Langkau ke kandungan utama

Produser, pengarah, penonton, tanggungjawab sosial

MINGGU ini aku masih mahu berceritakan tentang filem Abang dan pengarah filem bernama Rahim Razali.

Di Festival Filem Malaysia ke-2 (1982), melalui filem Abang, arahan sulungnya Rahim Razali berjaya memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik, skrip terbaik dan anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik yang dimenangi oleh Ahmad Yatim.

Walaupun filem Abang berjaya memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia ke 2 dan merupakan filem yang membawa pembaharuan namun filem Abang gagal dari segi kutipan pecah panggung.

Pada pendapat aku pembaharuan yang cuba dibawa oleh Rahim masih belum dapat diterima oleh lingkungan penonton yang lebih besar jumlahnya.

Di mana-mana sahaja di dunia ini, industri perfileman pasti memerlukan dua golongan penting manusia yang memastikan industri ini bergerak. Golongan penonton dan golongan pembikin filem.

Dalam golongan penonton filem Melayu terbahagi pula kepada dua kelompok. Satu kelompok penonton yang mahukan filem-filem yang boleh mencabar minda  mereka.

Penonton jenis ini bukan setakat mahu berhibur dengan menonton filem tetapi mereka mahu mendapat informasi dan benda-benda baharu yang mereka tidak peroleh dari sumber hiburan berbentuk lain.

Mereka mahukan benda-benda dan input baharu yang boleh dimanfaatkan untuk kelangsungan hidup mereka.

Kupasan masalah kehidupan masyarakat yang perlukan perhatian tegas dan berkesan tetapi disampaikan secara subtle atau halus melalui karya seni bernama filem.

Mereka mahukan cerita-cerita lebih mencabar dan lebih ke depan sifatnya. Isu-isu yang lebih kontemporari dan semasa.

Kelompok kedua dalam golongan penonton filem Melayu adalah mereka yang masih selesa dengan cerita-cerita bercorak ringan dan tidak membebankan fikiran mereka.

Secara mudah boleh disimpulkan bahawa kelompok penonton filem Melayu jenis ini hanya mahu berhibur dengan menonton filem-filem picisan yang tidak mencabar minda. Penonton jenis ini tidak mengharapkan apa-apa informasi dan bendabenda baharu hasil daripada tontonan filem. 

Mereka cuma mahu berhibur tanpa mempedulikan apakah isu-isu penting yang cuba diangkat oleh pengarah sesebuah filem.

Lebih ringan dan merapu filem yang disogokkan oleh pengarah lebih lagi mereka seronok. Kelompok penonton jenis ini boleh dikategorikan sebagai penonton malas dan enggan berfi kir.

Menonton filem untuk enjoy! Tetapi mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka juga membayar harga tiket untuk menonton. Sama seperti penonton yang membeli tiket untuk menonton filem-filem yang mengajak penonton berfi kir.

Golongan pembikin filem juga terpecah kepada dua kelompok. Satu kelompok pembikin-pembikin filem yang mahu dan hanya tahu menghasilkan filem-filem untuk membuat duit sahaja.

Mereka tidak mempedulikan tentang aspek mutu dan nilai kerja seni mereka. Apa mereka mahukan cuma keuntungan dari segi kutipan pecah panggung.

Kelompok pembikin-pembikin filem inilah yang menyuapkan hidangan filem-filem picisan kepada kelompok penonton yang menonton filem hanya untuk enjoy.

Regu atau gandingan inilah yang menjadi pencabar kepada kelompok kedua iaitu pembikin pembikin filem yang lebih serius dalam kerja seni mereka.

Pengarah-pengarah filem yang lebih mementingkan keberkesanan isu-isu dan isi kandungan naskhah yang diangkat melalui filem-filem arahan mereka.

Aku lihat kelompok pembikin-pembikin filem jenis kedua ini memahami dan ada tanggungjawab sosial yang perlu ada kepada setiap filmmaker.

Mereka cuba membawa kesedaran kepada penonton melalui filem-filem arahan mereka.

Filem-filem mereka mengangkat isu-isu lebih serius yang memerlukan lebih dari sekadar ditontoni. Filemfilem arahan pengarah-pengarah kelompok ini memerlukan penonton berfi kir, bukan setakat menonton, enjoy dan kemudian lupa.

Aku berani bertanggungjawab mencatatkan keadaan dan senario dunia perfi leman Melayu di tahun-tahun akhir 70-an dan awal 80-an sedemikian rupa kerana aku lihat dan alami sendiri suasana yang aku nyatakan di atas.

Pendapat dan pandangan aku ini bukan diperoleh dari bilik kuliah mahupun bacaan daripada kajian-kajian dan tesis-tesis yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji, bakal-bakal pensyarah dan profesor dalam bidang filem. Ini adalah pengalaman peribadi first hand aku lalui ketika itu.

Selepas 30 tahun berlalu, aku lihat keadaan ini masih belum banyak berubah sehingga ke tahap yang boleh dibanggakan. Malah adakalanya kita mengundur semula ke belakang dalam keadaan lebih teruk dari tahuntahun awal 80-an.

Sememangnya kita boleh banyak belajar dari sejarah. Aku sendiri tidak terkecuali. Pengalaman tiga dekad lalu banyak membantu aku untuk memahami keadaan dan perubahan yang berlaku dalam industri perfi leman tanah air.

Sejarah telah mencatatkan gelombang baharu perfileman Malaysia dimulakan oleh filem Abang (1981). Abang bukanlah satu filem yang sempurna seratus peratus.

Dari segi olahan visual dan bahasa filemnya masih banyak kekurangannya. Paling penting kenapa filem Abang dianggap pencetus gelombang baharu, new wave cinema tanah air ialah isu dan persoalan yang cuba diangkat dan dipaparkan.

Isu tentang perubahan nilai hidup bangsa Melayu yang belum pernah cuba dikupas dalam mana-mana filem Melayu sebelum itu. Nilai inilah yang membezakan dan melayakkan filem Abang untuk berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Proses perubahan dari aspek pembikinan dan penontonan filem Melayu mengambil masa. Keseimbangan antara penghasilan filem yang lebih bermutu dan memenuhi tuntutan intelek dengan pulangan keuntungan dari segi kutipan perlu diusahakan.

Proses keseimbangan ini perlu terus berjalan sehingga kini. Pembikinan sesebuah filem memerlukan pelaburan modal dan dana yang besar. Tidak ada produser yang mahu rugi.

Pengarah filem seboleh mungkin mahukan filem-filem mereka mencapai kutipan pecah panggung. Sebagai pembikin filem kita tidak boleh menipu diri sendiri kerana inilah kenyataannya – produser mahu untung pecah panggung dan pengarah mahu filem-filem mereka mendapat sambutan penonton.

Kenyataan dan keinginan ini pasti ada pada setiap pengarah dan produser tanpa mengira apa jenis filem mereka arah dan terbitkan.

Dari dulu lagi produser dan pengarah filem sentiasa berdepan dengan dilema. Dilema yang terpaksa dihadapi dan menghambat mereka ialah cerita atau naratif dan filem jenis apa yang boleh memberi keuntungan pelaburan kepada produser.

Dalam masa sama memberi keuntungan kreatif kepada pengarah dan pembikin filem dari segi sambutan dan penerimaan penonton terhadap apa yang mahu disampaikan oleh pengarah melalui naratif filem yang dihasilkan.

Percaturannya mudah – kalau hendak buat untung berlipat ganda hasilkanlah filem-filem ringan yang tidak mencabar minda penonton dan juga minda pembikinnya.

Produser akan tersenyum lebar kerana simpanan wang dalam akaun banknya bertambah. Penonton pula tersenyum sumbing kerana enjoy dihiburkan oleh cerita-cerita kosong dan tidak memerlukan daya berfikir.

Pengarah filem adalah auteur, author atau karyawan kepada hasil kerja seninya. Lalu apa pilihan yang ada kepada seseorang pengarah filem?

Pada pendapat aku, bila berdepan dengan situasi sebegini seseorang pengarah perlu membuat pilihan berlandaskan prinsip dan tanggungjawab sosial yang dipegangnya.

Lebih mudah lagi jika pengarah tersebut adalah juga produser yang mampu menerbitkan filem dengan dana atau modalnya sendiri. Tetapi tidak ramai pengarah filem Malaysia yang punya kemampuan ini.

Rahim Razali adalah pembikin filem pertama Malaysia yang berani memikul dua tanggungjawab berat serentak sebagai - produser dan pengarah. Beliau telah memulakannya 30 tahun lalu.

Apakah kesannya? Kita sambung minggu depan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...