AKU mendapat ilham menulis skrip drama telefilem Runtuh sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi keruntuhan Highland Towers secara rasminya ditamatkan pada 22 Disember 1993. Tragedi ini telah meragut 48 nyawa menurut angka rasminya.
Aku merangka naratif drama ini dengan menggunakan tragedi keruntuhan Highland Towers sebagai metafora kepada keruntuhan nilai-nilai moral dan akhlak manusia terutamanya nilai-nilai moral orang-orang Melayu beragama Islam di Malaysia. Keruntuhan dan kebejatan akhlak berlaku tanpa disedari dan dipandang mudah oleh sebahagian lapisan masyarakat.
Di awal 90-an, negara kita sedang mengalami pertumbuhan ekonomi hebat dan sungguh memberangsangkan. Moral dan akhlak cuma dipandang daripada panjang atau pendek rambut seseorang. Kenapa aku berpendapat begitu?
Setahun sebelum peristiwa keruntuhan Highland Towers itu berlaku, negara digemparkan dengan tindakan menteri penerangan ketika itu. Beliau mengeluarkan arahan penyanyi-penyanyi dan artis-artis lelaki berambut panjang tidak dibenarkan muncul di program-program televisyen.
Apa kaitannya isu rambut panjang dengan siaran lintas langsung tragedi keruntuhan Highland Towers? Biar aku jelaskan.
Aku simpati dengan mereka kerana sumber rezeki mereka terjejas hanya kerana berambut panjang. Aku jadi pelik memikirkan apakah tidak ada lagi masalah-masalah yang membelenggu industri kreatif seni dan hiburan yang perlu diberi perhatian?
Masalah cetak rompak dan kesukaran produser dan penerbit berdepan dengan karenah birokrasi pihak berkuasa untuk mendapatkan dana untuk menghasilkan filem dan drama untuk televisyen.
Masalah juga timbul bila produser drama untuk televisyen berdepan dengan proses kelambatan bayaran selepas drama-drama mereka ditayangkan ketika itu.
Klimaks kepada isu rambut panjang ini merupakan siaran lintas langsung oleh RTM menyiarkan upacara memotong rambut kumpulan Search dan Wings melalui siaran Selamat Pagi Malaysia pada 1 November 1992.
Siaran lintas langsung ini boleh juga ditonton di seluruh negara-negara Asean. Aku berasa tidak puas kerana program lintas langsung itu tentu menelan belanja yang banyak.
Aku berasa malu kepada dunia luar kerana kita seperti membesar-besarkan isu remeh daripada menangani masalah-masalah kritikal dalam bidang seni hiburan tanah air termasuk rasuah yang sering disuarakan oleh golongan artis tanah air pada ketika itu.
Lintas langsung malapetaka bencana tragedi Highland Towers walaupun baik dari segi komunikasi masa, ia turut membawa kesan sebaliknya.
Melalui lintas langsung tragedi Highland Towers ini aku dapat saksikan tahap daya fikir sesetengah pemimpin sepanjang operasi mencari dan menyelamat itu berjalan.
Ramai di antara mereka mempunyai kemampuan terbatas kerana memberi komen dan pendapat setengah masak tanpa membuat kajian.
Pada lima hari pertama aku perhatikan ramai pemimpin berebut-rebut mahu muncul tanpa mengira masa untuk memberi komen, pandangan dan keyakinan kepada rakyat bahawa mangsa-mangsa akan berjaya diselamatkan dalam masa terdekat.
Suasana ini mula berubah bila operasi mencari dan menyelamat mula memasuki hari ketujuh dan kelapan. Aku lihat sudah mula tidak ada lagi pemimpin-pemimpin berebut-rebut untuk muncul secara live untuk memberi komen. Aku berpandangan pastinya mereka mula menyedari jangkaan mereka mula meleset.
Selepas seminggu, keghairahan petugas dan penyampai laporan di lokasi kejadian bertugas memberi ulasan semakin berkurangan. Ada ketikanya aku hanya akan menonton visual-visual tanpa ulasan daripada penyampai laporan stesen televisyen berkenaan untuk kadang-kadang sehingga 30 ke 40 minit.
Hanya terpancar di skrin televisyen visual jentera-jentera berat jentolak menggali kawasan runtuhan mencari mangsa-mangsa yang mungkin masih terselamat walaupun harapannya sangat tipis.
Pernah berlaku pada satu pagi sebelum subuh ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-10 jika aku tidak silap, aku menyaksikan bagaimana kamera yang diletakkan di atas tripod perlahan-lahan bergerak menunduk ke bawah.
Pada mulanya, kamera menunjukkan visual pekerja-pekerja penyelamat mencari mangsa dicelah-celah runtuhan konkrit, tetapi lama-kelamaan secara perlahan-lahan kamera menunduk ke bawah sambil merakamkan kawasan tanah di bahagian kaki tripod di bawah kamera.
Aku cuma mampu tersenyum sendiri melihat shot yang terpancar hampir 10 minit di skrin televisyen dan dirakam oleh alat perakam video aku di subuh dingin itu.
Rasa simpati dan kasihan aku kepada jurukamera bertugas yang aku rasa mungkin terlalu letih dan mengantuk sehingga lupa dan gagal memastikan kamera itu dipasang dengan kemas di atas tripod.
Pengalaman ‘gila’ aku merakam tanpa henti siaran lintas langsung ini sangat bernilai dan pasti tidak aku lupakan sampai bila-bila. Pengalaman yang sangat berbaloi dengan pengorbanan aku lakukan – cuma tidur beberapa jam sahaja setiap hari kerana berjaga untuk merakam siaran lintas langsung itu sepanjang malam. Aku perlu pastikan pita-pita video perlu ditukar dengan yang baharu bila pita tersebut telah tamat durasi rakamannya.
Isteri dan anak-anak aku pelik dengan kerja ‘gila’ aku ini. Mereka juga ada ketikanya membantu merakamkan siaran lintas langsung itu pada waktu siang hari bila aku terpaksa keluar menghadiri temu janji dengan produser dan rakan-rakan atas urusan kerja.
Secara peribadi aku berpendapat, tindakan melakukan lintas langsung selama 24 jam sepanjang operasi mencari dan menyelamatkan itu merupakan tindakan yang boleh mengundang berbagai kemungkinan di luar kawalan manusia.
Benarlah sangkaan dan telahan aku bila contoh-contoh negatif dan tindakan kurang cerdik pemimpin-pemimpin dan petugas-petugas media seperti di atas dapat disaksikan bila bersiaran secara lintas langsung. Tiada apa boleh disorokkan atau disunting kerana rakaman dibuat secara live.
Walau bagaimana pun kerja gila aku selama seminggu lebih itu banyak memberi aku pengalaman baharu yang boleh aku manfaatkan sebagai seorang filmmaker. Akhirnya, semuanya usaha mencari dan menyelamat berakhir pada 22 Disember 1993.
Skrip Runtuh aku tulis tanpa memikirkan ada atau tidak produser yang berminat untuk membeli dan menerbitkannya. Aku tulis kerana aku merasakan ada sesuatu yang aku hendak sampaikan dengan menggunakan bahan-bahan rakaman video lintas langsung daripada RTM dan TV3 yang telah aku rakamkan selama 12 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan. Aku tidak fikirkan bila dan siapa akan menerbitkan skrip drama ini.
Ketika itu bagi aku paling penting ialah idea dan bahan-bahan yang aku bertungkus lumus rakamkan itu berjaya dijadikan drama diinspirasikan oleh tragedi Highland Towers.
Sebelum idea dan ilham hilang daripada minda, aku berusaha menulis skrip Runtuh ini di antara minggu terakhir 1993 dan seminggu pertama 1994.
Seterusnya aku perlu mencari produser yang berminat menerbitkan drama ini supaya aku berjaya merealisasikan naratif keruntuhan akhlak, moral dan kemunafikan manusia ke dalam bentuk visual pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan