PENGGAMBARAN filem Kami arahan Patrick Yeoh dan dilakonkan oleh Sudirman Haji Arshad dan adik Zul Zamanhuri dilakukan pada penghujung 1981.
Aku meninggalkan produksi tersebut setelah kontrak aku tamat walaupun penggambaran belum berakhir. Ketika itu sudah masuk ke tahun 1982.
Bagi menggambarkan suasana aku alami dalam produksi Kami ketika itu boleh aku pinjam gunakan bahasa orang-orang filem, shooting dah bust atau delay! Bererti penggambaran sudah melebihi jadual dan lambat. Keadaan jadi kalut.
Aku sudah tidak berupaya melayan kerenah-kerenah ditimbulkan oleh mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan produksi tersebut. Akhirnya, pada awal tahun baharu 1982 dengan hati yang berat aku mengambil keputusan meninggalkan produksi Kami.
Banyak peristiwa berlaku di negara kita dengan bermulanya tahun baharu 1982.
Bermula dari 1 Januari 1982, negara mula diperintah oleh perdana menteri ke empat, Dr Mahathir Mohamad yang menggantikan perdana menteri ketiga Allahyarham Hussein Onn.
Mahathir memulakan pemerintahan dengan slogan gempaknya - bersih, cekap dan amanah. Tetapi sayang hasilnya selepas 23 tahun tidak segempak yang disangka dan diharapkan. Perubahan paling ketara dibuat oleh beliau ialah menukar masa. Beliau menukar waktu di Semenanjung setengah jam ke depan untuk diselaraskan dan disamakan dengan waktu Sabah dan Sarawak. Aku masih ingat sebelum itu contoh pengumuman waktu di radio dan televisyen adalah seperti begini – “Pukul 8 malam waktu Semenanjung dan pukul 8.30 malam waktu Sabah dan Sarawak, inilah berita dari RTM. Tajuk-tajuk berita...” dan seterusnya.
Bermula dari 1 Januari 1982, waktu antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak termasuk Singapura dan Brunei telah disamakan dan diselaras. Aku tidak tahu dan tidak faham kenapa perubahan ini perlu dilakukan. Jika tidak silap ketika itu aku difahamkan oleh pihak pemerintah dan perdana menteri baharu yang perubahan ini dilakukan supaya rakyat menjadi lebih rajin dan produktif kerana masa siang jadi lebih panjang terutamanya di Semenanjung.
Berlatar belakangkan suasana baharu ini harapan rakyat bersemangat cergas dan segar bakal wujud di Malaysia.
Tetapi aku pula jadi tawar hati dan tidak bersemangat untuk meneruskan penglibatan aku dalam bidang pembikinan filem cereka setelah melalui pengalaman pahit terlibat dalam produksi filem Kami penghujung 1981. Kekecewaan aku itu lahir bila terpaksa berdepan dengan sikap negatif orang-orang filem kita sendiri.
Aku membuat keputusan untuk kembali kepada kerjaya dalam bidang filem iklan sementara aku mendapat peluang baharu terlibat dalam produksi filem cereka. Kali ini aku akan memilih produksi filem cereka yang menjanjikan seminimum mungkin berulangnya suasana seperti produksi Kami.
Pengalaman first hand itu sangat tinggi nilainya buat diri aku. Aku jadi faham kenapa susah sangat filem-filem kita hendak maju.
Aku berpendapat tidak akan ada perubahan dari segi mutu dan peningkatan aspek pembikinan filem kita selagi tenaga-tenaga produksi terlibat masih lagi orang-orang yang berasal dari zaman filem Melayu hitam putih era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura.
Faktor paling ketara ialah masalah mentaliti yang sangat-sangat berbeza antara kami, generasi baru pembikin filem Melayu dengan golongan lama zaman filem hitam putih.
Seperti yang telah aku tuliskan sebelum ini bagaimana perbezaan isu dan tema yang diangkat oleh Rahim Razali dibandingkan dengan apa cuba diangkat oleh Jins Shamsuddin lewat filem-filem mereka.
Perbezaan ini adalah manifestasi masalah jurang mentaliti di antara pengarah-pengarah generasi baharu Malaysia yang rata-ratanya berpusat di Kuala Lumpur dengan generasi lama dari Singapura.
Suasana ini berlaku sehingga melahirkan satu standard joke antara kami. Kami sebut perkataan filem sebagai “filem” sedangkan golongan lama ini sebutan perkataan filem jadi “filim”. Dari gurauan itu maka pada 1992 lahirlah lagu Bikin Filim ciptaan M Nasir dan liriknya adalah tulisan aku sendiri. Lagu ini terdapat dalam album M Nasir berjudul Saudagar Mimpi.
Aku bukan serik tapi aku punya semangat dan cita-cita hendak maju dalam bidang perfileman ini. Jika aku terus bersama mereka aku pasti tidak akan ke mana. Aku percaya maju mundurnya seseorang bermula dengan sikap individu itu sendiri. Secara jujur aku katakan, aku tidak sekepala dengan generasi bikin filem ini. Noktah.
Aku buat keputusan untuk bekerja semula dalam bidang filem iklan. Aku menyertai syarikat Urusan Filem yang ketika itu beroperasi di bangunan di mana KL Visitors Centre terletak sekarang ini. Bangunan ini bersebelahan Hotel Majestic dan berdepan dengan stesen keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin. Di syarikat ini aku bertugas sebagai penyelaras produksi dan juga pengarah.
Syarikat ini beroperasi dengan bilangan pekerja yang tidak ramai.
Walaupun aku tidak lama bersama Urusan Filem, aku mendapat peluang berharga terlibat dalam produksi filem cereka berjudul It Takes Two terbitan syarikat Cinema City dari Hong Kong. Filem ini diarahkan oleh Mak Kar, pengarah dan pelakon top Hong Kong ketika itu. Mak Kar terkenal dengan identiti berimej kepala botak. Mak Kar meletup dengan dengan lakonannya dalam filem komidi pecah panggungnya All The Wrong Clues (1981) arahan pengarah tersohor Tsui Hark. Aku menonton filem-filem lakonan Mak Kar dan suka gaya lawaknya tidak seperti filem-filem komedi Hong Kong konventional. Komedi Mak Kar banyak dipengaruhi gaya lawak atau komredi ala Amerika.
Untuk produksi filem It Takes Two arahan dan lakonan Mak Kar ini, syarikat Urusan Filem bertindak sebagai penyelaras tempatan untuk keperluan logistik dan lokasi penggambaran.
Aku bertugas sebagai salah seorang pengurus produksi tempatan. Penggambaran filem ini dilakukan di Ipoh, Kuala Selangor selain dari Kuala Lumpur. Selama dua minggu aku terlibat dalam penggambaran ini, banyak ilmu mengarah dan cara kerja yang sistematik dapat aku kutip dan pelajari.
Untuk pengetahuan pelajar, peminat filem dan pembaca generasi sekarang, Mak Kar dilahirkan di tanah besar Cina pada 1944. Kemudian berhijrah ke Hong Kong sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang engineering di universiti di New York. Filem-filem terkenal arahan dan lakonan tokoh filem berkepala botak ini di antaranya filem-filem siri Aces Go Place, Aces Go Places 2 dan 3.
Inilah pengalaman paling berharga bila aku dapat peluang bekerja dengan salah seorang pengarah dan pelakon Hong Kong yang aku minati dan ikuti kerja-kerja seni filemnya.
Kalau tidak silap aku, selepas lebih kurang lima bulan bekerja di situ, aku menerima tawaran dari bos lama aku, Othman Hafsham.
Beliau menawarkan aku tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem keduanya berjudul Mekanik. Ketika itu Hafsham sedang dalam proses mencari produser untuk menerbitkan filemnya itu.
Beliau menawar aku untuk terlibat dalam produksi ini dari peringkat penulisan screenplay dan peringkat mencari produser yang berpotensi untuk melabur dalam filem keduanya ini.
Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu kerana ada peluang terlibat daripada peringkat paling asas dan awal pembikinan sesebuah filem – peringkat penghasilan skrip dan pencarian dana dan produser. Aku nampak banyak peluang untuk aku belajar dan mendalami lagi cara-cara pembikinan sesebuah filem cereka atau feature film. Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu.
Minggu depan aku akan ceritakan bagaimana aku bertugas sebagai penolong pengarah dan pengarah seni kepada Othman Hafsham untuk filem Mekaniknya.