APA bezanya bekerja dan berkolobrasi dengan Othman Hafsham dan Rahim Razali? Sebenarnya tidak ada dan tidak banyak perbezaannya. Cuma cara kerja pengarah-pengarah yang terlibat berbeza-beza.
Tetapi berpeluang bekerja dan berkolobrasi dengan pengarah Othman Hafsham dan Rahim Razali berjaya menambah pengalaman aku dalam hal-hal dan cara-cara berkaitan dengan tugas-tugas pengarah. Pengalaman dan ilmu praktikal ini tidak dapat dipelajari dan dialami di bilik-bilik kuliah.
Othman Hafsham merupakan pengarah filem terdidik kerana beliau menuntut ilmu pembikinan filem yang khusus. Beliau merupakan graduan dari London Film School. Beliau pernah bertugas di Filem Negara Malaysia dan RTM sebagai penerbit.Pengetahuan teknikal perfileman dan lakonan beliau seimbang.
Rahim Razali pula lulusan dalam jurusan Chartered Accountancy daripada University of Melbourne, Australia. Bertugas dalam bidang periklanan dengan agensi-agensi iklan antarabangsa sepenuh masa dan menjadi pengulas sukan televisyen sambilan untuk RTM.
Kedua mereka aktif terlibat berlakon dalam teater ketika menuntut dan selepas tamat pengajian. Asas lakonan dan pengarahan teater serta penglibatan dalam teater merupakan persamaan kedua tokoh pengarah filem ini.
Jika tidak silap aku, mereka berdua ini banyak terlibat dalam persembahan dan pementasan teater-teater Inggeris pada tahun 70-an.Tokoh-tokoh teater seangkatan dengan mereka diantaranya ialah Faridah Marican, Shuhaimi Baba, Syed Alwi (Allahyarham), Mustapha Nor(Allahyarham)dan Abdullah Zainol(Allahyarham).
Mereka berdua punya latarbelakang teater dan asas lakonan yang kuat. Seperti aku catatkan minggu lalu, Rahim Razali tidak ada pengetahuan teknikal filem yang khusus seperti ditulis oleh Hassan Abd. Muthalib dalam bukunya, Malaysian Cinema In The Bottle (2013).
Di sini letaknya perbezaan cara kerja di antara dua pengarah ini. Bersama Rahim aku perlu memberi lebih perhatian kepada aspek teknikal melibatkan pengarahan seni dan rekaan produksi – production design. Sebelum ini Rahim menggunakan hampir keseluruhan tenaga kru teknikal bekas RTM.
Tetapi untuk filem ketiganya ini beliau cuma menggekalkan Zainal Othman dari pasukan teknikal kru lamanya sebagai pengarah fotografi dan jurukameranya.
Selain daripada aku yang menggalas tugas penolong pengarah dan pengarah seni, tenaga teknikal dan kru lain juga merupakan pasukan yang pertama kali berkerja dengan Rahim.
Pasukan teknikal baharu ini juga termasuk penyunting filem, Mior Hashim Manap. Ketika itu Mior Hashim adalah penyunting filem iklan selain aktif berteater dan berlakon untuk drama-drama terbitan RTM.
Filem Matinya Seorang Patriot adalah filem cereka pertama suntingan Mior Hashim. Melalui filem ini Mior Hashim berjaya memenangi Anugerah Penyunting Terbaik (Festival Filem Malaysia Kelima -1984).
Hampir keseluruhan tenaga-tenaga pembantu di belakang Rahim terdiri dari pembikin-pembikin filem generasi muda dan kebanyakannya bermula dari bidang pembikinan filem-filem iklan.
Sebagai penolong pengarah aku menjalankan tugas-tugas rutin seperti membuat pecahan skrip, menyediakan jadual penggambaran selain terlibat mencari lokasi dan pelakon-pelakon pembantu dan tambahan.
Dua watak penting terlibat dengan banyak babak-babak aksi dan pertarungan ialah watak Safuan diperankan oleh Zulkifli Zain sebagai anak sulung Haji Shahban (Mustapha Maarof) dan watak Saiful, anak kedua diperankan oleh pendatang baharu Eman Manan.
Zulkifli Zain dan Eman Manan telah memulakan latihan untuk babak-babak pergaduhan dan pertarungan terlebih awal di bawah kelolaan, Ku Ahmad Ku Mustapha, seorang jurulatih silat dan koreografer aksi.
Cabaran kali ini untuk aku sebagai pengarah seni dan production designer, ialah bagaimana hendak mereka cipta bentuk visual untuk melahirkan mood yang sesuai dan bertepatan dengan naratif filem ini. Ini adalah pengalaman pertama aku untuk mencipta design filem bergenre aksi drama.
Aku dan Rahim banyak berbincang untuk mengetahui apa mahu divisualkan melalui skripnya itu. Apa mood perlu aku bina melalui rekaan set dan pilihan lokasi.
Untuk tujuan itu aku bekerjasama rapat dengan Zainal Othman, pengarah fotografi untuk penataan cahaya bagi menimbulkan mood suspen dan misteri bersesuaian dengan set yang aku reka ciptakan.
Kesefahaman antara kami sudah sedia ada kerana sebelum ini kami pernah berganding untuk penggambaran filem Mekanik.
Filem Matinya Seorang Patriot, mengisahkan kejadian misteri pembunuhan beberapa ahli lembaga sebuah syarikat korporat, Melati Holdings.
Siri pembunuhan ini adalah tindakan membalas dendam oleh anak-anak Haji Shahban terhadap pengarah-pengarah syarikat yang telah menipu arwah ayah mereka dalam pembahagian saham. Tindakan merupakan satu bentuk ‘amukan’!
Ada tiga sekuen kejadian pembunuhan berasingan menurut skrip karya Rahim ini. Pembunuhan pertama melibatkan watak Jamali (Azmil Mustapha) di apartmennya ketika dia sedang berasmara dana dengan teman wanitanya.
Pembunuhan kedua melibatkan watak Kadeem (mendiang AV Bapat), dibunuh ketika berjogging di taman pada waktu pagi. Seterusnya, pembunuhan melibatkan watak Thean (Allan Akan) di hadapan rumahnya pada waktu malam dalam hujan lebat.
Rahim seorang pengarah yang bersikap terbuka dan mudah diajak berbincang. Sedia menerima idea dan cadangan untuk memudah dan melicinkan penggambaran sesuatu babak atau sekuen.
Contohnya, shot di awal babak di mana seekor monyet mati disembelih diletakkan di atas pengadang bahu jalan adalah alternatif kepada shot dalam skrip menunjukkan sekumpulan monyet bertempiaran lari ketakutan dan bergayutan di atas pokok-pokok berdekatan sebagai pembayang – signifier kepada pembunuhan Kadeem. Perubahan ini terpaksa dilakukan kerana hambatan halangan logistik dan kos.
Aku paling berpuas hati jika set dan lokasi yang aku ubahsuai dan rekaciptakan berjaya menjimatkan kos produksi walaupun tidak dapat memenuhi sepenuhnya gambaran seperti dalam skrip.
Contohnya, babak di luar disko di mana Jamali (Azmil Mustapha) melayan Shamsuddin Bustami (Allahyarham M Rajoli) muntah. Dalam skrip babak ini sepatutnya berlaku di luar disko popular hotel terkenal di Kuala Lumpur.
Memandangkan babak itu cuma memerlukan lokasi di luar disko, aku mencadangkan kepada Rahim supaya babak itu dilakukan di luar rumah produser, Zarul Al Bakri. Aku reka ciptakan set untuk menimbulkan suasana bahagian depan pintu masuk disko yang aku beri nama Spark Disco.
Selain menjimatkan kos sewaan lokasi, set ini juga memudahkan kami melakukan penggambaran tanpa risau hambatan masa dan gangguan awam.
Pengalaman peribadi aku bekerja dengan Rahim ketika penggambaran Matinya Seorang Patriot ialah kami akan membantu beliau menghasilkan seberapa banyak shot yang dimintanya berdasarkan skrip.
Gambaran awal hasil terakhir atau final cut filem ini tidak dapat aku jangka atau bayangkan selagi suntingan belum selesai dan muktamad.
Berbeza dengan pengalaman aku bertugas dengan Othman Hafsham ketika penggambaran filem Mekaniknya. Daripada shot-shot dihasilkan oleh Hafsham berdasarkan skripnya, aku sudah boleh nampak gambaran awal final cutnya walaupun proses suntingan belum dilakukan sepenuhnya.
Pendapat peribadi aku, inilah perbezaan antara pengarah yang terlatih dalam aspek teknikal pembikinan filem dengan yang sebaliknya.
Pada aku ini bukanlah satu masalah besar. Paling penting ialah cara pengendalian dan membentuk pelakon-pelakon untuk menzahirkan cerita yang ingin disampaikan secara visual oleh sang pengarah.
Aku tidak boleh lupa insiden ketika penggambaran dilakukan di ruang tamu rumah Zarul pada satu malam. Rahim membantu memberi mood kepada Saiful (Eman Manan) dan Yohanis (Noorkumalasari) ketika penggambaran untuk babak romantik yang tergendala akibat masalah lampu sering terpadam. Suasana membosankan di set ketika itu.
Sementara menunggu masalah lampu dibaik pulihkan, tiba-tiba dari satu sudut kedengaran suara Rahim dengan penuh penghayatan melantunkan dialog-dialog dari drama terkenal ‘Romeo and Juliet’ karya Shakespeare –
“What’s in a name? that which we call a rose
By any other name would smell as sweet;
So Romeo would, were he not Romeo call'd,
Retain that dear perfection which he owes
Without that title. Romeo, doff thy name,
And for that name which is no part of thee
Take all myself.”
Momen pasti akan aku ingati hingga bila-bila, insyaALLAH – I envy you!
Pengalaman berkolobrasi dengan beliau menyakinkan aku meletak beliau sebagai seorang tukang cerita paling akrab dan prihatin dengan masalah bangsanya. Beliau adalah seorang pelakon yang terlalu mencintai bidang lakonan baik di pentas teater mahupun di layar lebar.
Jika aku berpeluang membuat filem remake, pastinya aku akan remake filem Matinya Seorang Patriot dengan menggunakan tajuk asalnya – Amuk Hang Jebat. Ini adalah homage aku kepada Datuk Rahim Razali. Salut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan