Ahad, 20 Disember 2015

Radio, wayang pacak dan politik

AKU akan nukilkan lagi pengalaman peribadiku yang ada hubung kait dengan perkembangan media massa dan filem khususnya di negara kita pada era 60-an dan awal 70-an. Seperti biasa tulisanku ini bukan kajian ilmiah akademik. Cuma satu rakaman perjalanan hidup aku secara tidak langsung ada kaitan dengan kemajuan dan pembaharuan dalam bidang penyiaran baik radio, televisyen dan filem di Malaysia.

Sebelum dan selepas kita merdeka pada 1957, hanya radio sahaja merupakan alat komunikasi massa yang ada dan mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat negara ini.

Aku masih ingat rupa bentuk radio ketika itu. Reka bentuk radio seperti kotak kayu menggunakan bateri kering atau dry cell battery, berukuran sebesar bateri kereta. Ada radio berbentuk besar dengan ukuran 24 inci panjang dan 20 inci tinggi. Ada radio berukuran setengah daripada ukuran tersebut.

Seingat aku radio berbentuk lebih kecil dan mudah dibawa ke mana-mana dikenali sebagai transistor radio atau radio transistor mula wujud di pasaran pada awal 1963 atau 1964. Radio transistor menggunakan bateri berbentuk kecil berbanding dengan bateri radio konvensional.

Lewat siaran radio dipancarkan oleh Radio Malaya sehingga tertubuhnya Malaysia, kemudiannya dikenali sebagai Radio Malaysia inilah aku mengenali lagu-lagu dendangan P Ramlee, Saloma, R Azmi dan ramai lagi penyanyi Melayu. Hampir kesemua lagu Melayu popular ketika itu adalah petikan daripada filem-filem Melayu terbitan Malay Film Productions dan Cathay Keris yang berpusat di Singapura.

Bila memperkatakan tentang radio lama, ada satu peristiwa yang melekat di minda aku sehingga sekarang dan rasanya sepanjang hayatku.

Pada satu hujung minggu, aku mengikut pak cik dan beberapa anggota keluargaku berkelah di Pantai Tanjung Bidara, Melaka. Ketika itu aku baharu memasuki alam persekolahan pada 1961. Sebaik kami sampai di pantai dan mula mencari lokasi berkelah, aku ternampak satu keluarga yang juga sedang mencari kawasan untuk bersantai. Di antara ahli keluarga itu, aku lihat ada seorang lelaki sedang memikul sebuah radio besar di bahunya. Untuk makluman pembaca, selain berenang dan mandi laut, berkelah pada zaman itu cuma dipenuhi dengan aktiviti menikmati makanan dibawa daripada rumah sambil lepak-lepak atas tikar mengkuang dibentang atas pasir pantai di bawah pokok-pokok yang terdapat di sepanjang pantai. Tiada gajet mudah bawa untuk mendengar lagu seperti radio transistor ketika berkelah dan bersantai di pantai.

Paling aku tidak boleh lupakan, setelah keluarga itu mendapat port yang baik di bawah rimbunan pokok, mereka menikmati makanan tengah hari mereka sambil memasang radio besar mereka dengan menggunakan bateri kering. Tiba-tiba seluruh kawasan pantai perkelahan berkumandang dengan kuat alunan lagu-lagu siaran Radio Malaya lewat radio besar keluarga itu. Gempar habis keadaan dan suasana berkelah pada hari itu. Aku rasa sebelum ini belum ada orang sanggup bawa radio besar daripada rumah ke pantai untuk memeriahkan dan merancakkan suasana perkelahan mereka.

Bila aku teringat peristiwa hampir 50 tahun lampau itu, aku tersenyum sendiri. Memang lucu tetapi menarik. Imbas kembali atas daya usaha keluarga yang sanggup membawa radio besar dari rumah, kami yang berkelah pada hari itu beruntung mendapat hiburan percuma. Sukar untuk bertemu pada era itu berkelah di hujung minggu sambil menikmati lagu-lagu daripada alat dipanggil radio. Radio era itu direka bentuk untuk kegunaan di rumah sahaja. Berkelah pada zaman itu benar-benar aktiviti riadah yang asli dan tulrn – raw. Tanpa gajet elektronik memberi sumber hiburan tambahan seperti lagu-lagu untuk dinikmati, selain alam dengan deruan angin dan ombak.

Dengan kemunculan radio transistor yang lebih kecil dan mudah dibawa ke mana-mana pada pertengahan 60-an telah mengubah cara orang ramai berkelah. Sambil mandi-manda dan menikmati makanan kaki berkelah boleh berhibur dengan lagu-lagu dan siaran radio melalui radio transistor menggunakan bateri.

Cebisan pengalaman aku 50 tahun lalu ini boleh dimanfaatkan oleh pembikin filem generasi baharu terutamanya para pereka produksi dan pengarah seni untuk melahirkan mood, suasana dan mise-en-scene babak perkelahan era selepas merdeka dan sebelum tertubuhnya, Malaysia pada 1963.

Sebelum kemunculan televisyen di Malaysia pada 1963, hiburan bentuk visual hanya mampu dinikmati melalui tayangan filem-filem tempatan dan luar di panggung wayang di bandar-bandar besar dan separa besar. Kemampuan untuk menonton filem amat terbatas.

Sebelum ini pernah aku nukilkan dalam kolum ini tentang kesukaran bagi penduduk-penduduk kampung dan luar bandar untuk menonton filem di pawagam. Faktor kedudukan kampung-kampung dan jarak yang jauh dari bandar-bandar utama membuat rakyat luar bandar jarang berpeluang menonton filem.

Menonton filem atau wayang gambar adalah satu aktiviti yang eksklusif dan punya kedudukan istimewa dalam kegiatan sosial rakyat marhaen terutamanya orang-orang Melayu yang majoritinya penduduk kampung dan luar bandar.

Peluang menonton wayang gambar (ungkapan orang kampung) lazimnya melalui filem-filem dokumentari dan kadang-kadang cereka pendek yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan. Tayangan filem yang dikenali sebagai wayang pacak. Wayang pacak sangat popular dalam kalangan rakyat luar bandar sepanjang 60-an dan 70-an.

Aku beruntung dapat mengalami dan sama meraikan budaya wayang pacak ketika aku bersekolah rendah pada tahun-tahun 60-an. Wayang pacak Jabatan Penerangan ini lebih merupakan gerak saraf kerajaan untuk menyebarkan polisi dan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat jelata. Darurat diisytiharkan pada 1960 bagi menentang kegiatan ancaman komunis. Melalui tayangan wayang pacak ini rakyat diberi informasi terkini mengenai tindakan kerajaan menentang menghapuskan pengaruh dan ancaman fizikal komunis.

Senario pada hari diadakan tayangan wayang gambar pacak selalunya bermula pada sebelah petang. Van Jabatan Penerangan berwarna putih hijau akan mengelilingi kampung mengumumkan melalui pembesar suara tayangan wayang gambar akan diadakan pada malam itu.

Tayangan wayang gambar diadakan di padang sekolah di kampung kami.

Peluang menonton wayang pacak ini terhenti bila aku memasuki sekolah menengah pada 1967 dan tinggal di asrama di bandar Melaka. Aku hanya berpeluang menonton wayang pacak ketika cuti penggal sekolah dan selalunya ketika itu tiada program tayangan wayang pacak diadakan di kampung aku.

Pengalaman peribadi aku menonton wayang pacak ialah rasa bengang bila tayangan filem dihentikan untuk memberi laluan kepada pegawai penerangan memberi ucapan atau ceramah menerangkan apa yang kerajaan ingin lakukan untuk rakyat.

Selalunya ceramah penerangan ini mengambil masa 15 ke 20 minit. Bila hampir waktu pilihan raya, selain penerangan oleh pegawai Jabatan Penerangan, pasti ada calon dan bakal calon memberi ucapan. Ini membuat aku makin bosan dan resah hendak menunggu sambungan tayangan filem yang ditayangkan pada malam itu.

Kenangan paling aku ingat sampai bila-bila ialah tayangan wayang pacak hampir pilihan raya 1964, ketika aku berusia 10 tahun.

Pada malam itu, agak istimewa acara wayang pacak di padang sekolah kampung. Selain tayangan filem-filem dokumentari yang kesemuanya dalam hitam putih, tidak silap aku (mana aku kenal siapa orang politik ketika itu) ada ucapan dan ceramah oleh Allahyarham Ghaffar Baba.

Masih aku ingat dialog beliau sehingga sekarang – “Kalau tuan-tuan undi kapal layar (Parti Perikatan), lesen basikal tak payah bayar. Tidak ada lagi lesen basikal!” Gemuruh tepukan orang-orang kampung.

Aku senyum sendiri setiap kali flashback episod lesen basikal ini muncul di mindaku. Itulah pelajaran pertama aku tentang politik.

Pada aku, era 60-an mengenalkan aku kepada filem lewat budaya wayang pacak. Siapa boleh lupa logo seekor harimau melompat dan freeze dan timbul grafik Malayan Film Unit presents sebelum cerita bermula.

Terima kasih wayang pacak kerana mengenalkan aku kepada filem dan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...