Ahad, 13 Disember 2015

Bangsawan tanpa tajuk perkenalan pertamaku

KURANG 20 hari lagi kita akan berada di tahun baharu 2016 Masihi. Seiring dengan ketibaan tahun baharu ini, aku tiba-tiba teringat usia industri filem Melayu. Filem Melayu pertama berjudul – Leila Majnun, arahan BS Rajhans diterbitkan pada 1933.

Ini bermakna industri filem Melayu sudah berusia 82 tahun setakat 2015 dan 18 tahun lagi, industri filem Melayu menyambut 100 tahun kewujudannya.

Usia 82 tahun sesebuah industri filem jika disamakan dengan hayat seorang manusia pastinya merupakan satu usia yang penuh kematangan dan kejayaan. Apakah industri filem Melayu berjaya seperti berjayanya seorang manusia berusia 82 menempuhi segala onak duri cabaran hidup sejak awal hidupnya sehingga berakhir sebagai seorang wise old man?

Rasanya tidak perlulah aku menjawabnya. Ketenatan dan dilema dihadapi industri filem kita sekarang sudah cukup untuk memberi jawapan yang sering kita cari bila membincangkan maju mundurnya industri dan dunia perfileman Melayu. Keadaan ini sering dibincangkan oleh penggiat, pengkaji dan peminat filem kita sehingga ke peringkat ahli akademik, birokrat dan budayawan.

Melihat laporan serta kajian yang dibuat membawa kepada satu kesimpulan – filem Melayu tempatan masih gagal mendapat sambutan daripada bangsa Melayu dan bangsa Malaysia secara keseluruhannya. Masih dan makin gagal menjana pulangan keuntungan ekonomi.

Informasi terkini dikeluarkan oleh Finas menyatakan kutipan tiket filem-filem cereka tempatan semakin merudum sejak tiga tahun kebelakangan ini. Pada 2013 sebanyak 71 filem tempatan ditayangkan di pawagam dengan kutipan tiket RM85 juta, 2014 (81 filem - RM75 juta) dan sehingga November 2015 lalu (85 filem - RM49 juta).

Selain masalah sambutan, industri filem Melayu juga berdepan dengan masalah pemasaran, promosi, panggung serta tayangan, masalah cetak dan rakam rompak. Masalah birokrasi yang sering melibatkan Finas. Masalah dalaman persatuan-persatuan berkaitan industri filem tempatan dengan gabungan persatuan masing-masing. Lazimnya, bila memperkatakan industri filem Melayu dan tempatan, kita pasti bertemu dengan lebih banyak masalah daripada kejayaan.

Apa yang aku tuliskan di atas adalah sejarah ringkas industri filem Melayu yang bermula di Singapura, 45 tahun awal sebelum aku terlibat dalam filem bermula pada 1978. Ini bermakna sudah 37 tahun penglibatan aku dalam bidang perfileman bermula dengan filem iklan sehingga aku berjaya mengarah dua filem cereka, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana, Cinta 87, sehinggalah sekarang.

Aku masih bikin filem walaupun terpaksa berdepan dengan berbagai halangan, hambatan dan batasan untuk berkarya sejak awal 90-an.

Hampir kesemua kajian ilmiah oleh pengkaji filem dan ahli akademik merumuskan adanya hubung kait antara seni bangsawan dengan kemunculan awal filem-filem Melayu. Hampir kesemua pelakon membintangi filem Melayu pertama, Leila Majnun (1933) terdiri daripada pelakon pentas bangsawan yang popular ketika itu – M Suki, orang muda (hero) dan Fatima Jasman, primadona (heroin). Cerita-cerita filem Melayu 40-an dan 50-an sehingga awal 60-an banyak diadaptasi daripada cerita-cerita bangsawan.

Apa yang aku nukilkan minggu ini bukan kajian ilmiah yang akademik tetapi lebih berdasarkan pengalaman peribadi ketika aku membesar pada era peralihan bangsawan ke filem. Aku ingin melayan rasa Masihkah Kau Ingat seperti didendangkan oleh Kopratasa.

Aku masih ingat ketika dibawa oleh Allahyarham datuk ku menonton persembahan bangsawan di pekan kecil kami, Alor Gajah pada 1960. Ketika rombongan bangsawan itu datang ke pekan kecil kami, aku masih belum menjejak kaki ke bangku sekolah.

Ketika itu aku berusia 6 tahun. Seperti kanak-kanak lain pada era lewat 50-an dan awal 60-an, aku tidak kenal apa itu tadika atau sekolah ‘makan’. Belum wujud lagi tadika dan kindergarden. Kami hanya tahu ABC bila mula masuk sekolah darjah satu ketika berusia 7 tahun.

Berbalik kepada pengalaman menonton bangsawan ketika berumur peringkat prasekolah, sememangnya pengalaman itu merupakan culture shock buat aku. Bayangkan suasana hidup ketika itu yang belum ada televisyen walaupun kampung aku telah ada bekalan elektrik dan air paip.

Pernah aku tulis dalam artikel terdahulu di kolum ini tentang nikmat awal kemerdekaan - nikmat ‘potek topi tongah menyalo’ dan ‘air dalam bosi’ yang dirasai oleh penduduk kampung berhampiran pekan kecil kami di Alor Gajah, Melaka.

Walaupun kemudahan asas sudah ada, bukan semua kampung di daerah aku ini dapat menikmatinya. Apatah lagi kemudahan menikmati hiburan masih hanya bergantung pada siaran radio.

Kedatangan rombongan bangsawan pasti disambut meriah. Bangsawan masih sumber hiburan bagi penduduk kampung dan rakyat marhaen. Kehadiran bangsawan di pekan kecil kami adalah sesuatu yang happening.

Masih aku ingat panggung bangsawan dengan dinding papan dan kepingan zink. Beratap zink dengan penonton duduk di kerusi kayu yang boleh bersandar di bahagian depan pentas dengan harga tiket mahal. Sebahagian penonton duduk di bangku-bangku kayu panjang di bahagian belakang – ruang kelas dua dengan harga tiket murah.

Datuk dan aku duduk di kerusi depan dekat dengan pentas. Depan kami di bahagian bawah pentas terdapat pemuzik-pemuzik yang bermain alat muzik secara live bagi mengiringi persembahan bangsawan pada malam itu.

Apabila dewasa dan terlibat dalam bidang filem dan teater baru aku tahu apa sebenarnya yang aku lihat dan alami bersama Allahyarham datuk ku hampir 50 tahun lalu. Seni bangsawan adalah asas kepada seni lakonan dan persembahan visual secara live atau hidup yang kemudiannya dimanfaatkan sepenuhnya dalam perkembangan dan usaha mewujudkan industri perfileman Melayu.

Jujur aku katakan, aku tidak tahu apa-apa pun ketika menonton persembahan malam itu. Aku tidak tahu apa itu bangsawan, apa itu lakonan, muzik dan tarian yang dipersembahkan oleh rombongan bangsawan tersebut.

Bayangkan aku sebagai seorang anak kecil pertama kali menonton satu persembahan yang aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya sedang berlaku depan mataku ketika itu. Sekarang, bila aku kenangkan semula, aku rasa malam bersejarah 50 tahun lampau itu satu pengalaman sungguh surealistik buat aku.

Malam itu aku menonton persembahan bangsawan mengisahkan seorang puteri raja cantik tetapi disumpah sehingga mukanya menjadi sebelah putih dan sebelah hitam. Aku hairan dan tidak mampu berfikir kenapa pada awal cerita, wajah puteri cantik tetapi di pertengahan cerita jadi hitam putih. Akhirnya, puteri jadi cantik semula. Macam mana ini boleh terjadi? Magik ke?

Aku seorang kanak-kanak baru berusia 6 tahun ketika itu. Mana aku tahu tentang mekap atau dandanan muka yang boleh merubah wajah seseorang. Manalah aku tahu apa berlaku atas pentas itu cuma lakonan. Aku hanya mampu berasa sedih dan kasihan melihat apa berlaku kepada tuan puteri.

Aku juga rasa takut sehingga memeluk dan menyorokkan mukaku di lengan datukku bila aku lihat seorang lelaki hendak memancung tuan puteri berwajah hitam putih dengan sebilah pedang panjang. Aku pejamkan mata tidak berani melihat babak tersebut. Aku rasa apa yang berlaku di atas pentas di depanku ketika itu adalah kejadian betul.

Ditambah dengan suasana menakutkan ditimbulkan oleh muzik yang dimainkan oleh pemuzik-pemuzik. Datuk memujuk aku dengan memberitahu aku, apa yang aku lihat itu cuma lakonan – olok-olok bukan betul-betul. Tetapi aku tidak faham lalu tetap tidak sanggup melihatnya.

Malam itu adalah kali pertama aku berdepan dengan satu keadaan yang diwujudkan atas dasar fantasi tetapi mampu menzahirkan suasana yang hidup dan meyakinkan minda tanpa mengira kanak-kanak mahupun dewasa.

Untuk pengetahuan pembaca, tapak panggung bangsawan itu terletak di depan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Alor Gajah. Sekarang di atas tapak tersebut adalah lot rumah kedai.

Hanya satu penyesalanku, sehingga datukku meninggal dunia pada awal 70-an aku tidak sempat dan tidak bertanya beliau apa tajuk cerita bangsawan yang kami tonton malam itu.

Apa pun bangsawan kisah puteri berwajah hitam putih ini adalah persembahan bangsawan pertama dan terakhir dalam bentuk paling asli dan autentik yang berpeluang aku tonton. Bangsawan puteri hitam putih inilah memperkenalkan aku kepada satu lagi dunia selain dunia biasa ini – dunia fantasi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...