AKU pernah menjadi penolong pengarah dan pengarah seni kepada Shuhaimi Baba semasa beliau mengarahkan telefilem pertama TV3 yang baharu mula beroperasi ketika itu.
Telefilem berjudul Maria diproduksikan pada 1984 dengan dibarisi oleh pelakon-pelakon Mustapha Nor (Allahyarham), Fatimah Abu Bakar, Kee Thuan Chai dan dibantu oleh peserta-peserta bengkel lakonan anjuran Finas di bawah kelolaannya.
Aku mendapat peluang sekali lagi berkolaborasi dengan Shuhaimi pada 1990. Kali ini aku juga menggalas tugas penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem sulung Shuhaimi berjudul Selubung sesudah berjaya mengarah dua filem, Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Rozana, Cinta 87 (1987).
Kelihatan seperti aku ‘turun pangkat’. Kenapa aku terima tawaran penolong pengarah dan pengarah seni untuk filem sulung beliau? Aku sanggup menerima tawarannya atas rasa hormat dan menghargai sumbangan serta jasanya membantu perjalanan kerjaya seni dan filem. Aku mengenali beliau pada pertengahan 70-an ketika aku masih menuntut di UiTM, Shah Alam.
Ramai tidak tahu bahawa produksi filem Selubung melalui dua kali perubahan dan pertukaran. Perubahan kumpulan tenaga kerja, penjadualan penggambaran dan pertukaran penerbit atau produser.
Filem Selubung memulakan pra-produksi pada awal 1990. Seingat aku, mereka yang terlibat terdiri daripada beberapa orang tenaga pembantu lain. Kami bertugas dan bergerak dalam satu kumpulan kecil. Bermula dengan mencari lokasi dan pemilihan pelakon.
Pada masa sama olahan demi olahan dan perubahan kepada skrip dilakukan. Penulis asal cerita Selubung ini ialah Nora Ariffin Fleming yang bermastautin di Canberra, Australia.
Skrip filem Selubung memerlukan lokasi-lokasi di Australia terutamanya lokasi kampus universiti kerana naratif filem ini bermula dengan mengisahkan tentang pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana berdepan dengan masalah dan pengaruh ajaran sesat bertopengkan Islam. Ajaran yang dibawa oleh watak Brother Musa, diperankan oleh Harith Iskandar.
Masalah ini melibatkan watak-watak utamanya, Mastura, diperankan oleh Deanna Yusoff dan watak EJ oleh Ida Nerina. Hampir 10 peratus terutamanya pembukaan filem ini perlu dilakukan penggambarannya di negara kanggaru itu.
Aku dan Shuhaimi ke Sydney dan Canberra selama 10 hari pada Jun 1990 untuk mencari dan mengenal pasti lokasi-lokasi yang diperlukan untuk penggambaran babak-babak di Australia.
Sebaik sahaja kami pulang dari Australia dan menyambung semula kerja-kerja pra-produksi, tiba-tiba pada satu hari aku terkejut bila Shuhaimi memberitahu berita yang tidak kami duga sama sekali.
Produser yang membiayai produksi filem ini meninggal dunia. Shuhaimi terpaksa menunda penggambaran ke tarikh yang tidak dapat dipastikan lagi. Memang berita ini membuat kami rasa kecewa dan terduduk, tetapi dugaan ini perlu dihadapi dengan tawakal dan sabar.
Aku terpaksa mencari peluang kerja dan berkarya yang lain untuk menampung hidup kami sekeluarga sementara menunggu pembikinan filem Selubung disambung semula.
Jika aku tidak silap, hampir lebih lapan bulan menunggu sehingga ke tahun 1991. Akhirnya, Shuhaimi berjaya mendapatkan seorang produser baharu untuk melabur dalam produksi Selubung. Produser itu ialah Abdullah Omar (Allahyarham).
Melalui syarikatnya, Identity Entertainment (M) Sdn Bhd, filem Selubung disambung semula produksi dan penggambarannya pada penghujung 1991. Tetapi kali ini aku tidak dapat ikut serta kerana aku terlibat dengan pengarahan beberapa drama untuk siaran TV3.
Di antara pertengahan 1991 sehingga 1993, aku berjaya mendapat peluang mengarah drama untuk slot cerekarama di TV3. Tidak seperti RTM, aku tidak di‘gam’ oleh stesen televisyen swasta ini.
Di antara drama-drama arahan aku yang disiarkan melalui slot cerekarama ialah Namaku Shima, Funfair, Joget, Tatoo, Duda, Runtuh berdasarkan insiden keruntuhan kondo Highland Towers dan Gigolo - melibatkan penggambaran underwater yang dilakukan di Pulau Besar, Mersing. - Aku rasa inilah drama pertama untuk televisyen yang melakukan penggambaran dalam laut.
Berbalik kepada penggambaran filem Selubung, Shuhaimi menggunakan barisan tenaga kerja kreatif yang baharu. Tugas pengarah seni dan pereka produksi dipikul oleh Zuraini Anuar yang sebelum ini banyak menimba pengalaman sebagai pengarah seni di bidang filem iklan dan penerbitan program televisyen.
Selain pertukaran tenaga kerja kreatif, lokasi di Australia juga turut mengalami pertukaran. Kali ini Shuhaimi memindahkan lokasi kampus universiti dari Canberra ke Perth, Australia Barat.
Secara jujur aku memang berasa terkilan juga kerana tidak dapat bersama dalam penggambaran terbaharu ini. Tetapi aku tidak boleh memungkiri komitmen kepada produser-produser yang memberi aku kepercayaan untuk mengarah drama-drama mereka.
Memang benar pepatah Melayu mengatakan, jika ada rezeki kita pasti tidak ke mana. Di pertengahan penggambaran Selubung, aku dihubungi oleh Shuhaimi. Kami berjumpa dan Shuhaimi meminta aku bertindak sebagai pengarah seni dan pereka produksi khas untuk sekuen yang mereka namakan ‘Beirut Sequence’.
Sekuen ini memerlukan diwujudkan suasana di kawasan perlindungan di mana para doktor dan para sukarelawan-sukarelawan Rescaid di antaranya watak yang diperankan oleh Jit Murad sedang bertungkus lumus menyelamat dan memberi rawatan kepada mangsa-mangsa terutamanya kanak-kanak yang diserang askar-askar Zionis Israel.
Mise-en-scene dan mood yang perlu aku reka ciptakan adalah keadaan kelam kabut perang dengan bangunan terbakar, kenderaan meletup, orang-orang Arab dewasa dan kanak-kanak lari menyelamatkan diri dari serangan askar-askar rejim Zionis Israel. Satu suasana kacau bilau peperangan.
Berpandukan gambar-gambar yang diberikan oleh Shuhaimi, aku dan unit yang dibentuk khas untuk melahirkan sekuen ini telah mencari beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang sesuai untuk dibina set Beirut seperti dibayangkan oleh Shuhaimi. Aku berjaya menjumpai bangunan rumah kedai lama hampir runtuh di Jalan Tun Razak.
Lokasi bangunan itu berada di tepi tebing sungai Gombak bertentangan dengan stesen LRT Titiwangsa sekarang. Di atas lokasi itu sekarang sedang dibina bangunan baharu selepas hampir 20 tahun terbiar.
Satu pengalaman kerja menarik. Selama lima hari, siang dan malam aku dan pasukan special effect atau kesan efek khas bekerja keras bertungkus-lumus menyediakan dan membina set tersebut.
Secara peribadi aku sungguh puas hati dengan apa yang mampu kami hasilkan memandangkan zaman itu belum ada lagi teknologi CGI seperti sekarang.
Hasilnya sungguh berbaloi, sehingga membolehkan Zuraini Anuar memenangi anugerahkan Penataan Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 10,1992.
Di Festival Filem Malaysia yang sama, filem Selubung berkongsi dengan filem Bintang Malam, arahan Adman Salleh memenangi Anugerah Filem Terbaik 1992.
Dengan mencabar daya kreatif kita sendiri, aku dan pasukan kesan efek khas berjaya menghasilkan dan mereka cipta suasana negara asing dengan menggunakan lokasi tempatan tanpa teknologi CGI.
Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi terkini kesinambungan daripada aspek production design ini terus diterokai oleh pembikin-pembikin filem generasi muda sekarang.
Paling terkini ialah berhasilnya Bangladesh diwujudkan di Perak dalam Werewolf dari Bangladesh. Tahniah, Mamat Khalid!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan