Ahad, 10 Mei 2015

Kertas bahas berusia 28 tahun

ALLAHYARHAM Dr Anuar Nor Arai pernah membentangkan sebuah kertas bahas yang menarik bertajuk – Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka sempena Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 pada 5 Disember 1987.

Kenapa kertas perbahasan Allahyarham Dr Anuar ini menarik untuk diulang kaji dan dibaca renungkan semula? Apakah masih relevan isu-isu yang ditimbulkan oleh beliau melalui kertas perbahasan ini selepas 28 tahun berlalu?

Adakah perubahan-perubahan dan idea-idea yang dicadangkan oleh Dr Anuar telah menjadi kenyataan dan berjaya direalisasikan oleh pihak-pihak yang sepatutnya?

Kertas bahas itu membentangkan pendapat, pandangan dan cadangan daripada seorang ilmuwan yang pakar dalam bidang perfileman. Seorang pencinta filem yang mahukan mereka dan pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenai industri filem supaya berani mencuba pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu industri filem tanah air. Dengan meningkatnya mutu pengendalian, pendekatan gerak kerja yang lebih sistematik dan berpandangan jauh dalam industri filem, kita akan secara langsung melahirkan karya-karya dan tenaga-tenaga kerja kreatif yang lebih berilmu dan bertaraf dunia.

Aku rasa itulah yang ingin diluahkan oleh Allahyarham Dr Anuar melalui pembentangan kertasnya 28 tahun lalu di Simposium Pesta Filem Malaysia ke-7 itu. Luahan rasa ini juga yang bersarang terbuku dalam diri aku dan rakan-rakan filmmaker lain ketika itu.

Dengan menggunakan bahasa mudah bersahaja, sempoi dan ada kalanya dengan slanga melucukan tetapi bisa menyengat, banyak isu menarik dibentangkan oleh beliau dalam kertas perbahasannya di simposium itu.

Dr Anuar memulakan kertas perbahasannya dengan menyindir Finas yang dianggapnya seperti seorang tua sedang duduk di pelantar dalam keadaan serba salah tanpa arah tuju yang jelas. Ke mana mahu dibawanya industri filem Melayu tanah air ini.

Seorang tua yang baharu berusia 7 tahun ketika itu (Finas ditubuhkan pada 1981) tetapi masih belum jumpa lagi kompas untuk memandunya menuju ke destinasi yang tepat.

Dr Anuar mencatatkan - Berfikirlah orang tua tu. Nak cadangkan ke mana, dia tak tahu. Orang tua ye tak, ada kalanya orang tua juga. Berdiam bertanggungjawab, harap-harap tuanya tu betul. Dah lama ada Finas (ada la tujuh tahun). Dah banyak buat kerja Finas tu. Itu ini semua dah buat. Kalau terus juga buat gitu, gagal lagi. Bagaimana kalau Finas tu dirombak? Rombak cam mana? Struktur organisasinya atau orang-orangnya? Dua-dua sekalilah.

Sememangnya ketika itu Finas di bawah ketua pengarah, Zain Hamzah (Datuk) dalam keadaan celaru. Finas dipenuhi oleh orang-orang yang berlatar belakangkan filem dan dunia kewartawanan hiburan sejak zaman Jalan Ampas dan Studio Cathay Keris, Singapura. Ilmu filem mereka banyak dipengaruhi pengarah-pengarah India yang didatangkan oleh Shaw Brothers untuk mengarah filem Melayu di tahun-tahun 50-an dan awal 60-an.

Angkatan baharu dan generasi muda pembikin filem sukar untuk bekerjasama dengan pihak birokrat yang tidak sekepala dan tidak selari aspirasi sinematiknya dengan world view kami yang jauh berbeza. Terdapat pertentangan pandangan dan idealisme.

Senang cerita, perbezaan antara pandangan lama zaman filem Melayu hitam putih daripada Singapura dengan cita rasa baharu pembikin–pembikin filem muda yang terdidik secara khusus dalam bidang filem atau berlatar belakangkan kerjaya pembikinan filem iklan dan mereka yang bermula daripada teater.

Salah seorang daripada kelompok ini ialah Dr Anuar Nor Arai sendiri yang merupakan seorang graduan filem lulusan doktor falsafah daripada Amerika Syarikat. Seorang pensyarah, pengkaji, pengkritik filem dan juga aktivis teater ketika itu.

Kepada kami, Finas yang ditubuhkan pada 1981 masih belum berjaya memainkan peranannya sebagai tenaga utama penggerak kemajuan industri filem tanah air. Masih meraba-raba mencari arah disertai sikap orang lama sahaja yang betul.

Aku pula secara peribadi melihat Finas yang baru ditubuhkan oleh kerajaan ketika itu sebagai lubuk gula madu yang dihurung oleh semut-semut yang tidak ada lagi lubuk lain untuk didatangi. Gejala kroni membiak sehingga menyekat kemajuan kreatif dan pengurusan ke tahap lebih progresif.

Keadaan ini ditegur olah Dr Anuar melalui kertas perbahasannya itu.  

Finas setakat 1987 telah gagal menyusun atur satu pelan bertindak untuk membantu industri filem tempatan. Beliau mencadangkan solusi supaya diusahakan dan diadakan konsep bersepadu.

Dr Anuar mencatatkan - Struktur organisasi baru Finas diwujudkan atas konsep bersepadu. Bila konsep bersepadu ini diadakan, ramailah yang tak penting tu gugur. Tak berbumbung orang kata. Duduk di pelantar. Lenggang pulak! Finas lenggang tak apa.

Boleh tambah orang. Kalau panggung lenggang tak elok la. Mana satu nak pilih? Orang tua tu tentu pilih panggung penuh.

Dr Anuar mencadangkan kita ambil pengalaman Republik Korea. Beliau mencatatkan setahun sebelum itu (1986) - Korea mengubah Motion Picture Lawnya untuk mendapatkan ‘self supporting growth’ - pertumbuhan bagi menampung keperluan sendiri atau tempatan. Kerajaan Korea meluluskan banyak syarikat produksi berlesen yang dibenarkan juga mengimport filem-filem asing dengan kuota yang ditetapkan. Pada 1985 – Korea mengetepikan protectionist device dan menggalakkan liberalization untuk menyuburkan selera penonton.

Dengan menghapuskan perlindungan terhadap filem-filem sendiri dan bersikap lebih terbuka, penonton-penonton Korea dididik untuk menikmati filem-filem bermutu. Penonton diajar ilmu untuk menonton dan menghargai hasil karya seni filem sebenar bukan setakat filem picisan untuk hiburan. Penonton Korea dididik untuk memahami dan mengamalkan budaya menonton filem bukan setakat untuk hiburan sahaja tetapi berlandaskan ilmu. Filem sebagai pembina minda dan jati diri bangsa.

Dr Anuar mencatatkan - Suasana ini diharap boleh memberikan keyakinan pada industri tempatan Korea dan menghapuskan tabiat rendah diri pembikin-pembikin filem Korea – filem Korea masuk pasaran antarabangsa – pelaburan bertambahan dalam industri filem Korea – membawa haluan baru dalam filem – Korea terlepas daripada cara lama yang melodramatic, corny, soupy.

Hasilnya menurut Dr Anuar pada ketika itu (1987) – Telah muncul ramai pengarah filem yang menghasilkan films of high artistic merit – filem-filem epik – box office.

Menurut beliau, perubahan yang dilakukan oleh Motion Picture Promotion Corporation Republic of Korea (MPPCRK) di bawah Presidennya, Chung Tak dan Auditorial Directornya, Choi Chong-Chai berjaya melonjakkan produksi filem negara itu daripada 80 filem pada 1985 kepada 115 filem pada 1986.

Dr Anuar sempat mencuit Finas dan warga kerjanya dengan membandingkan Finas dengan MPPCRK.

Kalau baca-baca la apa yang dibuat oleh MPPCRK mudah benar nampaknya. Macam Finas juga. Hairan ya! Kata orang, kalau ditindihkan MPPCRK tu dengan kertas minyak yang nampak tak ada bezanya dengan Finas. Chung Tak dan Choi Chong-Ch dua orang ni la yang berbeza. Ada vision orang kata. Ada ilmu. Entah-entah garang macam hantu, mana tau. Tapi tentulah rajin. Faham kerja dia. Faham tanggungjawab. Bernas kepala otak berdua tu. Boleh cium la.

Apa lagi pandangan dan cadangan panas, pedas dan brutal daripada Dr Anuar untuk dijadikan panduan Finas, penggiat-penggiat dan pembikin-pembikin filem tanah air ketika itu dan juga sekarang?

Kita teruskan menelaah kertas perbahasan Dr Anuar Nor Arai ini minggu depan. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...