Ahad, 9 November 2014

Siapa di sebalik filem Mekanik

KETIKA Hafsham membuat keputusan muktamad untuk mengambil Azmil Mustapha menggantikan Dharma Harun sebagai hero filem Mekanik, waktu pejabat sudah berakhir. Keesokan harinya, seawal pagi aku berusaha menghubungi syarikat Showmaster untuk mendapatkan Azmil.

Pihak Showmaster tidak tahu bila beliau akan hadir ke pejabat. Azmil merupakan freelancer dengan syarikat Ali Bakar itu. Ketika itu belum ada kemudahan telefon bimbit atau smartfon. Aku tinggalkan pesan supaya Azmil menghubungi kami di studio Perfima secepat mungkin.

Memandangkan masa makin suntuk dan aku khuatir Azmil tidak masuk pejabat hari itu, aku hubungi semula pejabat Showmaster untuk mendapatkan alamat kediaman beliau. Aku masih ingat hari itu adalah hari Jumaat. Sebaik sahaja aku mendapat alamat kediamannya, aku bergegas ke rumahnya yang terletak di Bangsar. Aku mengejar waktu.

Aku berharap dapat menemui beliau untuk mengatur sesi pertemuan dengan Hafsham selepas solat Jumaat nanti. Aku berjaya menemui rumah beliau tetapi pintu pagarnya berkunci. Aku memberi salam beberapa kali tetapi tidak ada respons. Suasana senyap dengan pintu dan tingkap rumah bertutup.

Akhirnya, aku nekad mengambil keputusan memanjat pintu pagar dan menyelitkan di pintu rumahnya nota ringkas meminta beliau datang ke Perfima untuk pertemuan dengan Hafsham. Dalam pukul tiga petang, Azmil muncul di studio Perfima.

Sungguh lega aku dengan kedatangannya itu. Aku berharap perbincangan antara Hafsham dengan Azmil bakal menghasilkan sesuatu yang positif. Selepas hampir 30 minit mereka berbincang, akhirnya Hafsham mengumumkan secara rasmi Azmil Mustapha adalah hero filem Mekaniknya.

Apa berlaku seterusnya adalah seperti ungkapan popular – the rest is history! Watak heroin Rina diperankan oleh Julie Faridah dan Susan Lankaster dipilih untuk watak Nina. Kedua mereka ini adalah pendatang baharu. Pemilihan mereka dibuat oleh Hafsham melalui casting agency yang banyak membekalkan pelakon-pelakon untuk penggambaran filem-filem iklan ketika itu.

Jika tidak silap aku, Julie dan Susan lebih banyak terlibat dalam iklan dan peragaan. Pemilihan untuk pelakon-pelakon pembantu utama seperti watak ibu kepada hero, watak ketua perompak iaitu ketua mafia, watak inspektor dan dua orang anggota detektif polis, watak broker saham merangkap penasihat kewangan dan setiausahanya adalah pilihan yang diputuskan oleh Hafsham.

Hafsham memilih Noraini Hashim (Allahyarham) untuk watak ibu kepada hero. Sementara Yusof Haslam (Datuk) dipilih untuk memerankan watak ketua mafia yang diburu oleh pelakon teater Azmi Muhamad sebagai inspektor. Untuk watak dua detektif polis diperankan oleh pelakon drama tv popular Omar Abdullah dan M Rajoli (Allahyarham) yang sedang mula mencipta nama sebagai pelakon filem dan drama TV ketika itu.

Aku cadangkan kepada Hafsham supaya watak kedua orang detektif itu menggunakan loghat utara dan pantai timur. Tujuan aku ialah untuk memberi warna kepada watak-watak ini selain menambah nilai unsur komedi kepada watak-watak tersebut.

Hafsham menerima cadangan aku itu. Hasilnya berjaya mencuit hati penonton. Alhamdulillah. Satu lagi cadangan aku diterima oleh Hafsham ialah memberi imej ‘kepala botak tetapi rambut panjang’ untuk watak inspektor yang diperankan oleh Azmi Muhamad. Aku mendapat ilham untuk mencorakkan watak inspektor itu sedemikian rupa kerana aku terbayangkan imej kepala botak pelakon terkenal Hong Kong, Mak Kar.

Beberapa bulan sebelum itu aku berpeluang terlibat dalam produksi filem Hong Kong, It Takes Two lakonan dan arahan Mak Kar. Aku terlibat dengan produksi filem tersebut ketika mereka melakukan sebahagian penggambarannya di Malaysia. Aku terangkan kepada Hafsham imej untuk watak Inspektor Azmi itu diinspirasikan oleh imej Mak Kar.

Bezanya ialah watak Inspektor Azmi berambut panjang di sekeliling bahagian kepalanya dan tidak botak seratus peratus seperti Mak Kar. Walaupun Hafsham setuju dengan cadangan aku itu tetapi aku khuatir jika Azmi keberatan untuk melakukannya.

Sebagai pelakon Azmi berani mencuba dan mencari kelainan. Aku tabik Azmi kerana kesanggupannya membotakkan sebahagian kepalanya untuk menzahirkan watak Inspektor Azmi yang sering terbersin bila ada tekanan kerja.

Tetapi sayang Azmi tidak meneruskan kerjaya lakonannya. Beliau lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja produksi di belakang kamera selepas filem Mekanik. Untuk watak-watak pembantu pula Hafsham banyak menyerahkan kepada aku untuk mencari pelakon-pelakon yang sesuai.

Aku tidak boleh mengambil sikap tangkap muat sahaja walaupun watak-watak itu cuma watak - watak pembantu sampingan sahaja. Aku berpandangan sesiapa bakal aku tawarkan watak-watak ini perlu ada sekurang-kurangnya pengetahuan dan pengalaman asas lakonan.

Aku tidak mahu mencadangkan pelakon-pelakon pembantu yang kaku dan kayu kepada Hafsham. Ketika itu kebanyakan mereka terlibat dalam pembikinan filem-filem Melayu lazimnya menggunakan dan memilih pelakon-pelakon pembantu dan pelakon tambahan secara tangkap muat sahaja.

Selalunya pelakon-pelakon ini dari kalangan kenalan dan kawan-kawan si pembikin filem yang gila hendak berlakon. Mereka ini jenis tidak kisah walaupun jadi pak pacak. Kepada mereka paling penting dapat peluang muncul dalam filem. Ada di antara mereka sanggup berlakon percuma asalkan mereka diberi peluang muncul sebagai pak cak.

Mungkin ada pembaca dan peminat filem tempatan generasi sekarang berpendapat aku cuma mengada-adakan cerita sahaja. Tetapi sejujurnya itulah realiti yang pernah aku alami. Sebagai penolong pengarah filem, aku juga ditugaskan untuk mendapatkan pelakon-pelakon pembantu dan tambahan yang diperlukan oleh pengarah.

Penglibatan aku dalam teater sebelum ini banyak membantu aku memberi peluang kepada seramai mungkin rakan-rakan teater aku untuk melakonkan watak-watak pembantu dan tambahan. Ramai di antara mereka terus berjaya sebagai pelakon dan tenaga penggiat filem selepas kemunculan sulung mereka dalam Mekanik.

Sani Sudin dan Imuda, dua nama aku cadangkan kepada Hafsham untuk watak-watak pembantu mekanik kepada Azmil terus menyerlah dan berjaya sebagai pelakon sehingga sekarang. Majid Salleh pemegang watak sebagai salah seorang perompak berboskan Yusof Haslam yang sering berdialog ‘No problem, bos!’ terus mengorak langkah dalam bidang lakonan selepas kemunculan pertamanya ini.

Majid banyak berlakon dalam siri TV Gerak Khas terbitan Datuk Yusof Haslam. Seterusnya dari tahun 90-an sehingga sekarang beliau banyak mengarah drama untuk stesen TV swasta dan RTM. Hazali Ramli yang membawa watak perompak Cina dalam kumpulan mafia Yusof Haslam lebih menyerlah dalam kerja-kerja produksi filem dan drama.

Sekarang Hazali berjaya menduduki kerusi pengarah dan bergiat mengarah drama untuk televisyen. Selain rakan-rakan dari kumpulan-kumpulan teater, aku juga bernasib baik mendapat kerjasama daripada rakan-rakan pekerja dan krew filem iklan.

Mereka ini aku kenali ketika aku bekerja dalam pembikinan filem iklan dengan Profilm sebelum ini. Kebanyakan babak-babak melibatkan pelakon-pelakon pembantu bukan Melayu adalah rakan-rakan krew dan tenaga produksi daripada syarikat dan studio filem iklan seperti Jemima Film.

Salah seorang dari mereka ialah Frankie Lee. Beliau membawa watak bomoh Cina tukang telek nombor ekor dalam babak di kubur Cina. Siapa boleh lupa dialog klasiknya, “Saya bukan datuk, saya tan sri...nombor mahu mali... sudah mali...”

Aku rasa ramai tidak perasan, 30 tahun kemudian pelakon pembantu yang sama berlakon sebagai bapa bernama Uncle Chuan dalam filem The Journey. Filem tempatan paling berjaya setakat ini menghasilkan rekod kutipan pecah panggung RM17 juta. Akhirnya, Frankie berjaya membawa watak besar dan penting. Tahniah, bro!

Ahad, 2 November 2014

Bagaimana aku temui Azmil Mustapha

SELEPAS 30 tahun berlalu, semua sudah tahu pengganti Dharma Harun al-Rashid untuk watak hero filem Mekanik ialah Azmil Mustapha. Satu Malaysia khususnya peminat dan penonton filem Melayu dan bangsa Melayu amnya tahu apa yang tercetus daripada kemunculan sulung Azmil melalui filem Mekanik.

Azmil seterusnya mencipta fenomena melalui filem-filem siri Ali Setan dengan penampilannya dalam Ali Setan (1985) arahan Jins Shamsudin, Ali Setan 2 (1986) arahan Yasin Salleh.

Tetapi, siapa dia Azmil sebelum dia menjadi hero? Bagaimana dan di mana aku menemuinya? Sebelum meneruskan, izinkan aku ceritakan sedikit lagi senario industri filem Malaysia ketika itu.
     
Aku juga mahu ceritakan pengalaman aku bertugas sebagai penolong pengarah berhadapan dengan kerenah, sikap dan masalah pelakon ketika segala kemudahan untuk memproduksikan sesebuah filem amat terbatas dibandingkan dengan sekarang.

Pada awal 80-an ramai beranggapan kegiatan menerbitkan filem Melayu tempatan cuma sebagai aktiviti ekonomi berskala kecil yang belum boleh dipanggil sebagai satu industri.

Mereka yang terlibat dalam kegiatan penerbitan filem ketika itu pasti berdepan dengan hambatan dan keterbatasan dari segi kos penerbitan, kemudahan fasilitas pembikinan, pasaran dan penayangan. Keadaan ini masih terus menghantui produser-produser sekarang walaupun industri filem tempatan ada peningkatan dari segi kuantiti.

Untuk pengetahuan pembaca, pelajar dan penggiat filem generasi sekarang, ketika itu di negara kita belum ada lagi akademi dan jabatan pengajian lakonan seperti di Aswara dan kebanyakan institusi-institusi pengajian tinggi seperti sekarang.

Keadaan ini berlaku kerana penerbitan filem-filem Melayu tempatan hanya kira-kira lima belas judul setahun. Jauh bezanya dibandingkan dengan jumlah filem Melayu dan tempatan diterbitkan sekarang. Maka tidak hairanlah ketika itu jika kegiatan penerbitan filem hanya dianggap bagaikan satu industri pinggiran sahaja.

RTM merupakan stesen televisyen tunggal di negara ini. Belum ada lagi penerbitan drama-drama dan program-program tv yang diswastakan. Jumlah pelakon pun tidak seramai dan semeriah sekarang kerana peluang kerja yang terhad.

Berbalik kepada masalah aku dan pasukan produksi filem Mekanik hadapi, pengarah Hafsham memberi penegasan - walau apa pun keadaannya, pengganti hero perlu dicari dalam masa kurang dari seminggu sebelum penggambaran dimulakan. Tetapi, kami kesuntukan masa!   
   
Keadaan sememangnya genting. Sebab dan kenapa Dharma Harun tidak jadi memegang watak hero itu tidaklah jelas kepada aku ketika itu. Andaian aku adalah – besar kemungkinan ada pertindihan jadual penggambaran dengan tawaran filem lain untuk beliau.

Mungkin juga ada hubung kait dengan isu pembayaran? Sebenarnya aku malas hendak ambil tahu kerana itu bukan dalam bidang tugas dan kuasa aku. Aku berpendapat masalah ini hanya boleh dan layak  diselesaikan oleh pengarah dan pelakon yang terlibat.

Dalam keadaan kritikal ini, tugas aku ialah mencari pelakon pengganti sama ada pelakon baharu atau yang sudah establish untuk menggantikan kekosongan watak hero yang ditinggalkan oleh Dharma Harun.

Itu adalah arahan dari pengarah yang mesti aku laksanakan dengan segera. Kami berdepan dengan hambatan masa kerana penggambaran akan dimulakan dalam masa kurang dari seminggu.

Jika kami tidak berjaya mendapatkan pengganti Dharma Harun kemungkinan besar penggambaran perlu ditangguhkan. Ini bererti banyak perancangan perlu diubah.

Satu perubahan besar dan drastik perlu dilakukan hanya kerana kegagalan mendapatkan seorang pelakon untuk watak penting. Perubahan besar dan drastik aku maksudkan ialah jadual penggambaran dan lokasi yang telah dikenal pasti serta persetujuan di antara kami dengan tuan punya lokasi perlu dibincang semula untuk mencari tarikh penggambaran baharu.

Dalam bahasa mudah – bila jadual penggambaran bertukar secara automatik perancangan-perancangan lain yang telah disusun atur akan menerima kesannya. Dari perkara penting dan besar sehingga yang sekecil-kecilnya akan terkena tempiasnya.

Semua bahagian produksi dan logistik perlu dirombak semula untuk menampung pertukaran jadual penggambaran baharu. Bertukar jadual penggambaran maka akan bertukarlah perkara-perkara lain yang melibatkan produksi sesebuah filem.  
   
Bayangan awal dan asas untuk watak utama hero filem Mekanik ini merupakan seorang anak muda yang nakal tetapi cerdik, kacak dan rugged. Bapanya telah meninggal dunia. Dia menjaga dan tinggal bersama ibunya. Seorang anak muda yang bertanggungjawab, penyayang dan rapat dengan ibunya.

Ciri-ciri utama perlu ada pada watak hero Mekanik ini merupakan seorang anak muda yang punya nilai-nilai hidup positif, progresif, berani dan berfikiran jauh. Seorang anak muda berpelajaran tetapi tidak suka bekerja pejabat.

Berani berdikari menjadi bos sendiri – suka bebas. Watak ini bermotivasi tinggi untuk mencapai kemajuan dalam hidupnya. Hafsham cuba lari daripada mewarnakan watak itu seperti hero-hero kebanyakan filem-filem komedi Melayu ketika itu.

Lari dari acuan klise watak hero filem-filem komedi Melayu ketika itu. Hero filem Mekanik adalah lambang anak muda Melayu generasi baharu selari  dengan peredaran zaman dan perubahan hidup sejagat.

Sememangnya ketika itu belum ada watak-watak dalam filem-filem Melayu yang diangkat dari golongan pekerja kolar biru seperti watak seorang mekanik. Mekanik adalah filem Melayu pertama menampilkan watak hero generasi muda daripada golongan marhaen yang berkerjaya mekanik – a working class hero.

Untuk pengetahuan generasi sekarang, pelakon-pelakon popular dan top selain Dharma Harun ketika itu yang boleh dipertimbangkan untuk watak hero filem Mekanik di antaranya ialah Allahyarham Latif Ibrahim, Yusuf Haslam (Datuk), Ahmad Tarmimi Serigar (Datuk) dan Mozaid.  

Untuk mencari pelakon yang sesuai aku perlu juga mengambil kira konsep yang dimahukan oleh Hafsham untuk filem keduanya ini. Filem Mekanik berkonsepkan - sebuah filem Malaysia. Naratifnya menitik beratkan penglibatan watak-watak semua bangsa Malaysia.

Hero filem ini mestilah yang boleh diterima oleh semua lapisan dan semua bangsa Malaysia.

Langkah pertama aku ialah mencari dan melihat gambar-gambar pelakon lelaki sedia ada dan bakat-bakat baharu dalam lingkungan umur awal dan pertengahan 20-an melalui majalah-majalah hiburan dan akhbar.

Ketika itu agensi pelakon belum banyak beroperasi. Jika adapun mereka lebih kepada menyediakan pelakon-pelakon untuk penggambaran filem-filem iklan dan fotografi untuk iklan di media cetak.

Dalam proses aku membongkar dan menyelak majalah-majalah hiburan popular ketika itu seperti majalah URTV, Kisah Cinta, Variapop, Penghibur dan lain-lain, aku terjumpa satu artikel dengan gambar sisipan berwarna dalam majalah Penghibur terbitan Berita Publishing yang memaparkan wajah Azmil.

Majalah yang aku temui itu merupakan majalah lama keluaran dua atau tiga bulan sebelumnya. Hati aku tergerak menyatakan inilah hero baharu filem Mekanik dan aku berkeyakinan Hafsham akan setuju dengan cadangan aku itu. Aku lihat Azmil ada pakej yang dimahukan oleh Hafsham. Aku harap aku tidak silap.

Artikel itu menceritakan tentang Azmil sedang menjalani proses rakaman album sulungnya yang bakal dilancarkan oleh syarikat AB Rekod, syarikat kepunyaan Ali Bakar, promoter hiburan sedang meningkat naik ketika itu. Azmil juga merupakan penyanyi band Showmaster City Band yang bernaung di bawah syarikat Showmaster Sdn Bhd juga kepunyaan Ali.

Aku tunjukkan gambar dan artikel dalam majalah Penghibur itu kepada Hafsham. Sebaik sahaja Hafsham menatap gambar Azmil, beliau terus setuju untuk mengambil Azmil menggantikan Dharma. Hafsham  menugaskan aku segera mencari dan mendapatkan Azmil untuk sesi pertemuan.

Apa seterusnya berlaku? Kita sambung minggu depan.

Ahad, 19 Oktober 2014

Hafsham dan filem cerdiknya

AKU mula bertugas dengan Othman Hafsham dalam produksi filem arahan keduanya, Mekanik pada pertengahan tahun 1982. Selama kurang lebih enam bulan sehingga penghujung 1982, aku memikul tugas sebagai penolong pengarah untuk membantu Hafsham (nama panggilan santai tidak rasmi beliau) untuk mengemas kini dan mencantikkan lagi cerita serta skrip filem Mekaniknya itu.

Di peringkat ini cuma kami berdua sahaja merupakan anggota pasukan produksi untuk projek ini. Rumah Hafsham di Taman Melawati ketika itu merupakan pejabat kami. Waktu kerja kami selalunya pada sebelah malam. Pada waktu siang Hafsham masih dengan syarikatnya, Profilm membuat filem-filem iklan. Kami tidak berjumpa setiap malam. Perjumpaan dan perbincangan untuk olahan dan mengemaskinikan skrip selalunya diadakan dua atau tiga malam dalam seminggu. Rutin kerja ini bergantung kepada jadual penggambaran filem-filem iklan arahan Hafsham di Profilm.

Dalam masa yang sama setelah tidak lagi bekerja dengan Urusan Film, aku terlibat dengan satu projek teater yang diberi nama Teater Generasi Ketiga. Dianjurkan oleh penggiat-penggiat teater seperti Dinsman, Johan Jaffar (Datuk), Nordin Kardi (Tan Sri), Hanafiah A Samad dan beberapa rakan dari kumpulan-kumpulan teater yang aktif bergiat di Kuala Lumpur ketika itu.

Di tahun-tahun akhir 70-an hingga awal 80-an, selain bertugas dan mencari pengalaman dalam bidang perfileman cereka dan filem-filem iklan, aku juga terlibat dalam teater. Aku mula berteater dengan Bengkel Teater, KL Teater Kelab. Aku bercampur dan menimba pengalaman daripada tokoh-tokoh dan tenaga pengajar teater seperti Allahyarham Mustaffa Nor dan Shuhaimi Baba, pengarah filem Tanda Putera yang ketika itu bertugas sebagai penerbit drama TV di RTM. Rakan-rakan seangkatan dan sama berteater dengan aku ketika itu ialah Meor Hashim Manap, sekarang pengarah drama TV yang produktif, pelakon berwatak Abu Bakar Juah dan Fatimah Abu Bakar yang popular dengan panggilan Cikgu Fati, salah seorang tenaga pengajar siri Akademi Fantasia. Tidak ketinggalan Sani Sudin, salah seorang daripada ahli kumpulan trio penyanyi lagu-lagu puisi, Kopratasa.

Kehidupan yang aku lalui ketika itu cuma dua – obses dengan filem dan teater. Menariknya, penglibatan aku dalam teater banyak membantu aku ketika berkolaborasi dengan Hafsham menghasilkan filem Mekanik.

Sebagai orang baru yang sedang mencari pengalaman dalam bidang pembikinan filem cereka yang berskala lebih besar daripada filem iklan, keadaan kerja ini agak di luar jangkaan aku. Sejujurnya, ketika itu aku merasa tidak yakin. Apakah bermula dengan hanya kami berdua sebagai tenaga produksi boleh menghasilkan filem berdurasi lebih kurang dua jam? Kos produksi pembikinan filem ini pula memerlukan bajet dalam lingkungan RM200,000 hingga RM250,000. Ketika itu jumlah tersebut pula bukan merupakan jumlah lazim semasa berbanding dengan kos produksi dalam lingkungan RM100,000 hingga RM150,000 bagi memproduksikan kebanyakan filem cereka ketika itu.

Sememangnya keadaan ini merupakan pengalaman baharu dan menarik bagi aku. Walaupun bermula hanya dengan dua orang tetapi aku berkongsi keyakinan dengan Hafsham. Kami sama berkeyakinan usaha kami ini akan membuahkan kejayaan.

Keyakinan dan semangat kerja yang sukar untuk aku gambarkan dan ceritakan ketika itu dan berlarutan sehingga sekarang. Jujur aku nyatakan setelah hampir 30 tahun berlalu aku masih belum dapat menzahirkan dalam bentuk tulisan mahupun kata-kata tentang semangat kerja yang kami kongsi untuk melahirkan sebuah filem berjudul Mekanik.

Tekad kami hanya satu – mahu melakukan perubahan dan menghasilkan filem Melayu yang lain daripada kebiasaan terutamanya filem-filem genre komedi. Komitmen yang didasari semangat untuk menyumbangkan pembaharuan kepada filem-filem tempatan supaya ada peningkatan dari segi tema dan isu serta mutu yang ingin diangkat.

Nama Hafsham ketika itu sedang meletup selepas kejayaan pecah panggung filem arahan pertamanya Adik Manja yang berjaya memberi satu kelainan dan membawa pembaharuan kepada filem-filem Melayu bergenre komedi. Hafsham berjaya menukar habis cara penceritaan dan stail persembahan filem-filem komedi Melayu yang masih berpaksi kepada cara dan gaya komedi slapstick. Dalam bahasa mudah, Hafsham berjaya melalui filem pertamanya, Adik Manja mencerdikkan komedi filem-filem Melayu daripada terus dibelenggu oleh lawak bodoh yang ketinggalan zaman. Terutamanya filem-filem komedi dalam bentuk warna yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat filem Bumiputra Melayu berpusat di Kuala Lumpur pasca era hitam putih.

Aku tidak terlibat dalam produksi filem Adik Manja arahan pertama Hafsham. Tetapi kejayaan luar biasa filem pertama Hafsham itu membuat aku yakin dan bersemangat untuk bersama Hafsham bagi mencipta kejayaan dengan filem arahan keduanya itu.

Aku diminta oleh Hafsham di peringkat pertama ini untuk membantu beliau dalam prosesnya mengetatkan kelonggaran dan mengemaskinikan skrip Mekanik. Skrip dan cerita filem Mekanik ini merupakan idea asal dan tulen daripada Hafsham.

Dari aspek penghasilannya aku lihat banyak dipengaruhi oleh hasil-hasil kerja filem-filem daripada pengarah-pengarah Barat. Apatah lagi Hafsham merupakan lepasan dari London Film School. Ketika menuntut di London beliau banyak mengetahui dan didedahkan kepada tokoh-tokoh filem-filem komedi seperti Buster Keaton, Charlie Chaplin, Mel Brooks dan pengarah lagenda British, Alfred Hitchcock.

Di peringkat dan kesempatan ini banyak ilmu menulis dan mengolah penceritaan atau naratif sesebuah filem berjaya aku timba daripada Hafsham untuk menghasilkan skrip yang mantap, di samping cuba memenuhi sebanyak mungkin cita rasa penonton.

Kami banyak berbincang dan mencari elemen-elemen baharu yang tidak ada atau belum diguna pakai dalam filem komedi Melayu sebelum dan ketika itu.

Menurut Hafsham, naratif filem ini mengisahkan tentang kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Seboleh dan sebanyak mungkin Hafsham mahu memaparkan realiti kehidupan seharian masyarakat majmuk negara kita.

Filem Mekanik ini berlandaskan konsep filem Malaysia. Bermakna filem ini bakal ditonton, difahami dan dinikmati oleh semua bangsa di Malaysia. Mekanik bukan berlabelkan sebuah filem Melayu untuk penonton Melayu sahaja. Tagline untuk filem ini adalah – Filem Malaysia.

Selepas perbincangan demi perbincangan, aku mula faham apa visi dan bentuk filem mahu dihasilkan oleh Hafsham lewat naskhah keduanya itu.

Selain menggalas tanggungjawab sebagai penolong pengarah, aku juga memikul tugas sebagai pengarah seni yang bertanggungjawab untuk melahirkan secara visual apa dalam pemikiran Hafsham.

Beliau mahu melahirkan suasana kehidupan masyarakat Malaysia melalui filem ini. Sebagai pengarah seni, aku berfahaman penciptaan mis-en-scene memainkan peranan penting untuk menterjemahkan apa dalam minda beliau dan corak visual yang bagaimana dimahukannya.

Apa itu mis-en-scene? The arrangement of everything that appears in the framing – actors, lighting, decor, props, costume – is called mise-en-scene.

Perkataan mis-en-scene merupakan perkataan Perancis membawa maksud susunan apa sahaja yang berada dalam frame atau bingkai empat penjuru kamera – gerak susun pelakon, tata pencahayaan, dekorasi set, peralatan, busana.

Tugas dan kerja-kerja menghasilkan mis-en-scene yang dimahukan dan dibayangkan oleh pengarah akan jadi mudah serta lancar apabila seseorang pengarah seni merangkap production designer atau pereka produksi bukan setakat memahami tetapi sama-sama menghayati apa yang mahu dizahirkan oleh sang pengarah.

Alhamdulillah, kami ada chemistry itu.

Ahad, 12 Oktober 2014

Aku kembali bikin filem

PENGGAMBARAN filem Kami arahan Patrick Yeoh dan dilakonkan oleh Sudirman Haji Arshad dan adik Zul Zamanhuri dilakukan pada penghujung 1981.

Aku meninggalkan produksi tersebut setelah kontrak aku tamat walaupun penggambaran belum berakhir. Ketika itu sudah masuk ke tahun 1982.

Bagi menggambarkan suasana aku alami dalam produksi Kami ketika itu boleh aku pinjam gunakan bahasa orang-orang filem, shooting dah bust atau delay! Bererti penggambaran sudah melebihi jadual dan lambat. Keadaan jadi kalut.

Aku sudah tidak berupaya melayan kerenah-kerenah ditimbulkan oleh mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan produksi tersebut. Akhirnya, pada awal tahun baharu 1982 dengan hati yang berat aku mengambil keputusan meninggalkan produksi Kami.

Banyak peristiwa berlaku di negara kita dengan bermulanya tahun baharu 1982.

Bermula dari 1 Januari 1982, negara mula diperintah oleh perdana menteri ke empat, Dr Mahathir Mohamad yang menggantikan perdana menteri ketiga Allahyarham Hussein Onn.

Mahathir memulakan pemerintahan dengan slogan gempaknya - bersih, cekap dan amanah. Tetapi sayang hasilnya selepas 23 tahun tidak segempak yang disangka dan diharapkan. Perubahan paling ketara dibuat oleh beliau ialah menukar masa. Beliau menukar waktu di Semenanjung setengah jam ke depan untuk diselaraskan dan disamakan dengan waktu  Sabah dan Sarawak. Aku masih ingat sebelum itu contoh pengumuman waktu di radio dan televisyen adalah seperti begini – “Pukul 8 malam waktu Semenanjung dan pukul 8.30 malam waktu Sabah dan Sarawak, inilah berita dari RTM. Tajuk-tajuk berita...” dan seterusnya.

Bermula dari 1 Januari 1982, waktu antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak termasuk Singapura dan Brunei telah disamakan dan diselaras. Aku tidak tahu dan tidak faham kenapa perubahan ini perlu dilakukan. Jika tidak silap ketika itu aku difahamkan oleh pihak pemerintah dan perdana menteri baharu yang perubahan ini dilakukan supaya rakyat menjadi lebih rajin  dan produktif kerana masa siang jadi lebih panjang terutamanya di Semenanjung.

Berlatar belakangkan suasana baharu ini harapan rakyat bersemangat cergas dan segar bakal wujud di Malaysia.

Tetapi aku pula jadi tawar hati dan tidak bersemangat untuk meneruskan penglibatan aku dalam bidang pembikinan filem cereka setelah melalui pengalaman pahit terlibat dalam produksi filem Kami penghujung 1981. Kekecewaan aku itu lahir bila terpaksa berdepan dengan sikap negatif orang-orang filem kita sendiri.

Aku membuat keputusan untuk kembali kepada kerjaya dalam bidang filem iklan sementara aku mendapat peluang baharu terlibat dalam produksi filem cereka. Kali ini aku akan memilih produksi filem cereka yang menjanjikan seminimum mungkin berulangnya suasana seperti produksi Kami.

Pengalaman first hand itu sangat tinggi nilainya buat diri aku. Aku jadi faham kenapa susah sangat filem-filem kita hendak maju.

Aku berpendapat tidak akan ada perubahan dari segi mutu dan peningkatan aspek pembikinan filem kita selagi tenaga-tenaga produksi terlibat masih lagi orang-orang yang berasal dari zaman filem Melayu hitam putih era Jalan Ampas dan Cathay Keris, Singapura.

Faktor paling ketara ialah masalah mentaliti yang sangat-sangat berbeza antara kami, generasi baru pembikin filem Melayu dengan golongan lama zaman filem hitam putih.

Seperti yang telah aku tuliskan sebelum ini bagaimana perbezaan isu dan tema yang diangkat oleh Rahim Razali dibandingkan dengan apa cuba diangkat oleh Jins Shamsuddin lewat filem-filem mereka.

Perbezaan ini adalah manifestasi masalah jurang mentaliti di antara pengarah-pengarah generasi baharu Malaysia yang rata-ratanya berpusat di Kuala Lumpur dengan generasi lama dari Singapura.

Suasana ini berlaku sehingga melahirkan satu standard joke antara kami. Kami sebut perkataan filem sebagai “filem” sedangkan golongan lama ini sebutan perkataan filem jadi “filim”. Dari gurauan itu maka pada 1992 lahirlah lagu Bikin Filim ciptaan M Nasir dan liriknya adalah tulisan aku sendiri. Lagu ini terdapat dalam album M Nasir berjudul Saudagar Mimpi.

Aku bukan serik tapi aku punya semangat dan cita-cita hendak maju dalam bidang perfileman ini. Jika aku terus bersama mereka aku pasti tidak akan ke mana. Aku percaya maju mundurnya seseorang bermula dengan sikap individu itu sendiri. Secara jujur aku katakan, aku tidak sekepala dengan generasi bikin filem ini. Noktah.

Aku buat keputusan untuk bekerja semula dalam bidang filem iklan. Aku menyertai syarikat Urusan Filem yang ketika itu beroperasi di bangunan di mana KL Visitors Centre terletak sekarang ini. Bangunan ini bersebelahan Hotel Majestic  dan berdepan dengan stesen keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin. Di syarikat ini aku bertugas sebagai penyelaras produksi dan juga pengarah.

Syarikat ini beroperasi dengan bilangan pekerja yang tidak ramai.

Walaupun aku tidak lama bersama Urusan Filem, aku mendapat peluang berharga terlibat dalam produksi filem cereka berjudul It Takes Two terbitan syarikat Cinema City dari Hong Kong. Filem ini diarahkan oleh Mak Kar, pengarah dan pelakon top Hong Kong ketika itu. Mak Kar terkenal dengan identiti berimej kepala botak. Mak Kar meletup dengan dengan lakonannya dalam filem komidi pecah panggungnya All The Wrong Clues (1981) arahan pengarah tersohor Tsui Hark. Aku menonton filem-filem lakonan Mak Kar dan suka gaya lawaknya tidak seperti filem-filem komedi Hong Kong konventional. Komedi Mak Kar banyak dipengaruhi gaya lawak atau komredi ala Amerika.

Untuk produksi filem It Takes Two arahan dan lakonan Mak Kar ini, syarikat Urusan Filem  bertindak sebagai penyelaras tempatan untuk keperluan logistik dan lokasi penggambaran.

Aku bertugas sebagai salah seorang pengurus produksi tempatan. Penggambaran filem ini dilakukan di Ipoh, Kuala Selangor selain dari Kuala Lumpur. Selama dua minggu aku terlibat dalam penggambaran ini, banyak ilmu mengarah dan cara kerja yang sistematik dapat aku kutip dan pelajari.

Untuk pengetahuan pelajar, peminat filem dan pembaca generasi sekarang, Mak Kar dilahirkan di tanah besar Cina pada 1944. Kemudian berhijrah ke Hong Kong sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang engineering di universiti di New York. Filem-filem terkenal arahan dan lakonan tokoh filem berkepala botak ini di antaranya filem-filem siri Aces Go Place, Aces Go Places 2 dan 3.

Inilah pengalaman paling berharga bila aku dapat peluang bekerja dengan salah seorang pengarah dan pelakon Hong Kong yang aku minati dan ikuti kerja-kerja seni filemnya.

Kalau tidak silap aku, selepas lebih kurang lima bulan bekerja di situ, aku menerima tawaran dari bos lama aku, Othman Hafsham.

Beliau menawarkan aku tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem keduanya berjudul Mekanik. Ketika itu Hafsham sedang dalam proses mencari produser untuk menerbitkan filemnya itu.

Beliau menawar aku untuk terlibat dalam produksi ini dari peringkat penulisan screenplay dan peringkat mencari produser yang berpotensi untuk melabur dalam filem keduanya ini.

Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu kerana ada peluang terlibat daripada peringkat paling asas dan awal pembikinan sesebuah filem – peringkat penghasilan skrip dan pencarian dana dan produser. Aku nampak banyak peluang untuk aku belajar dan mendalami lagi cara-cara pembikinan sesebuah filem cereka atau feature film. Aku setuju menerima tawaran Hafsham itu.

Minggu depan aku akan ceritakan bagaimana aku bertugas sebagai penolong pengarah dan pengarah seni kepada Othman Hafsham untuk filem Mekaniknya.

Ahad, 28 September 2014

Mengapa aku tinggalkan KAMI

TULISAN aku tentang filem Kami minggu lalu, membuat beberapa rakan lama yang tidak terlibat dalam bidang perfileman menghubungi aku.

Mereka menonton filem Kami melalui YouTube selepas membaca artikel tersebut. Ada di antara mereka pernah menonton Kami menerusi televisyen dahulu.

Mereka bertanya betulkah aku penolong pengarah Patrick Yeoh untuk filem pertama dan terakhir lakonan Sudirman Haji Arshad itu? Mereka bertanya begitu kerana nama aku tidak ada pada credit titles pembukaan filem dan penutup credit titles akhir filem Kami.

Aku suruh mereka ikuti tulisan aku minggu ini untuk mendapatkan jawapannya.

Filem Kami lebih mendedahkan aku kepada pengalaman berharga mengenali sikap, perangai dan intrik-intrik tipu muslihat di belakang tabir pembikinan sesebuah filem.

Secara langsung dan tidak langsung sikap negatif mereka ini menyumbang kepada lembab dan liatnya filem-filem Melayu untuk berkembang dan maju dengan pemikiran dan sikap baharu selari dengan tuntutan perubahan dalam industri filem Melayu ketika itu.

Tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, warung-warung makan berdekatan dengan stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat merupakan port lepak orang-orang filem.

Pekerja-pekerja belakang kamera dan krew serta pelakon-pelakon menjadikan warung-warung itu tempat untuk melepaskan penat selepas balik shooting atau menunggu untuk pergi shooting.

Senario ini berlaku kerana dua syarikat paling produktif ketika itu Indra Film dan Sabah Film terletak di situ, di bangunan lot kedai di mana Restoran Haslam ada sekarang.

Dalam suasana inilah Patrick Yeoh, Sudirman dan aku cuba untuk menghasilkan filem Kami. Sememangnya pendekatan Patrick dan Sudirman terhadap pembikinan naskhah Kami agak berlainan. Aku selesa dengan pandangan dan impian mereka untuk menghasilkan filem bercorak lain dari filem-filem Melayu yang dihasilkan ketika itu.

Aku telah menyusun jadual penggambaran untuk 50 hari tetapi penggambaran filem Kami hanya mampu disiapkan setelah mencecah hampir lebih tiga bulan.

Aku tidak pasti jumlah hari sebenar kerana aku telah meninggalkan produksi itu selepas cuba bertahan selama hampir 60 hari untuk menghabiskan penggambaran walaupun kontrak aku hanya untuk 50 hari.

Kenapa masalah ini terjadi? Aku lihat ketika itu terdapat kelompok yang berasakan Patrick Yeoh tidak layak memegang teraju utama sebagai pengarah. Kelompok ini akan cuba mencari kelemahan dan kesilapan pengarah.

Ramai dalam kelompok ini merupakan generasi pembikin filem yang berhijrah ke Kuala Lumpur selepas penutupan studio Jalan Ampas dan Cathay Keris di Singapura.

Cara kerja dan kesefahaman yang aku cuba jalin dan praktikkan dengan Patrick ialah setiap kali sebelum penggambaran sesuatu babak dilakukan aku akan bertanya Patrick apa mahu digambarkannya berdasarkan skrip.

Kami berbincang dan aku akan mencadangkan pergerakan kamera dan pelakon. Aku membantu beliau untuk memastikan babak-babak yang bakal dirakamkan tidak akan mengalami masalah dari segi kesinambungan ketika di peringkat penyuntingan kelak.

Membantu dari aspek teknikal menjadi keutamaan aku supaya penggambaran berjalan lancar. Pembaca, pelajar filem dan pembikin filem generasi sekarang perlu tahu ketika itu tidak ada kemudahan video assist.

Semuanya bergantung kepada hanya kekuatan minda untuk menvisualkan babak-babak yang ingin dihasilkan oleh sang pengarah.

Selepas aku mendapat kepastian daripada Patrick tentang pergerakan pelakon-pelakonnya, aku akan berbincang dengan jurukamera untuk penataan pencahayaan. Sistem kerja ini mulanya berjalan lancar tetapi bila masuk minggu kedua keadaan mula berubah.

Perubahan berlaku bukan kerana ketiadaan kesefahaman antara aku dengan Patrick tetapi lebih kepada sikap pengkritik luar yang tidak terlibat dalam produksi ini. Mereka  mempersoalkan kebolehan Patrick untuk mengarah kerana banyak masa kononnya terbuang kerana perbincangan di set.

Perbincangan kami di set merupakan perbincangan untuk memuktamadkan pelaksanaan sesuatu babak berdasarkan skrip.

Terus-terang aku nyatakan, sebagai penolong pengarah aku hafal setiap babak dalam skrip itu - muka surat demi muka surat. Perbincangan ini perlu kerana bila kami berada di lokasi keadaan dan suasana akan berubah. Kami perlu membuat penyesuaian untuk memenuhi kehendak skrip walaupun lokasi-lokasi itu telah direcce sebelum ini.

Aku tidak tahu apa motif sebenar puak-puak ini bertindak begini. Apa yang pasti suara-suara sumbang ini datang dari mereka-mereka yang kononnya lebih tahu ‘bikin gambar.’

Warung-warung menjadi tempat gosip-gosip ini tersebar luas. Aku sebenarnya menyampah dan meluat dengan perangai puak-puak ‘serba pandai bikin filem’ ini. Aku tidak pernah melalui pengalaman seperti ini ketika bekerja dalam bidang pembikinan filem iklan.

Aku berjanji kepada diriku untuk cuba bertahan semampu boleh bila berdepan dengan kerenah-kerenah ‘bodoh’ ini. Episod cucuk dan menikam dari belakang ini makin hari makin sukar dikawal.

Suasana di set penggambaran pula bertambah kecoh dan bercelaru. Ramai ‘bijak pandai’ turut sama mahu terlibat untuk ‘call for shot’. Aku terus bertahan walaupun aku mengalami tekanan dan tension.   

Akhirnya aku meninggalkan produksi Kami kerana kontrak aku telah tamat walaupun penggambaran masih ada berbaki kurang lebih 60 peratus  lagi.

Aku boleh sahaja bertahan sehingga penggambaran selesai tetapi aku sudah tidak ada mood dan bosan dengan sikap PHD (perasaan hasad dengki) yang sering dikaitkan dengan sikap kebanyakan orang-orang Melayu dulu, kini dan mungkin selamanya.

Aku lihat produksi filem Melayu tidak banyak ketika itu. Rasanya tidak salah jika aku berpendapat kehadiran pengarah dan orang-orang baharu dalam filem seperti Patrick Yeoh akan menyempitkan peluang orang-orang lama ini untuk mengarah.

Tindakan aku berhenti itu mungkin menyebabkan nama aku digugurkan dari credit titles filem Kami. Aku bertindak berhenti berlandaskan undang-undang.

Aku telah memenuhi tuntutan kontrak yang menyatakan penglibatan aku sebagai penolong pengarah dan pengarah seni hanya untuk 50 hari penggambaran.

Walaupun nama aku tidak tercatat pada credit titles filem Kami tetapi aku percaya kepada konsep yang benar tetap benar. Ini terbukti selepas hampir 30 tahun berlalu.

Dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 bersiaran sempena mengingati 20 tahun kepergian Allahyarham Sudirman pada 22 Februari 2012, pelakon Zul Zamanhuri, kini berusia awal 40-an yang memegang watak Din menyatakan nama aku sebagai penolong pengarah kepada Patrick Yeoh.

Menurut Zul Zamanhuri ini merupakan satu kombinasi yang bagus.

Terima kasih Zul Zamanhuri aka Din dan Al-Fatihah buat Allahyarham Sudirman aka Tookoo – KAMI.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...