SELEPAS Asar pada petang 24 Oktober 2001, hari terakhir penggambaran peringkat pertama, kami telah berpeluang membuat penggambaran Tok Guru di kebunnya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.
Tok Guru ke kebun membawa sebilah parang panjang dan selaras senapang patah. Dengan memakai baju T putih, berseluar panjang, berkain pelekat, berkopiah dengan sepasang boot getah, Tok Guru menyusuri jalan sunyi kampung menuju ke kebunnya.
Selain menebas semak samun di kebun, Tok Guru juga akan menembak tupai-tupai yang sering memakan buah kelapa dan buah-buahan lain di kebunnya itu.
Walaupun aku dan Dinsman cuba sedaya mampu sepanjang penggambaran ini tidak meminta Tok Guru beraksi atau melakonkan pergerakan dan rutin hidup hariannya tetapi ketika membuat penggambaran Tok Guru menebas dan menembak tupai di kebunnya, aku telah melanggar pantang yang kami setujui bersama sebelum ini.
Ada dua shot Tok Guru diminta beraksi. Atas permintaan jurukamera, Tok Guru diminta untuk menghalakan muncung senapangnya ke arah kamera. Shot kedua ialah shot yang aku minta supaya Tok Guru mengayunkan parangnya betul-betul dari depan kamera sehingga ke arah atas kamera.
Aku tunjukkan kepada Tok Guru aksi yang aku mahu rakamkan. Selepas sekali rehearsal, Tok Guru sudah faham pergerakan yang aku mahukan. Bila jurukamera sudah bersedia, aku pun laungkan ungkapan sejagat pengarah filem seantero dunia – action!
Itulah kali pertama dan terakhir aku mengarah Tok Guru. Itu jugalah momen paling mahal buat aku sebagai pengarah filem. Aku pasti tidak akan lupa sehingga bila-bila.
Penggambaran sekuen Tok Guru berkebun banyak meninggalkan kenangan kepada aku dan Dinsman.
Kami menyaksikan bagaimana yakin dan pasrahnya seorang hamba ALLAH kepada Sang Penciptanya. Kami diberitahu selalunya Tok Guru seorang diri akan ke kebunnya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya itu. Membersihkan dan menebas semak belukar di kebunnya kadang-kadang sehingga satu atau dua jam tanpa ada pengawal keselamatan.
Aku dan Dinsman terfikir di kebun yang sunyi dan berbelukar ini sentiasa membuka peluang kepada mereka yang berniat jahat untuk melakukan sesuatu tidak baik kepada Tok Guru.
Perasaan yang kami rasakan ini dicatatkan oleh Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi November 2001 – sambil melihat Tok Guru Menteri Besar yang berbadan kecil itu menebas-nebas pohon renek atau memotong ranting-ranting pokok - saya membayangkan di hari-hari lain apabila dia berbuat demikian bersendirian – "ah, orang ini memang betul-betul pasrah," bisik hati kecil saya.
Saya menyatakan perasaan hati saya kepada Nasir. Rupanya Nasir pun sedang memikirkan hal yang sama. Dan kemudian apabila Nasir menyatakan rasa keprihatinan kami itu kepada Tok Guru, kata Nasir, Tok Guru senyum mendengarnya.
Tok Guru berkata kepada aku, “kito ado ALLAH!” Satu lagi pengalaman yang sukar aku dan Dinsman lupakan ialah insiden ketika lawatan Tok Guru ke Tok Bali, pekan di pinggir pantai jajahan Pasir Putih.
Lawatan Tok Guru untuk melihat perkembangan Tok Bali yang dirancangkan menjadi pusat pendaratan ikan terbesar. Menurut Pok Ya, pegawai pengawal peribadi Tok Guru memberitahu Dinsman yang Tok Guru akan bertolak sendiri terus daripada rumahnya pada jam 8 pagi.
Tidak bersama dengan rombongan Menteri Besar dari kompleks pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim yang bakal bertolak jam 8.45 pagi. Kami membuat keputusan untuk pergi sendiri dan bertemu Tok Guru dekat jambatan yang merupakan landmark atau mercu tanda di Tok Bali.
Kami tiba jam 9 pagi dan terus mencari Tok Guru dan Pok Ya di jambatan yang dijanjikan. Tetapi kelibat Tok Guru dan Pok Ya tidak kelihatan. Kami bergerak ke arah jalan menghala ke sungai di bawah jambatan kerana aku ingin merakam establishing shot.
Alangkah terkejutnya kami bila ternampak Pok Ya melambai-lambai kami dari sebuah kedai kopi kampung berdekatan. Tok Guru sedang bersarapan sambil menikmati suasana pagi yang segar dan tenang dengan Pok Ya dan drebarnya di bahagian depan kedai kopi.
Pengalaman ini dinukilkan oleh Dinsman dalam majalah Tamadun, edisi yang sama seperti berikut – Suasana sungguh tenang. Tidak ramai orang di kedai kopi itu. Hanya ada dua orang lain di bahagian dalam kedai. Di luar kedai kelihatan dua ekor kambing sedang berjalan cari makan.
Beberapa ekor kucing bermain di bawah meja. Sememangnya aku kagum dengan cara hidup Tok Guru yang tidak banyak kerenah dan tidak mementingkan protokol. Aku lihat Tok Guru sungguh cool dan so sweet – meminjam kata-kata anak muda sekarang.
Paling menarik perhatian aku ialah rakyat Tok Guru pun cool tidak kecoh-kecoh dengan kehadiran Tok Guru di kedai kopi itu. Sepanjang penggambaran dokumentari ini, aku lihat suasana sebegini bukan di Tok Bali sahaja. Di mana-mana pun Tok Guru berinteraksi bebas dengan rakyat.
Suasana serupa aku saksikan ketika melakukan penggambaran peringkat kedua pada 28 November 2001 bersamaan 12 Ramadan 1422. Di masjid sebuah kampung di kawasan Pantai Cahaya Bulan, sebelum berbuka puasa Tok Guru memberi tazkirah seperti lazimnya di mana-mana masjid di Kelantan ketika bulan Ramadan.
Selepas berbuka puasa dengan sedikit kuih, Tok Guru mengimamkan solat Maghrib. Seusai solat Maghrib baharulah Tok Guru dan jemaah lain menikmati makanan yang berat. Aku lihat Tok Guru relaks sahaja makan nasi bungkus dan duduk bersila bersama jemaah lain.
Tiada hidangan khusus dan istimewa untuk Tok Guru. Memang sempoi dan mengusik hati aku melihat mudah dan santainya Tok Guru bergaul mesra dengan rakyatnya. Suasana ini berjaya kami rakamkan tanpa disedari oleh Tok Guru.
Memang benar kata pepatah Melayu, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Jangan seperti ular lidi memanjat dahan yang tinggi tetapi tetap tidak berbisa. Contoh kehidupan yang diamalkan oleh Tok Guru banyak mengajar aku apa itu zuhud dan kesederhanaan dalam menjalani hidup yang sementara di dunia ini.
Selain berpeluang berinteraksi dengan Tok Guru ketika penggambaran filem dokumentari ini, aku juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan Tok Guru di beberapa kesempatan yang lain.
Di antaranya, di program perjumpaan dan dialog Tok Guru dengan golongan seniman yang diadakan di Rumah Seri Kelantan, Jalan Stonor, Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2002. Aku hadir bersama dengan penyajak dan penulis, Dinsman, Pak Salleh Bakar dan Razali Endun, penyanyi Ito Mohd dan Ghani Datuk Talib, gitaris Blues Gang serta kartunis Zunar.
Kami merupakan golongan seniman dan karyawan terawal dan mungkin yang pertama mengorak langkah untuk mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada Tok Guru berkaitan kegiatan kesenian melibatkan sastera, nyanyian, muzik, filem, lukisan termasuk kartun dan teater.
Banyak pandangan dan penjelasan menarik daripada perspektif Islam mengenai kegiatan seni dan hiburan dikemukakan oleh Tok Guru dalam sesi dialog itu. Aku akan ceritakan pada minggu depan. InsyaALLAH.
Minggu ini genaplah setahun aku menulis untuk kolum Lantera. Artikel sulung aku, Tiga dekad karyawan rebel tersiar pada 9 Mac 2014. Sejak itu setiap minggu aku tidak pernah gagal menyumbang tulisan untuk Lantera.
Alhamdulillah, sehingga minggu ini aku masih berupaya berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan penglibatan aku dalam industri filem Melayu dan drama untuk televisyen tempatan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan