SATU perjumpaan dan sesi dialog antara penggiat seni hiburan dan karyawan seni dan sastera bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah diadakan pada 31 Oktober 2002 di rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Perjumpaan itu adalah atas daya usaha Dinsman dan diaturkan Setiausaha Politik Tok Guru ketika itu, Anual Bakri.
Dinsman yang mewakili kami memulakan dialog dengan meminta penjelasan tentang kegiatan seni dan hiburan daripada perspektif Islam. Tok Guru sendiri mengakui yang beliau bukan mahu mengambil alih tugas mufti dalam menghalal dan mengharamkan satu-satu perkara dan perbuatan. Namun kepada kami beliau merupakan tokoh yang juga punya autoriti untuk memberi penjelasan dan kefahaman tentang seni hiburan dari aspek halal haramnya dari segi Islam.
Menurutnya, Islam tidak menghalang kegiatan kesenian. Beliau menjelaskan dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebut dan menyatakan tentang keindahan, kecantikan dan kedamaian. Tok Guru menerangkan seni itu indah dan apa saja yang berunsur keindahan adalah seni. Dunia ini penuh dengan keindahan dan semua keindahan ini adalah anugerah ALLAH SWT.
Di antara perkara yang dibangkitkan ialah seni muzik daripada kaca mata Islam. Ito Mohd, penyanyi kumpulan Blues Gang menimbulkan persoalan penggunaan alat muzik yang menurut pendapat sesetengah ulama alat-alat muzik menggunakan tali seperti gitar adalah haram. Ada ulama berpendapat hanya alat muzik seperti gendang atau rebana sahaja dibolehkan. Sememangnya isu itu hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pemuzik dan penyanyi pada awal 2000.
Ito turut mempersoalkan bagaimana gendang dan penggunaannya yang dianggap Islamik oleh sesetengah pihak, tetapi ironinya gendang dan alat-alat perkusi merupakan alat muzik paling dominan ketika meraikan pesta-pesta seperti Karnival Mardi Gras di Brazil yang melibatkan penari-penari dan peserta perempuan berpakaian hampir bogel. Macam mana itu?
Menurut Tok Guru, ada kekhilafan pendapat ulama tentang perkara tersebut. Tok Guru mencadangkan supaya pemuzik dan penyanyi mengambil jalan tengah. Bila dan mana yang bercampur aduk dengan maksiat jangan dibuat dan yang bersih dan tidak melanggar hukum hakam agama boleh diteruskan. Inilah asas penting paling utama perlu diketahui dan difahami oleh setiap penggiat seni dan karyawan.
Tok Guru menjelaskan, lagu-lagu, syair-syair dan tarian yang ditegah oleh Islam adalah yang punya unsur-unsur menimbulkan berahi, melalaikan, memuji arak atau wanita, berunsur syirik, anti dakwah serta pencampuran antara lelaki dan wanita.
Jalan tengah yang disyorkan oleh Tok Guru dan menurut kefahaman yang mampu kami tafsirkan ialah berkaryalah, ciptalah dan dendangkanlah lagu-lagu asalkan tidak bercanggah dengan hukum hakam Islam.
Aku teringat kepada Cat Stevens, seorang penyanyi folk rock kelahiran Britain yang meletup dengan lagu-lagu di antaranya Morning Has Broken, Wild World, Father And Son dan Peace Train. Mula mencipta nama sebagai penyanyi dan gitaris pada akhir 60-an sehingga pertengahan 70-an. Setelah memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam pada 1977, beliau telah membuang semua alat muzik bertali dan meninggalkan bidang nyanyian. Yusuf Islam pernah bergabung dengan kumpulan nasyid paling popular Malaysia, Raihan merakamkan lagu GOD Is The Light tanpa menggunakan alat muzik bertali pada 1997.
Tetapi pada 2006, Yusuf Islam telah kembali membuat rakaman album dengan menggunakan gitar dan melahirkan album berjudul An Other Cup.
Perhatikan kenyataan Yusuf Islam ketika ditanya oleh wartawan mengenai comeback albumnya itu. Kata penyanyi itu, hiburan yang sihat boleh diterima dengan batasan dan had tertentu. Dia berasakan tidak berdosa membuat persembahan dengan menggunakan gitar. Kini, dia berasakan muzik mampu meningkatkan kerohanian yang sering diperlukan ketika dalam kekalutan.
Mulai 2006, Yusuf Islam telah menemui jalan tengah seperti yang disarankan oleh Tok Guru kepada kami pada 2002. Sehingga sekarang Yusuf Islam terus menghasilkan album dan membuat persembahan. Pandangan Tok Guru memang jauh ke depan.
Berkenaan filem pula, kita dapati lebih banyak yang bercanggah berbanding dengan yang dibenarkan oleh Islam. Terutamanya dalam pembikinan dan penghasilan filem-filem cereka dibandingkan dengan filem-filem dokumentari. Daripada masalah pelakon, suasana pembikinan sesebuah filem dan apa yang mahu disampaikan melalui filem dari dahulu sehingga sekarang banyak boleh dipersoalkan dan dipertikaikan oleh massa bila dilihat daripada aspek agama.
Bila membicarakan tentang filem daripada aspek Islam, Tok Guru berpandangan bahawa agama Islam bukan penghalang, tetapi pengawal. Dalam segi ini, Islam cuba mengawal kita daripada terjerumus ke jalan maksiat dan kekufuran, tegas Tok Guru.
Kita semua tahu bahawa budaya popular dan moden terutamanya filem berpusat di Hollywood, Amerika. Bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pembikin filem tempatan beragama Islam, Tok Guru memberi pandangan yang sungguh mencabar yang tidak boleh aku lupakan. Tok Guru mencadangkan -cipta benda baharu yang Amerika belum buat lagi!
Secara peribadi, aku berasakan sehingga kini pembikin dan penggiat filem tidak terkecuali aku sendiri masih belum berupaya dan berjaya menggerakkan cadangan Tok Guru itu. Aku mengambil pendekatan dan fikiran terbuka mengenai cadangannya itu.
Tanpa mengira fahaman politik dan tanpa mengira bangsa dan kaum, aku rasa amanah Tok Guru itu perlu dan wajar difikirkan oleh semua pembikin dan penggiat filem Malaysia. Usaha ke arah itu perlu dimulakan mulai sekarang. Rasanya belum terlambat walaupun Tok Guru sudah tidak ada bersama kita lagi buat selama-lamanya.
Ketika menjalani penggambaran dokumentari Tok Guru, aku mendapat informasi daripada Anual Bakri tentang selama ini (sehingga 2001) cuma tiga malam sahaja Tok Guru tidak dapat melakukan solat sunat tahajud disebabkan demam.
Menurut Anual Bakri, ini diceritakan oleh Tok Guru sendiri kepadanya. Ketika itu tergerak hati aku untuk mendapat kepastian daripada Tok Guru, tetapi entah kenapa sangat berat mulut aku untuk bertanya. Akhirnya, aku lupakan sahaja niatku itu.
Selepas 13 tahun, informasi ini disahihkan oleh Tok Guru sendiri dalam ucapannya pada Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Kelantan bersama Selebriti pada 29 September 2013 di Hotel De Palma, Ampang.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan seingatnya sehingga saat itu beliau hanya meninggalkan solat sunat tahajud cuma tiga malam sahaja. Tok Guru juga dalam ucapannya itu menyatakan beliau selalu mendoakan supaya golongan artis, pelakon, penyanyi yang sering dikaitkan dengan membawa orang lain kepada kelalaian dibuka pintu hati mereka untuk kembali kepada ALLAH SWT.
Tok Guru menitiskan air mata dalam ucapannya sambil menyatakan kesyukurannya kerana di akhir-akhir usia, doanya itu dikabulkan ALLAH SWT.
Awal tahun ini seorang rakan mencadangkan kepada aku supaya aku usahakan untuk memfilemkan sejarah hidup Tok Guru dalam bentuk filem cereka. Dia memberi contoh filem Gandhi (1982) arahan Sir Richard Attenborough.
Rakan aku ini mencadangkan supaya aku hanya ambil momen-momen penting sahaja dalam hidup Tok Guru. Contohnya momen-momen yang melibatkan usaha dan kejayaan Tok Guru merubah landskap politik tanah air. Maksudnya, tidak perlu tunjukkan Tok Guru daripada sejak lahir, kecil sehingga dewasa.
Di Indonesia, filem Sang Pencerah (2010) arahan Hanung Bramantyo berjaya mengvisualkan kehidupan dan perjuangan Kiyai Ahmad Dahlan, pengasas pergerakan Muhammadiah pada 1912. Aku terfikir jika ada produser berminat untuk menerbitkan filem Tok Guru ini, mengapa tidak diusahakan?
Alangkah indah jika kita dapat menonton filem kisah seorang murabbi dan pejuang Islam, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang telah meninggalkan kita pada 12 Februari 2015.
Moga rohnya dicucuri rahmat dan keampunan ALLAH SWT bersama roh-roh para aulia, anbia dan syuhada. Al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan