Langkau ke kandungan utama

Jagat bawa persoalan sejagat

AKU mula tahu tentang filem Jagat, filem Tamil tempatan pada 3 November 2015. Hari itu aku terjumpa trailer promosi filem ini di YouTube. Trailernya menarik perhatianku. Aku dapat merasakan kelainan dari segi naratif dan visual yang cuba dipaparkan lewat filem cereka sulung pengarah generasi muda anak Malaysia berbangsa India, Shanjhey Kumar Perumal. Aku terus catatkan dalam diari tarikh tayangannya bermula pada 17 Disember 2015.

Selepas hampir sebulan menunggu, akhirnya aku berpeluang menonton Jagat pada hari ketiga tayangannya.

Apa yang menarik minat aku untuk menanti menonton filem ini? Tagline atau slogan trailer promosi filem Jagat – An ignored chapter of Indian Malaysian, terjemahan ringkas - Satu bab kehidupan kaum India Malaysia yang diabaikan. Aku lihat Shanjhey ada isu penting hendak dicerita dan dikongsikan dengan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Menurut Shanjhey, filem pertama arahannya ini mengisahkan kehidupan dilalui kebanyakan keluarga kaum India yang terpaksa melalui proses penghijrahan daripada kehidupan di estet ke bandar. Penghijrahan dari ladang getah ke kawasan bandar berlaku 80 dan 90-an. Penghijrahan kaum India dirakamkan dalam filem Jagat merupakan usaha Shanjhey mendokumentasikan sejarah kaum India di Malaysia. Sebelum ini tiada bahan bentuk filem cereka mengetengahkan keadaan kehidupan sosial dan politik kaum India tahun tersebut. Ketika jangka masa transisi dari ladang estet ke bandar, ramai kaum India terpaksa menjalani kehidupan sebagai setinggan di kawasan bandar. Mereka terpaksa berdepan persekitaran baharu dan kehidupan lebih mencabar.

Semua menuntut kekuatan semangat juang untuk meneruskan hidup ini. Filem Jagat berlatar belakangkan awal 90-an ini bercerita tentang jerih perih hidup rakyat marhaen kaum India. Rakyat marhaen terpaksa berdepan masalah nombor wahid di mana-mana negara dunia ketiga - kemiskinan. Berpunca daripada kemiskinan hidup melahirkan masalah sosial lain seperti gengsterisme, dadah, ketagihan alkohol dan jenayah lain tanpa mengira batas umur pelakunya.

Sebelum 80-an dan 90-an, tenaga buruh estet kaum India diperah kaum pemodal kapitalis bermula dari generasi pertama yang dibawa ke Malaya oleh British sejak zaman sebelum merdeka.

Bila negara memasuki era perindustrian bermula awal 80-an, tenaga kerja buruh ladang dan estet mula dipinggir sistematik. Mereka berpindah mencari kehidupan baharu di bandar.

Mereka terpinggir dan ketinggalan dari arus rancangan pembangunan negara. Mereka terpaksa hidup sebagai setinggan demi kesinambungan hidup dengan gaji tidak seberapa.

Jangka masa inilah yang diambil Shanjhey sebagai latar belakang penceritaan. Satu jangka masa penting dalam kehidupan kaum India negara ini. Era ini dipenuhi proses perubahan sosial di mana nasib buruh ladang dan estet kaum India terabai. Kurang diberi perhatian ketika itu. Aku rasa sehingga sekarang masalah ini masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Aku harap aku silap beranggapan demikian!

Berbalik kepada filem Jagat. Perkataan Jagat adalah slanga Tamil untuk perkataan Melayu, jahat. Secara ringkasnya, filem Jagat atau Jahat yang tidak ada watak heroin ini mengisahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bernama Appoy, diperankan adik Harvin Raj.

Appoy menjalani hidup bersama keluarganya yang miskin dan terpinggir.

Appoy, bapa dan ibunya duduk di kawasan setinggan. Bapanya, Maniam, diperankan Kuben Mahadevan bekerja di kilang kayu arang. Maniam punya dua adik lelaki, Durai atau Mexico, seorang gengster diperankan Jibrail Rajhula. Adik bongsunya, Bala, penagih dan bekas penghuni pusat serenti. Watak ini diperan Senthil Kumaran Muniandy.

Appoy, pelajar cerdik, bijak dan kreatif. Dia punya sikap melawan dan punya kemampuan berfikir di luar kotak - di luar kebiasaan.

Sikap ini menimbulkan pertentangan antara Appoy dengan gurunya dan bapanya. Bapanya, Maniam berpandangan mereka sekeluarga keluar daripada belitan kemiskinan hanya dengan beri keutamaan kepada ilmu pelajaran dan kecemerlangan akademik.

Kelebihan dari segi kecerdikan, ciri-ciri bijak dan daya kreativiti tinggi Appoy tidak difahami bapanya. Maniam masih berpegang kepada cara konvensional dalam menuntut ilmu untuk menjadi insan berjaya dan cemerlang. Malah guru Appoy sendiri tidak membantunya mengembangkan kecerdikan dan bakat kreatifnya.

Sehingga Appoy berkonflik dengan guru matematiknya. Jelas sistem pendidikan kita tersangat memberi penumpuan kepada kejayaan ‘kertas’ - sijil yang rigid.

Konflik dengan bapa dan gurunya membuat Appoy mencari role model yang boleh memahami dirinya dengan sikap menentang arusnya itu. Appoy menjumpai semua ini dalam diri dan hidup pakciknya – seorang gengster dan seorang lagi penagih.

Melalui watak Appoy, kita dibawa melihat bagaimana dunia gengster kaum India lewat watak Mexico dan Chicago, diperankan Tinesh. Mereka dan ahli lain berketuakan Da Gau, diperankan Marup Mustapah. Kumpulan gengster kaum India berketua seorang berbangsa Cina.

Keunikan gengster 1 Malaysia telah wujud sejak 80-an lagi! Kita dibawa masuk ke dunia anak muda kaum India yang terpinggir. Dunia gelap yang menuntut mereka melakukan jenayah demi survival untuk hidup.

Walaupun pakcik Appoy, si Mexico gengster, tetapi dia tidak mahu terlibat dadah. Sikap ini bertentangan dengan rakan sekumpulannya, Chicago yang senang dibeli dengan arak, sogokan wang dan perempuan oleh musuh mereka, Vadivelan, diperankan Perakas Rajaram.

Pada aku, Jagat filem jujur bercerita tentang nasib kaum India di Malaysia.

Sarat dengan komentar sosial dan politik yang disampaikan secara tersurat dan tersirat dengan penuh pemahaman tentang bahasa visual dan filem. Shanjhey bercerita daripada hatinya. Beliau bercerita tentang isu paling dekat dengan dirinya. Isu yang beliau betul-betul faham.

Menurutnya, Jagat didasarkan juga lewat pengalaman hidup yang pernah dilalui ketika zaman membesarnya.

Aku suka Jagat kerana ia bukan filem pretentious. Walaupun elemen jenayah dan gengster plot utama, tetapi kita tidak ditonjol dengan imej gengster yang ditambah nilai stailistik demi memenuhi tuntutan komersial. Aku lihat keganasan gengster filem Jagat lebih kepada tenaga kudrat dan hati kering Mexico bukan pada letupan pistol. Tiada sekali pun kita dihidangkan dengan babak tembakan pistol sepanjang filem ini berputar.

Tanpa semua ini mood dan suasana dunia gengster masih dapat dirasakan.

Malah lebih berkesan dan ‘makan dalam’ dengan muzik latar oleh Kamal Sabran yang berhasil memberi kesan dalaman manusia-manusia terpinggir ini. Aku mengikuti dan meminati filem terutama genre gengster arahan pengarah India dan Tamil seperti Ram Gopal Varma dan Mani Ratnam. Aku lihat Jagat, anak sulung Shanjhey berjaya berdiri sendiri dengan identiti dan jati diri kaum India yang lahir dan membesar di bumi bertuah ini.

Dua babak paling melekat dan terkesan pada mindaku. Pertama, babak ketika Maniam bersiap hendak pergi kerja - visual Maniam hanya mampu mengikat seluar dengan tali rafi a sedang di latar belakang kedengaran penyampai siaran berita radio RTM dalam bahasa Tamil menyatakan ucapan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir mengumumkan akan membantu kaum India supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Diikuti berita ucapan Samyvellu, Presiden MIC menjanjikan ‘janji manis’ kepada kaum India.

Kedua, babak akhir di mana Appoy yang sedang marah, bengang dan kecewa didatangi oleh Chicago, si talam dua muka. Chicago cuba menenteramkan dan menghulur rokok kepadanya. Mereka berada di atas puncak bukit. Appoy ambil rokok, tetapi tidak ditunjukkan sama ada dia hisap atau tidak kerana sebelum ini dia tidak merokok. Babak ini diakhiri dengan kamera pada drone bergerak (terbang) tinggi menunjukkan timbunan kawasan pembuangan sampah yang luas saujana mata memandang.

Kesimpulannya, tanpa ilmu pelajaran dan akhlak baik kita akan jadi sampah masyarakat. Jangan salahkan orang lain atau bangsa lain jika bangsa kita mundur, lemah dan ketinggalan. Kata kuncinya, kemiskinan adalah masalah sejagat yang tidak mengenal kaum dan bangsa!

Terima kasih Shanjhey Kumar Perumal kerana membawa kejujuran dan kesegaran dan bukan sampah. Moga anda terus sukses.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...