Ahad, 7 Jun 2015

Seorang pemuda bernama Awang

KETIKA aku menunggu bas untuk balik ke Melaka di TBS – Terminal Bersepadu Selatan pada senja Isnin lalu, aku ditegur oleh seorang anak muda berusia lewat 30-an. Anak muda ini bertanya aku tentang filem Tombiruo. Dah habis shooting ke? Bila nak tayang? Siapa memegang watak Tombiruo?

Biarlah aku panggil pemuda ini – Awang. Dia sungguh teruja dapat bertemu dengan aku senja itu. Dia baharu tiba dari Singapura atas urusan kerja dan perniagaan. 

Aku beritahu Awang, aku ke Kuala Lumpur hari itu kerana menghadiri mesyuarat dan perbincangan mengenai produksi Tombiruo yang bakal kami mulakan penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini, insya-ALLAH.

Menurut Awang, dia juga peminat novel-novel karya Ramlee Awang Murshid. Awang mengikuti perkembangan pembikinan filem Tombiruo dan tidak pernah tinggal membaca kolum Lantera aku setiap Ahad.

Sementara menunggu bas bakal aku naiki bertolak pukul 9 malam, kami sempat bersembang-sembang santai mengenai perfileman tempatan. Nampak gayanya pemuda bersnow cap ala ketayap berambut panjang berikat ke paras bahu dan berkaca mata ini luas juga pengetahuan dan informasinya tentang perkembangan filem tempatan dan antarabangsa.

Awang seronok dapat berjumpa dengan aku kerana filem sulung arahan aku, Kembara Seniman Jalanan (1986) adalah filem Melayu pertama ditontoninya di pawagam ketika di tingkatan satu. Filem Kembara Seniman Jalanan banyak meninggalkan kesan secara peribadi kepada dirinya ketika melalui alam remaja sehingga tamat pengajiannya di peringkat tinggi, memasuki alam pekerjaan dan alam dewasanya.

Menurutnya, artikel-artikel mengenai Allahyarham Dr Anuar Nor Arai menarik minatnya. Dia masih lagi berharap satu hari nanti akan dapat menonton filem tunggal karya Dr Anuar, Johnny Bikin Filem sama ada di pawagam ataupun di kaca televisyen. Aku biarkan sahaja Awang bercerita tanpa mahu mengganggu keterujaannya meluahkan pandangan dan pendapatnya mengenai industri filem tempatan terutamanya filem-filem Malaysia berbahasa Melayu.

Awang menyatakan betapa beruntung dirinya berpeluang membaca dan mengetahui apa disumbangkan oleh Allahyarham Dr Anuar dalam usaha meningkatkan perkembangan industri filem tanah air ketika hidupnya. Aku nyatakan kepada Awang bahawa aku juga beruntung masih menyimpan kertas bahas Dr Anuar. Secara peribadi dan jujur, aku tidak menyangka selepas 28 tahun dokumen itu masih merupakan salah satu catatan penting pemikiran beliau yang boleh diguna pakai sehingga kini.

Awang bersetuju dengan hampir kesemua kenyataan dan pandangan Dr Anuar terutamanya mengenai sikap orang Melayu mendepani masalah-masalah dalam usaha meningkatkan industri filem Melayu. Sikap berhasad dengki, mengutamakan kaum kerabat dan kroni ini tidak boleh menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Awang berpendapat sikap-sikap inilah penyumbang besar terbantut dan lambatnya proses perubahan dalam industri filem tanah air. Awang berpuas hati kerana selama ini pendapatnya itu rupanya benar setelah dijustifikasikan oleh Dr Anuar melalui kertas bahasnya yang aku kupas dan tulis selama 5 minggu berturut-turut.  

Menurut Awang lagi, keadaan industri filem kita masih berpusing-pusing dalam putaran yang sama tanpa perubahan menyeluruh. Kenapa keadaan ini berlaku terjawab selepas Awang membaca pandangan dan idea-idea dikemukakan oleh Dr Anuar 28 tahun lalu yang lambat diambil tindakan dengan serius oleh pihak-pihak berwajib.

Awang tertarik dengan idea dan pandangan jauh Dr Anuar yang mengambil contoh daya usaha dan sistem kerja orang-orang Korea dan Brazil membangunkan industri filem mereka. "Kenapalah orang kita tak hendak dengar cakap arwah?" tanya Awang kepada aku. 

Soalan klise yang sukar aku jawab. Aku beritahu Awang, aku cuma mampu menulis semula apa diluahkan Dr Anuar. Itu pun sudah dikira amat beruntung daripada tiada langsung usaha menyebar luaskan idea-idea Dr Anuar. 

Aku seperti Awang juga masih belum bertemu jawapan kenapa pihak-pihak dipertanggungjawabkan memajukan industri filem negara liat sungguh untuk menerima pakai cadangan dan idea-idea Dr Anuar ketika itu. Tetapi sejak beberapa tahun ke belakangan ini aku perhatikan Finas mula menampakkan perubahan yang diharap akan terus berkembang dengan lebih positif lagi. 

Awang berpandangan masih belum terlambat untuk memanfaatkan cetusan idea dan pandangan Dr Anuar itu sekarang. Harap-harap begitulah.

Menurut Awang, pandangan dan cadangan Dr Anuar mengenai pemberian geran dan bantuan kewangan bagi menghasilkan filem  lebih bermutu oleh generasi baharu perlu ditingkatkan.

Aku beritahu Awang usaha ke arah itu sememangnya telah berjalan dan sekarang telah dipertingkatkan lagi. Kerjasama antara Finas dengan Perbadanan Kemajuan Multimedia - MDec melalui penubuhan Content Malaysia Pitching Centre sejak awal April lalu di Platinum Sentral, Kuala Lumpur merupakan kesinambungan usaha membantu pembikin-pembikin filem yang telah dimulakan sejak pertengahan tahun 90-an.

Aku berusaha menjadi pendengar yang baik. Aku terus membiarkan Awang meluahkan apa juga dirasakannya mengenai bidang perfileman tempatan. Aku sungguh tertarik dan kagum dengan informasi yang Awang kongsikan dengan aku mengenai industri filem Korea.

Menurut Awang, mulai awal 90-an, industri filem Korea terus berkembang dengan penglibatan syarikat-syarikat konglomerat gergasi Korea seperti Samsung dan Hyundai yang dipanggil chaebol (Korean conglomerates) dalam menyuntik modal memproduksikan filem-filem negara itu. Penglibatan chaebol ini berterusan sehingga kini dengan kemunculan konglomerat generasi kedua seperti CJ, Orion dan Lotte menyumbang hampir 80% sumber dana untuk memproduksikan filem-filem Korea.

Berdetik di minda aku – "Hebat juga pengetahuan si Awang ini tentang filem." Ini merupakan informasi baharu kepada aku. Lanjutan daripada apa yang dikemukakan oleh Dr Anuar pada 1987.

Awang bertanya kenapa syarikat gergasi negara kita, Petronas atau Proton tidak mahu mencontohi chaebol? Aku jawab dengan pertanyaan - apakah gergasi-gergasi ini ada duit lagi? Awang tersengih faham maksud aku itu.

Aku bertanya Awang bagaimana dia mengetahui semua ini? Awang menyatakan dia suka menonton filem tanpa mengira daripada negara mana sekalipun. Dia mengikuti perkembangan filem dunia – world cinema hampir keseluruhannya melalui internet. 

Aku disentak oleh Awang dengan pertanyaan mengenai Muslim Cinema – Sinema Islami. Awang menyatakan pada awal 90-an ketika berusia awal 20-an, dia ada membaca dan mengikuti berita melalui akhbar-akhbar mengenai konsep Muslim Cinema yang dicetuskan oleh Mansor Puteh, seorang pengarah, pengkaji dan pengkritik filem. Sukar aku menjawab pertanyaannya itu kerana aku tidak berani beri komen tanpa informasi lengkap.  

Aku teringat jika tidak silap aku, Mansor pernah beri aku satu salinan kertas presentasinya tentang Muslim Cinema pada awal 2000. Nampaknya, terpaksa sekali lagi aku selongkar kotak-kotak kertas perbahasan dan pembentangan dalam simpanan aku.      

Sebelum kami berpisah, untuk kepastian aku bertanya Awang kenapa dia tidak menjadi seorang pembikin filem dan apa jurusan yang diambilnya ketika menuntut dahulu? 

Buat masa sekarang, Awang lebih suka menyahut seruan Uwei Hj Shaari untuk menjadi penonton filem Melayu yang cerdik. Sebenarnya, Awang seorang dropout dari pengkajian Syariah di Al Azhar, Mesir.

"Di Azhar tak ada kursus filem. Kalau tidak saya dah tukar kursus!" ujarnya sambil tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...