MINGGU ini aku bercadang untuk menulis tentang penglibatan aku sebagai penolong pengarah dan pengarah seni kepada Rahim Razali (Datuk) untuk produksi filem ketiganya, Matinya Seorang Patriot (1984) terbitan ZSA Film Productions.
Apabila aku melayari internet dan meng‘google’ bahan-bahan cerita terbaru dan terkini tentang Rahim Razali sebelum memulakan tulisan, aku bertemu dengan satu artikel sebuah akhbar tahun 2007 – satu temu bual akhbar itu dengan Rahim Razali.
Penemuan ini membuat aku menangguhkan dahulu hasrat awal untuk menulis pengalaman bekerja dengan beliau sehingga minggu depan, insyaALLAH.
Temu bual itu mengingatkan aku tentang tulisan aku pada minggu lalu. Sebelum aku pergi lebih lanjut lagi, aku ingin mengimbas kembali apa aku tuliskan minggu lalu.
Dalam tulisan itu aku menyatakan - seseorang pengarah itu perlukan ada kefahaman mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya masyarakat dan bangsa, di mana beliau juga adalah salah seorang anggota masyarakat atau bangsa itu. Hanya dengan ada kefahaman ini membolehkan sang pengarah itu meluahkan statement atau kenyataan melalui filem-filemnya. Kenyataan ini pula akan hanya zahir daripada filem-filem yang ada soul – ada roh!
Dalam temu bual itu Rahim Razali telah ditanya tentang pandangannya terhadap filem-filem sekarang arahan pengarah-pengarah baharu generasi sekarang. ‘Sekarang’ bermaksud ketika itu – 2007. Aku rasa ‘sekarang’ itu masih boleh diguna pakai dengan membawa maksud sehingga masa terkini tahun 2014.
Apa jawapan beliau? Beliau memberi pandangan sesebuah filem mesti ada roh!
Minggu lalu ketika aku menulis tentang perlunya filem ada roh, aku belum terjumpa artikel temu bual Rahim Razali itu. Apa yang menarik tentang temu bual yang telah berusia lebih 7 tahun itu?
Menurut artikel tersebut, Rahim Razali berkata - “Seorang pengarah perlu ada sensitiviti untuk mengarah dan jika ada sifat itu, dengan sendirinya ‘roh’ filem akan wujud. Sensitiviti bernilai yang ada dalam diri pengarah menghasilkan sebuah filem berkualiti.
Ini bermakna filem itu akan mempunyai rohnya sendiri,” katanya.
Jika diamati kata-kata Rahim Razali itu maka jelaslah relevannya bila aku menyatakan keperluan dan pentingnya seseorang pengarah perlu ada kefahaman jitu dan mendalam tentang kehidupan, sejarah dan budaya bangsanya. Kefahaman ini berkait rapat dengan nilai dan mutu sesebuah filem yang dihasilkan oleh seseorang pengarah. Kefahaman ini juga menyumbang kepada kewujudan sifat sensitiviti seseorang pengarah seperti yang dimaksudkan oleh beliau.
Seterusnya melalui temu bual itu, Rahim Razali melihat dan menyatakan perkembangan pengarahan filem tempatan pada masa ini (baca 2007) sebagai terlalu mengikut ‘trend’' garapan filem luar yang bersifat komersial sehingga soal identiti negara bangsa diketepikan. Katanya lagi, filem dulu menekankan soal sosial, kenegaraan dan kemasyarakatan yang bertujuan sebagai satu wadah mendidik masyarakat ke arah nilai positif.
Aku menyentuh persoalan itu tanpa aku sedari Rahim Razali telah memperkatakannya 7 tahun lalu. Aku menyatakan - ‘Terlepas pandang dan ketiadaan statement oleh ramai pengarah sekarang dalam karya-karya mereka mungkin disebabkan keutamaan untuk memenuhi tuntutan komersial. Bila berlaku keadaan begini selalunya ia akan berkait dengan persoalan mutu sesebuah filem.’
Pastinya sekali lagi cetusan rasa dan pandangan beliau yang sudah hampir 7 tahun berlalu itu masih terus relevan sehingga sekarang. Malahan jika kita berani bertanya diri kita secara jujur, apakah kita sudah berjaya menyelesaikan masalah ini?
Jawapannya ialah sejujurnya kita masih belum jumpa jalan penyelesaiannya. Malahan keadaan sekarang makin jauh menyimpang dan hanyut menuju ke satu ruang ketidakpastian yang menggerunkan. Ke mana perginya usaha untuk menggarap soal identiti negara bangsa dalam filem-filem sekarang?
Tuntutan-tuntutan komersial inilah selalu menghantui pengarah-pengarah filem dalam melahirkan karya-karya mereka. Apakah kerana tuntutan komersial menuntut seseorang pengarah menghasilkan filem hanya untuk hiburan demi menjamin pulangan kutipan pecah panggung sahaja? Apakah dengan membuat filem-filem seperti dinyatakan oleh Rahim Razali itu yang menekankan soal sosial, kenegaraan dan kemasyarakatan yang bertujuan sebagai satu wadah mendidik masyarakat ke arah nilai positif terpaksa dikorbankan demi jaminan kutipan pecah panggung? Jawapan dan penyelesaian perlu dicari oleh semua penggiat-penggiat filem. Tugas ini adalah tanggungjawab bersama tanpa pengecualian.
Berbalik kepada kenyataan Rahim Razali dan tulisan aku tentang filem perlu ada roh. Kita mesti tahu dan faham - apa itu roh?
Manusia terbentuk daripada jasad dan roh. Jasad adalah apa yang dilihat dan dirasai secara fizikal. Sementara roh merupakan elemen yang tidak dapat dirasai dan dilihat dengan mata kasar. Dalam bahasa mudahnya, roh boleh diertikan sebagai semangat yang berkait rapat dengan kekuatan dalaman.
Apakah yang dimaksudkan dengan filem yang ada roh? Seperti juga manusia, filem ada jasad dan rohnya. Visual-visual atau imej-imej bergerak yang digarap oleh pengarah untuk memaparkan dan menceritakan apa ingin disampaikan oleh pengarah boleh dianggap sebagai jasad. Roh filem pula adalah semangat yang tidak nampak tetapi boleh dirasai oleh penonton jika pengarahnya berjaya mewujudkannya. Aku ulang, jika pengarahnya berjaya mewujudkannya!
Menurut Rahim Razali - ‘Roh’ sebuah filem perlu wujud dari dalam diri pengarah itu sendiri hingga berjaya menghidupkan filem seperti dikehendaki penerbit dan memuaskan hati penonton. Beliau menegaskan ‘roh’ filem terletak pada garapan dan sentuhan pada seseorang pengarah.
Di sinilah pada aku merupakan cabaran yang akan ‘menghentak’ dan mungkin sampai ‘menghancur lumatkan’ minda dan daya fikir seseorang pengarah untuk mencari dan mewujudkan ‘roh’ untuk filem-filem arahannya.
Apa bezanya – manusia berjasad tetapi tiada roh atau semangat dengan manusia berjasad dan punya roh atau semangat? Pasti manusia tanpa roh ini boleh sahaja meneruskan kehidupannya. Persoalannya, adakah sama manusia seperti ini jika dibandingkan dengan manusia yang berjasad, bersemangat dan punya roh? Pasti tidak sama!
Selalunya, manusia yang hanya berjasad tanpa roh ini mudah dieksploitasi dan dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan bagi mencari keuntungan melalui jalan pintas dan singkat. Manusia tanpa semangat dan roh adalah manusia yang tidak ada keupayaan berfikir sendiri - manusia tanpa jati diri.
Cuba acuan ini digunakan kepada kebanyakan filem-filem tanah air kita terutamanya filem-filem Melayu. Filem-filem tanpa roh ini umpama manusia tanpa jati diri, mudah dieksploitasi oleh kaum kapitalis untuk mencari untung. Filem-filem yang ada roh dan semangat pula umpama manusia boleh berfikir apa yang baik untuk diri dan masyarakatnya.
Pembikin-pembikin filem yang berusaha menghasilkan filem-filem yang ada roh akan sentiasa mencari jalan untuk tidak tunduk kepada desakan kaum kapitalis walaupun mungkin gagal di peringkat awal. Penemuan-penemuan baharu akan terus dicari dan diusahakan. Berjaya atau gagal persoalan kedua. Setakat ini aku perhatikan pengarah-pengarah berfikiran begini tidak ramai. Antaranya selain Rahim Razali ialah Uwei Hj Shaari, Mamat Khalid, Shuhaimi Baba, Mahadi J Murad, Hishamuddin Rais dan daripada generasi baharu, Dain Said.
Keadaan industri perfileman tanah air sekarang makin berkembang. Pengarah dan pembikin filem terdiri daripada anak-anak muda berbilang kaum dengan latar belakang pendidikan yang berbagai, selain dari lepasan-lepasan sekolah filem dan akademi perfileman tempatan dan luar negara. Cara pembikinan filem sedang melalui perubahan drastik. Pembikinan filem secara digital semakin mengambil alih pembikinan filem secara konvensional, iaitu penggunaan stok filem bentuk negatif.
Dengan perkembangan baharu dari aspek pembikinan dan pengisian kreatif yang sedang melanda industri perfileman tanah air, kenapa kita masih seperti apa yang disuarakan oleh Rahim Razali – pembikin filem kita terlalu mengikut ‘trend’ garapan filem luar yang bersifat komersial sehingga soal identiti negara bangsa diketepikan. Sikap beginilah merupakan salah satu sebab pembikin-pembikin filem lama dan baharu gagal menghasilkan filem-filem yang ada roh. Bagaimana mengatasi masalah ini?
Jawapannya ada dalam diri kita semua – baik pembikin filem mahupun penonton. Marilah sama-sama kita cari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan