Ahad, 3 Mei 2015

Dr Anuar & Johnny bikin filem

BARU-baru ini, aku telah menyelongkar beberapa kotak yang mengandungi keratan-keratan akhbar lama dalam simpanan aku. Sememang tabiat dan hobi aku yang gemar menyimpan bahan-bahan berita mengenai seni dan hiburan tanah air dalam bentuk keratan-keratan akhbar. Ada juga majalah-majalah filem dan hiburan lama aku simpan. Selain bahan-bahan ini aku juga mengumpul kertas-kertas pembentangan dan perbahasan seminar, forum dan simposium berkaitan dengan seni hiburan tanah air, terutamanya filem.

Dalam aku menyelongkar bahan-bahan lama itu, aku terjumpa semula satu kertas perbahasan hasil daya fikir Allahyarham Dr Anuar Nor Arai berjudul Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia yang dibentangkan Allahyarham Dr Anuar di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka sempena Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987.

Pesta Filem Malaysia ke-7 (PFM7) yang julung-julung kalinya diadakan di negeri kelahiran aku mencatatkan sejarah peribadi tersendiri buat diri aku. Dalam PFM7 itu filem kedua arahan aku, Rozana Cinta 87 turut dipertandingkan untuk kesemua kategori.

Aku dicalonkan untuk Anugerah Lakon Layar Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Pengarah Terbaik. Tetapi aku telah menolak semua pencalonan yang melibatkan diri aku. Tetapi aku tidak menghalang pencalonan-pencalonan lain untuk filem Rozana Cinta 87. Pencalonan Bade Azmi untuk kategori jurukamera terbaik dan pencalonan Erma Fatimah, Hilmi Hussaini, Bibiana Layola untuk kategori pelakon lelaki dan wanita terbaik dan kategori-kategori lain masih diteruskan.

Aku bertindak demikian ketika itu sebagai protes aku terhadap Finas. Selama ini aku menunggu penjelasan daripada Finas dan pihak penganjur mengenai penolakan di saat akhir pencalonan filem pertama arahan aku, Kembara Seniman Jalanan di Pesta Filem Malaysia ke-6 yang berlangsung setahun sebelumnya. Sehingga ke saat itu aku masih belum mendapat penjelasan rasmi daripada Finas tentang sebab-sebab penolakan filem Kembara Seniman Jalanan.

Berikutan dengan itu, aku bertindak sehingga memecahkan pintu Finas kerana marah atas kegagalan Finas memberi penjelasan yang aku tuntut. Pada tahun lalu aku ada menulis di kolum ini tentang mengapa aku mengamuk sehingga aku pecahkan cermin pintu Finas ketika itu. Jujur aku katakan sebenarnya aku sudah bosan, bengang dan marah dengan sikap lepas tangan tanpa bertanggung jawab Finas ketika itu.

Ketidakpuasan hati dan protes aku teruskan di PFM ke-7. Seperti biasa sehingga kini, sudah hampir 30 tahun aku masih tidak mendapat penjelasan kenapa filem Kembara Seniman Jalanan di PFM 6 itu. Di PFM ke-7 itu, aku cuma menghadiri program simposium sahaja. Aku kurang minat menghadiri majlis pembukaan dan malam penutupnya.

Kenapa tiba-tiba aku berimbas kembali ke belakang 1987? Kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar Nor Arai ini telah aku simpan dan berusia hampir 30 tahun itu  membuat aku teringatkan Allahyarham. Al-Fatihah untuk rohnya.

Aku kenal dan pernah berinteraksi dengan beliau ketika di peringkat awal aku menceburi bidang pengarahan filem cereka. Aku selesa dengan sikap dan attitude rebel beliau. Sebagai pengkritik, pengkaji penganalisis filem, beliau sentiasa obses mencari pembaharuan untuk memajukan perfileman tanah air.

Dr Anuar juga adalah salah seorang daripada kumpulan kami selain Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima sekarang), Mansor Puteh (pengarah dan pengkritik filem), Zarul Al Bakri (pengarah dan produser filem), Hassan Muthalib (pengkaji filem, animator dan penulis), Hanafiah A Samad dan Ku Seman Ku Hussain (wartawan hiburan) dan termasuk aku sendiri. Kami sering mengadakan diskusi dan forum perbincangan filem dinamakan Siri Dialog Cerdik di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka pada penghujung 80-an.

Siapa Dr Anuar Nor Arai ini?

Dr Anuar dilahirkan pada 6 Ogos 1943 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada 20 Januari 2010 dalam usia 66 tahun, Dr Anuar meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Allahyarham merupakan anak Melayu Malaysia pertama memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari University of Southern California, Los Angeles dengan tesis kedoktorannya bertajuk The Journeying Souls: The Verbal And Visual Quests Of The Metaphysical Theatre And Film.

Bertugas sebagai pensyarah perfileman di Universiti Malaya dan beliau bersara awal pada Disember 1996 sebelum menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dr Anuar berkhidmat pula di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan jawatan terakhir disandangnya ialah Timbalan Rektor.

Bila menyebut nama Allahyarham Dr Anuar pastinya filem tunggal arahan beliau, Johnny Bikin Filem akan menerpa ke minda setiap daripada mereka yang tahu dan mengenali beliau. Apatah lagi kepada pelajar-pelajarnya dan pembikin dan penggiat filem tanah air yang seangkatannya mahupun generasi baharu – Dr Anuar itulah Johnny dan Johnny itulah Dr Anuar, si pembikin filem.

Berani aku katakan - tanpa mengira bangsa dan kaum, jika kamu tidak tahu siapa Dr Anuar Nor Arai dan hasil kerja seninya maka kamu belum layak bergelar filmmaker di negara ini!

Filem Johnny Bikin Filem terbitan Univerisiti Malaya diarahkannya pada 1992. Filem ini adalah filem Melayu pertama berkonsepkan film noir. Film noir adalah istilah sinematik untuk filem bergenre drama jenayah gaya Hollywood yang menekankan sikap sinis dan motivasi seksual. Genre ini bermula awal 1940-an sehingga lewat 1950-an. Filem-filem era ini menggunakan gaya sinematografi low key lighting – pencahayaan rendah, samar, suram dan kelam dalam bentuk visual hitam putih.

Filem Johnny Bikin Filem ini mencipta sejarahnya tersendiri. Inilah filem Melayu pertama berdurasi 5 jam setengah. Filem ini juga punyai sejarah uniknya kerana hingga kini belum ditayangkan kepada umum.

Beliau telah menghasilkan 72 skrip dalam pelbagai medium untuk filem, TV dan teater. Di antara skrip drama tv Dr Anuar ialah Din Dan Miyoto arahan U-Wei Saari dan Bukit Lalang arahan Mior Hashim Manap. Kedua-dua pengarah ini berjaya menampilkan fotografi dan pengarahan seni yang menarik terhadap kedua-dua naskhah karya Dr Anuar ini.

Skrip drama teater karya beliau, Tok Selampit memenangi Anugerah Sastera Nasional 1986 dan mewakili Malaysia ke Festival Teater Asean 1 di Manila pada 1988.

Apakah isu-isu menarik dibentangkan oleh Dr Anuar dalam kertas perbahasan bertajuk – Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia di Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987?

Minggu depan aku akan menulis mengenainya. Insya-ALLAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...