Ahad, 31 Mei 2015

Dr Anuar dan akademi filem

AKADEMI Seni Filem Malaysia ditubuhkan pada 1989. Berlokasi di kompleks Finas, Hulu Kelang. Akademi Seni Filem Malaysia hanya mampu bertahan selama 16 tahun dan seterusnya digabungkan dengan Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) pada 2005 sehingga sekarang.

Usaha untuk menubuhkan akademi filem Malaysia pertama ini sudah bermula sejak 1987. Allahyarham Dr Anuar Nor Arai merupakan salah seorang tenaga penting terawal yang secara agresif menggerakkan usaha ini.

Ketika Simposium Pesta Filem Malaysia Ke-7 diadakan di Hotel Ramada Rennaissance, Melaka pada Disember 1987, Dr Anuar amat lantang dengan nada kritis menyentuh dan mendesak supaya Finas yang dikepalai oleh Zain Hamzah (Datuk) ketika itu bertindak lebih agresif bagi merealisasikan penubuhan sebuah akademi filem demi kemajuan masa depan industri filem negara.

Melalui catatan kertas bahas yang dibentangkan Dr Anuar, mari kita lihat sejarah wujudnya Akademi Seni Filem Malaysia, dikenali dan diingati juga sebagai Akademi Filem Malaysia.

Graduan-graduan, bekas pelajar yang pernah mengutip ilmu filem daripada Akademi Filem Malaysia ini perlu mengingati dan menghargai jerit perih perjuangan seorang diri dan hanya mampu disokong segelintir rakan-rakan yang sekepala dan percaya kepada pegangan aspirasi Dr Anuar ini.

Apa aku tuliskan ini bukan gosip murahan atau isu rekaan, tetapi dicatat Dr Anuar sendiri secara rasmi hitam putih dalam kertas bahasnya itu.

Di muka surat 10 kertas perbahasannya, Dr Anuar menulis - Tentang Akademi ni dah pernah I bentang dalam Jawatan Kuasa Teknikal Penubuhan Akademi.

Tak ada orang nak bukak kertas lebar tu pun. Jauh sekali nak bincang. Termasuk orang-orang akademik macam Asiah Sarji dari UKM dan Dr Ramli dari USM. Jins Shamsuddin lagi tak mahu tengok.

Letih berfikir. Letih buat rujukan. Letih semua. Encik Zain Hamzah pun tak minat nak bincang cadangan tu. Hamzah Hussin buat tak tau aja. Tak tau la kenapa?

Sebagai seorang ilmuwan, Dr Anuar tidak mereka-reka cerita. Beliau jujur menceritakan apa sebenarnya berlaku dalam usaha beliau mahu membuka minda pihak berwajib supaya memahami betapa pentingnya diwujudkan satu akademi khas untuk mengajar ilmu perfileman yang teratur, tersusun dalam menerapkan ilmu dan falsafah filem kepada pembikin-pembikin pelapis filem generasi baharu tanah air.

Sememangnya tidak boleh menafikan kewarasan obsesi ‘gila-gila’ Dr Anuar dalam memperjuangkan penubuhan akademi filem tersebut.

Beliau benar-benar serius dan komited sehingga ke tahap ‘langgar musnah’ apa sahaja menghalang usaha dan cita-citanya demi melihat akademi itu menjadi kenyataan. Sikap dan pegangan kental yang tidak mengenal erti tidak boleh dan ragu-ragu!

Dengan bahasa santai lucunya, beliau bersatira mengingatkan pemegang-pemegang tampuk kuasa dan pihak-pihak yang boleh membuat keputusan di Finas supaya cita-cita penubuhan akademi ini diberikan keutamaan tinggi. Ini adalah satu usaha maha penting untuk kemajuan dan masa depan industri filem negara kita.

Beliau seterusnya menyatakan - Biarlah cita-cita tu cita-cita nasional. Cita-cita perfileman nasional. Cita-cita seni nasional. Bukan cita-cita terhutang budi, kawan baik, kawan lama. Kalau nak kira tu semua buatla akademi sendiri.

Taruk nama anak dan bini. Kalau boleh anak yang bisu pun taruk sama. Yang pekak boleh juga jaga pintu akademi. Biar serius sikit. Hal ni hal nasional. Bukan hal keluarga. Negara tu yang keluarga!

Aku masih ingat perbualan selepas pembentangan kertas perbahasan beliau sesama kami dengan Dr Anuar dan beberapa rakan penggiat, peminat kental filem di antaranya, Johan Jaafar (Datuk) dan Mansor Puteh (pengkritik dan pengarah filem).

Dr Anuar meluahkan rasa bengangnya terhadap pihak-pihak yang gagal melihat apa cuba diperjuangkan oleh beliau. Hangat juga diskusi tidak rasmi kami - ‘budak-budak nakal’ di bilik hotel Johan Jaafar tengah hari itu.

Dr Anuar yang kepada beberapa pihak merupakan di antara ‘budak nakal’ dalam industri filem tempatan yang berfikiran menentang arus.

Beliau merupakan seorang ilmuwan berkeyakinan tinggi jitu dan percaya kepada pentingnya ilmu bagi meningkat dan mengangkat filem kita ke tahap lebih tinggi - tahap dunia - world cinema!

Walaupun berdepan dengan tentangan respons suam-suam kuku dan sejuk dingin tetapi kerana darah panas ‘gila filem’ mengalir dalam dirinya, Dr Anuar terus merempuh dengan berpegang kepada kefahamannya tentang kreativiti adalah nak punahkan kebodohan!

Beliau mencadangkan - I nak sentuh tentang empat bahagian penting. Satu, Special Motivational Programme Scheme; Dua, Special Promotional Film Productions, Credits and Grants; Tiga, The Art Film Promotional Programme; dan Empat, The Art and Techniques of Film Production.

Semasa bertemu dulu dalam Jawatan Kuasa Teknikal Penubuhan Akademi tak ada sorang pun nak sentuh dan nak tahu. Secara langsung keempat-empat hal itu berhubung dengan Ke Arah Peningkatan Mutu Industri Filem Malaysia.

Aku rasa bertanggungjawab dan perlu mencatat dan menurunkan sepenuhnya di sini idea dan pandangan Dr Anuar dalam kertas bahasnya untuk kita renungi. Pastinya kita boleh jadikan kayu ukur - apakah kita sudah berjaya atau masih gagal dalam usaha meningkatkan industri filem kita?

Beliau mencetuskan - Bermula dari ilmu, melangkah ke projek, dibantu la maksudnya, lepas tu terbang ke mana pun terbang la. Budak-budak muda yang mabuk filem, gatal tangan nak buat filem, tahi filem, bermimpi siang malam nak buat filem, nak berbengkel, nak cuba-cuba, nak tahu sikit sana sikit sini, nak meniru-niru - perlukan Special Motivational Programme Scheme ini.

Aku membaca pemikiran beliau sebagai seorang yang percaya kepada gandingan wajib kreativiti dan ilmu untuk menempa peningkatan dalam menghasilkan filem-filem bermutu tanpa mengira bentuk dan genre.

Lihat cadangan beliau ini dalam menyedia dan membentuk pembikin-pembikin filem baharu yang mampu dipertanggungjawabkan memikul tugas melahirkan filem-filem bermaruah dan cerdik - Jadi skim untuk akademi ni bolehlah dijalankan oleh Finas dan caranya macam bawah ni:

Dapatkan 40 orang tenaga-tenaga muda yang berminat - beri program motivational - pecahkan mereka kepada 5 kumpulan teknikal yang asas - skrip, lakon layar, pengurusan filem, film management - kamera - penataan cahaya - tata bunyi, efek - pengarahan - penyuntingan - jual mereka dalam pasaran.

Beliau seterusnya mencadangkan - Dalam skim Special Promotional Film Productions, Credits and Grants lain sikit, lebih praktis, lebih menjurus pada buat filem.

Caranya - kenal pasti mereka siapa - apa projeknya - adakan panel penilai - segala aspek produksi - casting, kos, peralatan dan lain-lain siap, sempurna - Finas setelah yakin - beri Grant 70 peratus, kredit 30 peratus - perjanjian dimeterai dengan syarat-syarat yang memuaskan kedua-dua pihak. Finas bantu pemasarannya - luaskan pasar, tembus pasaran serantau.

Bila aku amati idea, cadangan, pandangan dan impian beliau ini, aku bertanya sendiri kenapa pihak berwajib tidak melantik Dr Anuar ketika beliau masih hidup menduduki kerusi panas Ketua Pengarah Finas?

Benar pepatah Melayu menyatakan, harimau mati meninggalkan belang, walaupun Allahyarham Dr Anuar sudah meninggalkan kita tetapi hasil pemikiran dan pandangan jauhnya masih terus relevan sehingga sekarang. Kita perlu meneruskannya.

Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, seorang filmmaker – a rebel without a pause! Al-Fatihah buat rohnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...