Langkau ke kandungan utama

Berapa beratnya 'heavy drama'?

MINGGU lalu aku mencatitkan tentang dua situasi yang sering mendepani pengarah-pengarah filem Malaysia dari dulu sehingga sekarang. Situasi di mana pengarah filem tempatan cuma ada dua pilihan.

Kalau hendak buat untung berlipat ganda hasilkanlah filem-filem ringan yang tidak mencabar minda penonton dan juga minda pembikinnya.

Jika pengarah filem mahu menghasilkan filem-filem dan karya-karya yang mengangkat tema dan isu-isu lebih mencabar pemikiran penonton lalu mereka perlu bersedia berdepan dengan kemungkinan kerugian kutipan boxoffice.

Keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini. Lihat dan baca pendapat-pendapat dan reaksi daripada pembikin, penggiat dan peminat filem di akhbar-akhbar dan di blog-blog alam siber tentang masalah ini. Tiada kesudahan dan masih belum dijumpai solusinya.

Aku juga melontarkan pandangan bila berdepan dengan situasi sebegini lebih mudah lagi jika pengarah filem adalah juga produser yang mampu menerbitkan filem dengan dana atau modalnya sendiri. Tetapi tidak ramai pengarah filem Malaysia yang punya kemampuan ini.

Rahim Razali adalah pembikin filem pertama Malaysia yang berani memikul dua tanggungjawab berat serentak sebagai - produser dan pengarah. Ada rakan menghubungi aku menyatakan Rahim Razali bukan pembikin filem Malaysia pertama mengalas serentak tugas produser dan pengarah.

Menurut rakan aku ini, Jins Shamsuddin adalah tokoh filem pertama yang memikul tanggungjawab serentak sebagai produser dan pengarah filem.

Bermula dengan filem Menanti Hari Esok (1977). Diikuti dengan filem Tiada Esok Bagimu (1978) sehingga filem Esok Maseh Ada (1979).

Ketiga-tiga filem ini diarahkan dan dihasilkan beliau menerusi syarikatnya sendiri Perfima dan Jins Shamsuddin Filem Productions Sdn Bhd.

Aku tidak cuba mahu menafikan pendapatnya itu. Pada aku ini bukan isu besar.

Kedua tokoh ini adalah mereka yang terawal berkeupayaan untuk serentak menjadi produser dan pengarah filem terbitan masingmasing, sekali gus mereka ada kuasa kreatif mutlak ke atas filem-filem arahan mereka. Kuasa kreatif mutlak ini paling penting yang diidamkan oleh semua pengarah filem di atas planet bumi ini.

Pada mulanya aku bercadang untuk menulis tentang kesan yang dapat pelajari oleh para pembikin-pembikin dan pelajar-pelajar filem dari situasi yang pernah dilalui Rahim Razali ini.

Aku mahu menulis dalam konteks menghasilkan kerja seni filem yang ada statement atau penyataan yang bersifat lebih besar dan skop pemikiran lebih luas memandang keluar.

Menarik juga apabila rakan aku menyatakan pandangannya itu. Aku terus mendapat ilham baharu untuk melihat dan membuat perbandingan pengalaman yang dilalui oleh kedua tokoh ini dalam menghasilkan filem-filem yang rata-rata dianggap oleh penonton sebagai filem-filem ‘berat’ dan heavy drama.

Rahim Razali dan Jins Shamsuddin memikul serentak tanggungjawab menjadi produser dan pengarah filem tetapi kesannya berbeza. Ketiga filem-filem siri ‘esok’ Jins Shamsuddin berjaya dari segi kutipan boxoffice tetapi dua filem terbitan dan arahan Rahim Razali, Abang (1981) dan Pemburu (1982) kecundang di boxoffice.

Kesan yang dialami oleh dua produser pengarah ini sungguh menarik untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada pengarah-pengarah filem yang berhajat untuk menerbitkan filem-filem sendiri.

Memang dua filem awal Rahim yang diproduksikan dan diarahkannya sendiri gagal mencatatkan pulangan lumayan.

Kenapa ini terjadi? Rahim menghasilkan filem-filem yang membawa tema dan isu-isu baharu dan lebih besar sifatnya.

Masalah yang dipaparkan melalui filem-filemnya dianggap berat dan kurang nilai hiburan. Penonton mahu berhibur bukan mahu fikir cerita yang berat-berat.

Betulkah pendapat ini?

Jika begitu kenapa pula wartawan-wartawan dan pengulas-pengulas filem ketika itu termasuk Jins sendiri mencanangkan dan menganggap filem-filem siri ‘esok’nya itu sebagai filem ‘heavy drama’? Apakah berbezanya ‘berat’ filem Rahim dengan berat ‘heavy drama’nya filem Jins?

Kenapa filem-filem ‘berat’ Jins boleh laku sedangkan filem-filem berat Rahim gagal meraih untung?

Untuk pengetahuan pembaca terutamanya generasi muda pelajar filem sekarang, polemik filem berat dan ringan – heavy drama dan light drama ini sememangnya menjadi isu hangat pada tahun-tahun awal 80-an.

Sehinggakan pada 1980 hingga 1982 di Festival Filem Malaysia dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA), filem-filem dipertandingkan untuk merebut award atau anugerah dibahagikan kepada kategori-kategori filem heavy drama terbaik, filem light drama terbaik dan filem komidi terbaik.

Ada pengulas, pengkritik dan juga peminat filem mempersoalkan pembahagian menurut kategori seperti itu. Mereka berpendapat di mana-mana festival filem di dunia ini cuma ada satu anugerah sahaja iaitu anugerah filem terbaik – best film award!

Cara penganugerahan ini ditiadakan pada Festival Filem Malaysia ketiga (1982) bila diambil alih oleh Finas. Hanya ada anugerah filem terbaik sahaja dan ini berkekalan sehingga sekarang.

Berbalik kepada keadaan berbeza dialami oleh filem-filem Rahim Razali dan Jins Shamsuddin, beberapa kesan menarik boleh kita simpulkan.

Aku menonton Abang (1981) dan Pemburu (1982) arahan Rahim Razali dan aku juga menonton filem-filem Jins Shamsuddin Menanti Hari Esok (1977), Tiada Esok Bagimu (1978) dan Esok Masih Ada (1979). Semua filem-filem ini aku tonton di pawagam dengan membeli tiket dan bukan di tayangan previu.

Apa kesimpulan aku dapat?

Aku masih berpegang kepada isu-isu yang diangkat oleh kedua pengarah ini memainkan peranan penting dalam melihat sumbangan mereka kepada seni filem tanah air.

Rahim Razali membawa isu yang lebih besar kesannya kepada bangsa Melayu dalam menghadapi perubahan hidup yang dituntut oleh perubahan zaman terutamanya dari segi jati diri bangsa Melayu.

Persoalan ini adalah isu berat yang menuntut penghayatan penuh penonton ketika menonton. Ini adalah statement, satu penyataan seorang seniman yang punya tanggung jawab sosial terhadap bangsanya.

Jins Shamasuddin hanya mampu membawa isu-isu yang gagal memberi penyataan penting terhadap bangsa Melayu. Siri ‘esok’nya cuma berlegar pada isu-isu pinggiran orang Melayu seperti masalah rumah tangga, kegagalan mendidik anak dan gejala sosial klise remaja.

Isu-isu ini dinaiktarafkan sebagai persoalan berat dalam bentuk heavy drama. Apa yang heavy?

Walaupun sudah lebih 30 tahun filem-filem daripada kedua pengarah penting filem Melayu ini dihasilkan namun banyak perkara boleh dipelajari oleh pembikin filem muda generasi sekarang. Terutamanya dari aspek tema dan isu yang ingin digarapkan oleh kedua pengarah veteran ini.

Pada aku paling penting untuk dibincang dan dikupas tanpa mengira batas waktu adalah kekuatan dan kelemahan serta kerelevanan penyataan atau statement yang dilontar lewat filem-filem arahan mereka – seorang kini bergelar Tan Sri dan seorang bergelar Datuk.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...