Langkau ke kandungan utama

Pengarah filem dan sikap esentriknya

MELALUI kolumku ini selama enam minggu lalu aku berhasil berkongsi dengan pembaca melayari sejarah masa silam era kegemilangan filem Melayu 50-an dan 60-an lewat tulisan aku tentang salah seorang pengarah era itu, Allahyarham Hussein Haniff dan filem-filem arahannya.

Tidak dinafikan Hussein sinonim dengan sikap keras kepala, menentang arus dan sukar untuk bekerjasama melainkan dengan beberapa orang yang ‘sekepala’ dengannya.

Beliau dikategorikan sebagai seorang perfectionist. Sikap non-conformist Hussein ini dianggap ‘gila’. Ditambah lagi dengan hubungan kurang mesra beliau dengan wartawan ketika itu.

Aku ingin nyatakan berdasarkan pengalaman peribadi pernah aku lalui sejak aku menduduki kerusi pengarah, sebenarnya attitudes, perangai dan sikap seperti ini sama ada disedari atau tidak ada pada semua pengarah filem.

Cara luahan dan manifestasi attitudes dan sikap ini berbeza-beza di antara seorang pengarah dengan seorang pengarah yang lain.

Pengarah filem silih berganti, datang dan pergi dan pasti attitudes ini akan terus dikitar semula. Kitaran ini terus berulang kerana attitudes atau sikap sebegini seakan menjadi perangai universal hampir semua pengarah filem seantero dunia tanpa mengira negara dan bangsa. Sikap ini wujud sejak kerjaya sebagai pengarah filem mula wujud seiring dengan kewujudan satu cabang seni baharu bernama filem yang dimulakan oleh Lumiere Brothers pada 1896.

Persoalannya ialah bila, di mana dan siapakah pengarahnya yang menzahir dan menganuti attitudes atau sikap sedemikian. Peluang untuk bersikap ‘kegilaan’ ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang bergelar pengarah filem atau sutradara. ‘Kegilaan’ ini dikenali sebagai eccentricity.

Filem talkie atau filem bersuara pertama dunia dihasilkan pada 1927 berjudul The Jazz Singer, sebuah filem terbitan syarikat Warner Bros, bergenre muzikal arahan Alan Crosland (1894-1936). Kejayaan komersial filem ini menamatkan era filem bisu yang dimulakan 31 tahun sebelumnya oleh Lumiere Brothers pada 1896.

Bermula dengan kejayaan filem The Jazz Singer, industri perfileman dunia memerlukan lebih ramai pengarah filem untuk menduduki kerusi pengarah. Seiring dengan permintaan tinggi mengisi kerusi pengarah, ‘kegilaan’ esentrik kesenimanan seseorang pengarah filem turut perlu dilayan oleh syarikat-syarikat produksi.   

Mulai minggu ini aku ingin berkongsi cerita tentang ‘kegilaan’ dan eccentricity seorang pengarah filem masa kini. Era zaman langit terbuka sekarang dengan segala kemajuan dan kecanggihan teknikal pembikinan filem membolehkan pengarah ini melayan ‘kegilaan’ berkaryanya sehingga ke peringkat paling maksima setakat ini. 

Siapakah pengarah yang aku maksudkan ini? Pengarah ini bernama Ilya Andreevich Khrzhanovsky, lebih dikenali Ilya Khrzhanovsky.

Berikut adalah latar belakang ringkas beliau. Dilahirkan pada 1975 di Moscow, Rusia. Kini baru berusia 40 tahun. Bapanya, Andrei Khrzhanovsky (1939), seorang pengarah filem animasi tersohor Russia.

Ilya Khrzhanovsky menuntut di Bonn Academy of Fine Arts (1992–1993) dan di All-Russian State Institute of Cinematography (1998).

Antara 1998 - 2002, Khrzhanovsky bertugas sebagai pengarah dan penerbit filem-filem iklan. Beliau juga merupakan penerbit bertanggungjawab menerbitkan projek siri TV untuk Rusia TNT Channel TV  - The List of Lovers of the Russian Federation. Pada 2003, projek ini menjadi sebahagian daripada program Berlin International Film Festival, serta lain-lain festival filem Rusia dan antarabangsa.

Ketika berumur 25 tahun, Khrzhanovsky mengarah filem pertamanya berjudul Chetyre atau 4 (2005).

Filem ini memenangi dua anugerah di Rotterdam International Film Festival, Belanda. Beliau berjaya merangkul anugerah Pengarah Terbaik di Buenos Aires International Festival of Independent Cinema dan hadiah Grand Jury sebagai Pengarah Baru Terbaik di Seattle International Film Festival.

Filem sulungnya ini telah dimasukkan ke dalam program rasmi lebih daripada 50 festival filem antarabangsa.

Di antaranya, Venice Film Festival, Rotterdam International Film Festival, Los Angeles Film Festival, Seattle International Film Festival dan Tribeca Film Festival.

Filem 4 ini turut diedarkan di United Kingdom, Perancis, Itali, Belanda, Belgium, Amerika Syarikat dan negara-negara Scandinavia dan juga Asia Selatan.

Filem 4, ini mencetuskan kontroversi di Rusia kerana naratif filem ini didakwa oleh Kementerian Kebudayaan, Rusia memberi gambaran buruk tentang kehidupan rakyat Rusia kepada dunia. Ironinya, kementerian ini juga membiayai separuh daripada kos pembikinannya.

Filem ini mengisahkan tentang tiga watak secara kebetulan bertemu di sebuah bar. Sambil minum dan mabuk mereka berbual tentang diri dan profesi masing-masing. Sebenarnya mereka menyamar dan mereka-reka cerita semata-mata tanpa disedari oleh sesama mereka.

Watak Oleg, seorang peniaga daging menyamar dan mengaku bertugas sebagai pegawai khas di pejabat Presiden.

Watak Marina menyamar sebagai eksekutif periklanan bagi syarikat Jepun mempromosikan gajet yang boleh menghilangkan stres yang dihidapi oleh sesiapa sahaja.

Marina sebenarnya seorang pelacur. Sementara watak Volodya pula menyamar sebagai seorang pakar genetik yang terlibat dalam program menghasilkan klon secara besar-besaran. Volodya sebenarnya hanya seorang piano tuner.

Melalui ketiga watak ini, Khrzhanovsky membogelkan kebobrokan yang berlaku di peringkat pemimpin dan rakyat negaranya. Ada juga pihak menuduh Khrzhanovsky memberi Rusia imej tidak baik di luar negara semata-mata untuk mendapatkan pujian, anugerah dan pembiayaan untuk projek-projek filemnya akan datang.

Walau apa pun tanggapan pihak kerajaan dan media Rusia, Khrzhanovsky terus mendapat perhatian daripada penerbit dan penganjur festival filem dunia. Selepas kejayaannya dengan filem 4, Khrzhanovsky mendapat peluang mengarah filem berjudul Dau pada 2006.

Filem ini merupakan salah satu projek terbesar, ‘gila’ dan paling kontroversi dalam sejarah sinema Rusia setakat ini.

Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pakar teori fisik Rusia dan juga pemenang Hadiah Nobel bernama Lev Davidovich Landau (1908-1968), berbangsa Yahudi kelahiran Azerbaijan.

Beliau juga dikenali di kalangan pelajar dan pengagumnya dengan nama Dau yang menjadi tajuk filem kedua arahan Khrzhanovsky ini.

Kajian Landau mengubah dunia mekanik kuantum dengan penemuan baharunya - superfluidity and quantum thermodynamics atau kebendaliran melampau/ keadizaliran dan termodinamik kuantum.

Beliau juga adalah penulis risalah penentangan terhadap Stalin bertarikh tahun 1938 ketika peristiwa The Great Purge. Risalah tersebut hanya didedahkan kepada umum melalui laporan oleh KGB pada 1991.

Apa yang ‘gila’ tentang filem Dau, arahan Khrzhanovsky ini? Berikut adalah back story atau latar belakang produksi ini sebelum aku menceritakan lebih terperinci lagi minggu depan.

Top of Form

Persediaan pra-produksi penggambaran filem ini bermula pada 2006. Penggambaran sebenar bermula pada 2008 dan berlangsung selama tiga tahun. Tayangan perdana dunia filem Dau dijangka bakal diadakan di Cannes Film Festival 2012 tetapi terpaksa dijadualkan semula kepada Mei 2014.

Tetapi sehingga Oktober, 2015, filem Dau masih dalam pasca produksi. Ketika artikel ini aku tulis Dau sedang dalam proses suntingan di studio suntingan 100 Piccadilly, London. Apa ‘kegilaan’ sebenarnya terjadi kepada produksi filem Dau arahan Illya Khrzhanovsky ini?

Kita sambung minggu depan, insya-ALLAH.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...