebanyakannya para Slankers serentak meninggalkan konsert tersebut yang belum selesai lagi sehingga pihak penganjur kebingungan.

Aku melihat Slank, nggak ada matinya, sebuah filem yang menghiburkan dan berjaya memberi input positif penuh pengajaran bagi sesiapa sahaja terutamanya penagih dan bekas penagih dadah dalam mendepani dugaan bagi meneruskan hidup ini.

Hasilnya, Slank berjaya membuka di markas mereka pusat pemulihan dadah bagi membantu peminat dan sesiapa sahaja yang terjebak dalam ketagihan dadah.

Tidak hairanlah pada 21 Mac 2016 lalu, Slank dianugerahkan Tokoh Perubahan Republika 2015. Anugerah ini menghargai usaha positif Slank membasmi gejala dadah dan melawan korupsi, ketidakadilan sosial lewat lagu-lagu.

Slank adalah pemuzik yang jujur dengan genre muzik yang mereka anuti dan punya attitudes rock n roll tulen. Slank bukan posers.

Jatuh bangun Slank dirumuskan dengan tuntas oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Anies Rasyid Baswedan. Menurut beliau, “Ekspresi kreatif dan moral adalah dua hal yang harus berjalan seiring. Tetapi ramai orang sangat tegas bila memperkatakan soal moral tapi belum tentu bisa mengekspresikannya secara kreatif, dan sebaliknya.”

Slank berjaya menggabungkan kreativiti dengan moral.

Seingat aku, setakat ini belum ada penyanyi dan artis kita berani memaparkan kesilapan silam mereka lewat filem untuk dijadikan pedoman dan tauladan kepada peminat dan khalayak. Bagaimana mahu jadi role model? Ada berani, bila lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...