Ahad, 29 Mac 2015

Ilham daripada tragedi Highland Towers

DI antara pertengahan 1991 sehingga 1993, aku berhasil menulis skrip dan mengarahkan drama-drama berjudul Funfair, Joget, Tatoo, Runtuh dan Gigolo. Drama ini untuk siaran slot cerekarama di TV3.

Rupanya catatan senarai tajuk-tajuk drama yang pernah aku arahkan pada awal 90-an dalam artikel minggu lalu menarik perhatian beberapa anak muda yang meminati bidang perfileman. Ada yang menghubungi dan meminta aku menulis dan menceritakan tentang kisah-kisah berlaku behind the camera atau kisah-kisah di belakang kamera ketika aku membuat penggambaran atau ketika aku menulis skrip drama-drama tersebut.

Mereka beranggapan dengan judul-judul yang lain daripada kebiasaan mesti ada kisah dan cerita menarik di belakang tabir pada setiap pembikinan drama-drama tersebut. Mereka meminta aku menulis dan berkongsi pengalaman tentang hal-hal tersebut. Menarik juga cadangan ini bila aku fikirkan. Sememangnya selama ini aku banyak menulis tentang penglibatan dan pengalaman aku dalam penggambaran filem-filem cereka dan dokumentari. Kenapa tidak aku tulis tentang pengalaman dan penglibatan aku dalam penggambaran dan pembikinan drama untuk televisyen pula?

Kebanyakan drama televisyen arahan aku adalah karya aku sendiri. Ada yang ingin tahu kenapa aku sering menggunakan satu perkataan sahaja untuk tajuk-tajuk hampir kesemua drama aku? Antara sebabnya aku berpendapat judul-judul seperti ini mudah diingati oleh penonton.

Aku gemar cara ini kerana drama-drama dengan judul satu perkataan berupaya memberi gambaran awal tentang ketepatan isi cerita yang bakal penonton tontoni. Ini tidak bermakna aku tidak memberi ruang kepada diri sendiri untuk lebih bersifat terbuka dalam soal pemilihan judul skrip-skrip drama tulisan aku. Senang cerita sebab nombor wahid ialah ketika itu aku sedang melalui proses mencari dan mewujudkan identiti sendiri setakat mana aku mampu.

Aku juga ditanya tentang drama mana paling terkesan kepada aku baik dari aspek penggambaran dan penghasilan naskhahnya. Sukar untuk aku memberi pilihantepat kerana kebanyakan skrip drama yang aku tulis sememangnya amat istimewa dan punya sebab-sebab dan makna tersendiri mengapa aku menghasilkan naskhah drama tersebut.

Mulai minggu ini aku akan menceritakan pengalaman aku menulis dan menghasilkan drama. Aku akan mulakan dengan drama berjudul Runtuh yang aku tulis dan arahkan pada 1994. Skrip drama Runtuh diinspirasikan oleh tragedi keruntuhan bangunan apartmen blok 1 Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Kelang pada 11 Disember 1993. Peristiwa yang mengejutkan seluruh negara itu mengorbankan 48 nyawa. Di antara mangsa korban itu ialah anak lelaki bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bernama Carlos Rashid dan isterinya.

Tragedi ini juga pernah difilemkan dalam bentuk genre seram berjudul Highland Towers (2013) arahan Pierre Andre.

Insiden keruntuhan Highland Towers ini mendapat liputan secara live – lintas langsung yang luar biasa dan meluas daripada media elektronik tanah air. Peristiwa keruntuhan Highland Towers ini memang mengejutkan rakyat dan seluruh negara. Sebelum ini tiada kejadian bangunan runtuh sepelik dan sedahsyat ini.

Aku rasa setakat 1993 dan sehingga sekarang itulah kali pertama liputan siaran langsung bencana dibuat secara besar-besaran. Sehingga kini belum ada lagi liputan sedemikian rupa dilakukan mana-mana stesen televisyen negara ini. Saluran RTM dan TV3 mengadakan lintas langsung dari lokasi kejadian sepanjang masa selama 24 jam sehari sepanjang 12 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Aku masih ingat, pada petang hari tragedi keruntuhan itu berlaku aku berada di Studio Panca Delima, studio milik Tan Sri Jins Shamsuddin di Jalan Ulu Kelang. Bangunan studio itu masih ada lagi sekarang. Tetapi sekarang bahagian bawah bangunan studio itu menjadi kedai bengkel tayar kereta. Aku tidak berapa pasti tetapi rasanya di tingkat atas masih menempatkan bilik-bilik pejabat seperti 22 tahun lalu.

Di studio itu juga dahulu terletaknya bilik rakaman untuk proses alih suara atau dubbing untuk filem. Selain bilik dubbing, kumpulan rock tersohor tanah air, Search juga pernah menyewa bahagian bawah studio itu dijadikan studio latihan dan jamming mereka.

Berbalik kepada kejadian Highland Towers runtuh pada tengah hari Sabtu itu, aku ke Studio Panca Delima untuk bertemu Ito Mohd, penyanyi Blues Gang. Sebaik aku sampai dalam pukul 2.30 petang, aku lihat helikopter berlegar-legar di kawasan Bukit Antarabangsa yang terletak tidak jauh dari situ. Menurut beberapa orang di studio itu, ada bangunan runtuh di kawasan itu.

Aku dan Ito memandu ke kawasan itu untuk melihat dan mengetahui apa yang berlaku. Sebaik kami sampai di persimpangan ke Bukit Antarabangsa, ada sekatan jalan raya dan kami tidak dibenarkan melalui jalan menghala ke Ampang. Kami berpatah balik dan menyusuri jalan menghala ke Datuk Keramat. Di atas kami helikopter masih lagi berlegar. Sepanjang jalan AU 3, Keramat itu sesak. Melalui radio kereta aku mendengar berita tragedi keruntuhan bangunan apartmen Highland Towers yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu.

Malam itu di rumah aku mengikuti perkembangan tragedi Highland Towers runtuh melalui siaran berita RTM dan TV3. Lewat tengah malam itu, diumumkan yang RTM dan TV3 akan serentak menyiarkan secara langsung sepanjang waktu selama operasi mencari dan menyelamatkan dilakukan. Melalui siaran berita dan temu ramah di lokasi kejadian dengan beberapa menteri dan ketua jabatan penting kerajaan ketika itu, mereka berkeyakinan dalam masa terdekat mangsa-mangsa akan dapat diselamatkan. Aku pula terfikir, jika ditakdirkan operasi ini mengalami kesukaran dan berlanjutan sehingga melebihi dari jangka masa yang dirancang, bagaimana?

Aku berasa hairan dan terdetik di benak, apakah jaminan dan kepastian operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa ini bakal selesai dalam masa terdekat dan untuk beberapa hari sahaja? Secara peribadi aku berpendapat liputan langsung around the clock - sepanjang waktu mengenai peristiwa bencana dan malapetaka merupakan satu tindakan yang boleh mengundang berbagai kemungkinan di luar jangkauan akal manusia. Secara peribadi aku berpandangan, kita tidak mampu menjangka berapa lama operasi itu perlu dilakukan kerana proses mencari dan menyelamat ini di luar kawalan dan penentuan masa manusia. Apa pun ini cuma pendapat dan pandangan aku sahaja.

Mulai keesokan harinya, aku mula mengikuti perkembangan terkini tragedi terburuk dalam sejarah negara itu melalui siaran lintas langsung di RTM dan TV3. Aku melepak depan televisyen sepanjang hari. Ketika itu aku sedang dalam proses menulis skrip drama. Jadi banyak masa aku berada di rumah. Aku tidur pun depan televisyen. Sepanjang malam aku tidur pun jenis tidur-tidur ayam, sekejap aku akan terjaga dan mengikuti siaran langsung tersebut dan kemudian tertidur semula.

Pada hari ketiga, tiba-tiba aku didatangi satu ilham. Aku terfikir, kenapa tidak aku rakamkan siaran lintas langsung 24 jam ini untuk aku jadikan bahan simpanan peribadi dan rujukan untuk masa depan. Dengan melihat perkembangan semasa ketika itu, aku percaya operasi mencari dan menyelamat ini akan berlarutan sehingga ke satu masa yang sukar dipastikan.

Pada tahun awal 90-an belum ada lagi VCD dan DVD, alat pandang dengar paling popular ketika itu ialah videotape atau pita video. Aku mula merakam siaran lintas langsung dari lokasi bencana keruntuhan dan termasuk siaran berita daripada kedua stesen televisyen, RTM dan TV3. Rupanya benar telahan aku, operasi mencari dan menyelamat yang dijangka mengambil masa singkat berlarutan sehingga 12 hari.

Pada 22 Disember 1993, operasi mencari dan menyelamat dengan resminya dihentikan setelah 48 mayat ditemui. Aku pula memperoleh hampir 60 pita video mengandungi bahan-bahan rakaman berita dan siaran lintas langsung sejak hari ketiga insiden keruntuhan bangunan paling terburuk pernah berlaku di negara kita.

Setahun selepas itu aku mendapat peluang menulis dan mengarah drama untuk televisyen berdasarkan tragedi keruntuhan Highland Towers. Pastinya baha yang aku rakamkan menjadi sungguh berguna untuk aku menghasilkan drama yang aku berikan judul Runtuh.


Minggu depan aku akan ceritakan apa terjadi di sebalik pembikinan drama tersebut yang banyak meninggalkan pengalaman pahit dan manis sehinggakan ada nyawa yang terancam dan nyaris melayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...