Langkau ke kandungan utama

Nasir Jani tidak pernah mengalah!

JIKA diselak perjalanan seninya, mungkin ramai yang menarik nafas panjang kerana bukan mudah untuk ikon seni ini terus bertahan.

Mula mencipta nama sebagai pengarah seni untuk filem, Mekanik pada 1983, langkah Nasir Jani turut disertai dengan kontroversi hebat.

Terkenal dengan sikap lantangnya dalam menyelar kerajaan dan pimpinan ketika itu, Nasir pernah melalui episod duka termasuk dipenjarakan serta ditempatkan ke Tanjung Rambutan.

Malah, rentetan daripada peristiwa itu, dia terpaksa melalui detik-detik sukar untuk bergerak dalam kerjaya seninya.

Namun, ia adalah kisah satu ketika dahulu dan kini Nasir kembali bangkit dari ‘mimpi hitam’ itu secara berperingkat.

Malah, ikon seni seangkatan dengan pelakon veteran hebat, Datuk Rahim Razali, ini bakal tampil dalam filem arahan ketiganya.

Di kesempatan ini, Zass menyusun satu temu bual bersama pengarah filem, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana 1987, ini dalam berkongsi cerita mengenai karya terbaharunya serta perkembangan seninya.

Apa perkembangan seni anda?

Alhamdulillah, rezeki dalam industri seni masih berpihak kepada saya. Malah, tidak lama lagi, saya akan tampil dalam kerja pengarahan semula.

Saya diberi kepercayaan syarikat penerbitan, Kumpulan Media Karangkraf (KMK) Sdn Bhd, untuk mengarahkan filem yang diadaptasi dari novel, Tombiruo, nukilan Ramlee Awang Murshid.

Selain itu, saya juga akan terlibat dalam akhbar Sinar Harian di ruangan Zass sebagai kolumnis. Dalam lakonan pula, saya akan tampil dalam filem arahan Sofi Jikan, GengsteRock: Kasi Sengat!.

Mengenai ruangan pojok itu, apakah yang akan anda kongsikan?

Dalam ruangan itu, saya akan menulis mengenai industri menerusi pemahaman saya. Saya akan berkongsi cerita mengenai sejarah industri dan pengalaman saya sepanjang tiga dekad sebagai anak seni. Malah, tulisan saya itu juga akan menjadi rujukan untuk pelajar seni dalam memahami perkara berkaitan industri termasuk sejarah.

Ini adalah kali pertama anda mengarah filem adaptasi. Adakah ianya memberi cabaran hebat?

Novel Tombiruo bukanlah sembarangan novel. Dihasilkan oleh penulis hebat, tentunya ia adalah kerja yang ‘renyah’. Pun begitu, saya akan cuba membawa novel ini ke layar tanpa terbabas.

Setelah meneliti jalan cerita novel itu, tidak mungkin untuk saya mengangkat kesemua tulisan itu ke layar 100 peratus memandangkan ia mempunyai 500 muka surat.

Lagipun, adaptasi tidak diwajibkan untuk mengangkat kesemua yang ada dalam novel. Berdasarkan limit masa untuk filem hanyalah 90 hingga 120 minit sahaja, saya akan berusaha sehabis daya untuk memberikan yang terbaik. Penggambaran pula mungkin akan dilakukan di dua lokasi termasuk Sabah.

Boleh kongsikan sedikit mengenai perjalanan seni anda dari era 80-an sehingga kini?

Saya mula terlibat dalam kerja pengarahan pada tahun 1983, menerusi filem, Mekanik, arahan Othman Hafsham.Ketika itu, saya diberi peluang untuk menjadi pengarah seni.

Pada tahun 1984, saya diberi kepercayaan oleh Datuk Rahim Razali sebagai pengarah seni filem, Matinya Seorang Patriot. Pada tahun 1986, saya membuat percaturan sendiri dengan mengarahkan filem, Kembara Seniman Jalanan dan turut bertindak sebagai pengarah seni dan lakon layar.

Setahun selepas itu, saya memperkenalkan, Rozana 1987. Selepas itu, saya turut terlibat dalam kerja-kerja seni filem termasuk, Kepala Angin (1987), Leftwings (2012) dan lakonan untuk filem, Rock (2005) dan Songlap (2011).

Walaupun pengalaman anda lebih tiga dekad, namun hanya dua filem sahaja yang anda arahkan. Adakah kerja-kerja seni anda masih berlangsung sepanjang tempoh itu?
Walaupun saya tidak mengarah, namun kerjaya saya masih dalam industri seni.

Seperti yang diketahui, perjalanan seni saya bukanlah satu yang mudah. Apabila saya tidak diterima sebagai anak seni, saya mula bergerak secara diam-diam. Malah, dalam tempoh itu, saya banyak menghasilkan skrip untuk drama, dokumentari dan filem.

Namun, saya tidak menggunakan nama sendiri dan hanya menggunakan nama pena sahaja. Seingat saya, lebih daripada 10 skrip yang saya hasilkan sepanjang tempoh itu.

Anda seorang pencinta seni yang setia… Walaupun terpaksa berdepan dengan kesulitan, tidakkah anda terlintas untuk beralih ke bidang lain?

Sejak di bangku sekolah lagi, saya mula menanamkan minat untuk bergelar anak seni. Malah, ketika menjejakkan kaki ke universiti, saya sudah tetapkan pendirian saya. Adakah berbaloi untuk saya berundur setelah saya melalui semua itu?

Pendirian saya tidak akan berubah dari dulu sehingga kini. Walaupun saya terpaksa melalui liku-liku duka, namun ia tidak mematahkan semangat saya.

Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang baik dan rakan-rakan yang sedia membantu ketika saya susah. Mereka juga adalah penguat semangat saya untuk terus berdiri.

Menghasilkan skrip semata-mata, adakah ianya cukup untuk menampung pendapatan keluarga?

Pada 1996, saya membawa keluarga saya pulang ke kampung di Melaka. Ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa peritnya kehidupan kami.

Saya terpaksa mengorbankan banyak perkara termasuk, menjual kereta dan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Malah, di rumah kami hanya ada barang-barang asas sahaja dan lima tahun kami tidak mempunyai televisyen.

Namun, saya reda dengan ketentuan dari-Nya malah saya menganggap di sebalik apa yang berlaku, ada hikmahnya. Kesempitan itu mengajar saya untuk berjimat-cermat dan lebih mementingkan keluarga, didikan anak-anak dan agama.

Selain itu, adik beradik saya juga banyak membantu sekiranya saya memerlukan pertolongan.

Sebagai orang lama, apa pandangan anda mengenai industri kini?

Saya lihat, perkembangan industri menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan termasuk dari segi karya dan kualiti. Malah, semangat yang ada pada penggiat seni wajar dipuji apabila mereka bertungkus-lumus dalam menghasilkan karya untuk penonton.

Namun, perkara yang masih tidak berubah dan tiada penyelesaiannya ialah masalah cetak rompak. Isu ini telah dikenal pasti sejak sekian lama, namun masih tiada jalan untuk mencegahnya. Sejujurnya, saya kurang berkenan dengan kewujudan Astro First kerana ia lebih menyumbang kepada lebih banyak cetak rompak.

Selain itu, ada juga syarikat penerbitan yang lebih tertumpu kepada kuantiti tanpa memikirkan kualiti. Ia boleh menjahanamkan industri secara senyap! Kerajaan atau kementerian perlu campur tangan dalam hal ini dan cuba mencari jalan penyelesaiannya.

Akhir sekali, bagaimana anda melihat sesebuah karya yang bagus dan mempunyai nilai tersendiri?

Setiap karya, perlu ada kenyataan (statement). Sebagai contoh, kedua-dua filem saya mempunyai kenyataan tersendiri di mana Kembara Seniman Jalanan, menyingkap idealisme remaja yang menjadikan muzik sebagai wadah ekspresi dan masalah cetak rompak.

Begitu juga dengan filem, Rozana 1987, yang membawa tema cinta di kalangan remaja dan masalah sosial yang boleh menghancurkan kehidupan mereka. Karya yang lalai tanpa kenyataan tidak memberi apa-apa kesan buat penonton malah ianya dilihat ‘kosong’.

Begitu juga dengan cerita-cerita hantu yang tidak memberi kesan yang berguna buat masyarakat. Masyarakat kini semakin bijak dan selektif dalam memilih karya untuk tontonan.

Jadi, sebagai pembikin filem, kita perlu memikirkan perkara ini dengan lebih serius agar kita tidak akan terus kehilangan penonton di masa yang akan datang.

PROFIL

Nama Penuh : Mohd Nasir Jani
Tempat Lahir : Kampung Datuk Dol Said, Alor Gajah
Akademik : Diploma Mass Communication UITM
Filem Arahan : Kembara Seniman Jalanan (1986), Rozana 1987 (1987)
Lakonan : Rock (2005), Songlap (2011), GengsteRock- Kasi Sengat! (akan datang)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...