Langkau ke kandungan utama

Melaka & Palembang: Kota filem Islami?

SELEPAS 16 tahun berlalu, usaha aku menelaah semula kertas presentasi oleh Mansor Puteh bertajuk Sinema Islami sebagai pencabar Hollywood dengan lebih fokus bagi tujuan menulis untuk berkongsi informasi dengan pembaca kolum ini telah menemukan aku dengan beberapa pencerahan dan penemuan penting.

Pertama, selama ini sejak terciptanya imej-imej bergerak bernama filem pada 1890-an, pihak Barat atau kufar berjaya menggunakan filem bagi melemahkan jati diri dan akidah umat Islam seantero dunia melalui penjajahan minda tanpa kita sedari.

Kedua, hanya dengan mewujudkan Muslim Cinema atau Sinema Islami melalui penubuhan World Muslim Film Foundation atau Yayasan Filem Dunia Islam merupakan jalan dan usaha menghalang perkembangan mungkar dan jahiliah yang dihasilkan Hollywood selama ini.

Ketiga, hanya sinema Islami berupaya memperkenalkan unsur-unsur agama dan moral yang baik ke dalam bahasa filem atau pemahaman sinematik.

Mansor berpandangan semua ini perlu diusahakan untuk  membawa umat Islam keluar daripada merasakan kononnya mereka kini berada di Zaman Pencerahan Baru dan Kefahaman Islam, tetapi sebenarnya berada pada Zaman Neo Jahiliyah atau Era Kejahilan Baharu!

Bagi mewujudkan Muslim Cinema atau sinema Islami, beliau mencadangkan World Muslim Film Foundation atau Yayasan Filem Dunia Islam ditubuhkan. Melalui Yayasan Filem Dunia Islam ini idea untuk penubuhan Melaka sebagai Kota Filem di Malaysia dan Kota Filem Palembang di Indonesia boleh dicadangkan kepada negara-negara Islam yang berkaitan, pemimpin-pemimpin Arab dan para bakal pelabur-pelabur.

Beliau berpandangan - The Melaka Film City and Palembang Film City will be the Hollywood of the Muslim World and Third World.

Terjemahannya - pemilihan Melaka sebagai Kota Filem atau Melaka Film City dan Kota Filem Palembang diharapkan menjadi Hollywood bagi Dunia Islam dan Dunia Ketiga.

Cadangan ini dibuat kerana Melaka di Malaysia dan Palembang di Sumatera, Indonesia merupakan pusat utama penyebaran Islam di Asia Tenggara sejak daripada abad ke-15. Di gugusan Nusantara ini terdapat gabungan penduduk Islam terbesar di luar rantau Timur Tengah.

Ia pasti boleh menjadi pusat baharu pertumbuhan tamadun Islam.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan di kedua kota filem ini studio-studio penggambaran filem, muzium filem yang berfungsi sebagai arkib, pusat penyelidikan, penyimpanan dan penyebaran informasi serta sejarah filem negara-negara dunia Islam.

Paling penting penubuhan sekolah-sekolah filem di Kota Filem Melaka dan Palembang bagi melatih pembikin-pembikin filem generasi pelapis muda masa depan menghasilkan filem-filem bergenre Islami dan bersesuaian dengan nilai-nilai hidup, tamadun dan budaya berteraskan syariat Islam.

Kota Filem Melaka dan Palembang ini diharapkan berfungsi mengumpulkan komuniti artis, pelakon, pengarah, tenaga kreatif dan teknikal daripada negara-negara dunia Islam dan dunia ketiga untuk menghasilkan filem-filem cereka, program-program televisyen, filem-filem dokumentari dan bahan-bahan audiovisual seni dan hiburan yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Mansor mencadangkan filem-filem dan program-program televisyen yang dihasilkan akan dipasarkan dan diedarkan ke seluruh dunia oleh sebuah syarikat yang ditubuhkan dan beribu pejabat di setiap bandar raya utama di negara-negara dunia Islam dan dunia ketiga.

Kos produksi untuk filem-filem cereka dan siri-siri televisyen dianggarkan antara USD5 – USD10 juta akan mampu diproduksikan. Ini adalah anggaran 16 tahun lalu. Pastinya anggaran itu akan meningkat sekarang. Namun, masalah ini boleh diatasi dengan sumber kekayaan dinikmati oleh kebanyakan negara-negara dunia Islam.

Menurut Mansor jumlah bajet produksi tersebut masih dianggap kecil berbanding dengan pulangan yang boleh diperoleh daripada kumpulan sasar berjumlah lebih 1.3 bilion penduduk beragama Islam di 55 negara dunia Islam dan negara dunia ketiga. 

Bandingkan jutaan ringgit dari negara dunia Islam dan dunia ketiga yang mengalir ke kantung pengeluar-pengeluar filem Hollywood setiap tahun. Dianggarkan 70 peratus pungutan hasil box office atau tayangan pecah panggung filem-filem keluaran Hollywood datangnya dari tayangan di luar Amerika terutamanya dari negara dunia ketiga dan dunia Islam. 

Separuh dari jumlah pengaliran wang ini sepatutnya beredar dalam kalangan umat negara-negara dunia Islam. Jumlah ini pasti mencukupi untuk membiayai kos pengeluaran dan penghasilan filem-filem cereka dan program televisyen bagi mengembangkan industri filem serta sinema Islami.

Tujuan utama penerbitan filem-filem dan program-program televisyen di kedua kota filem Melaka dan Palembang ini ialah berdasarkan kesamaan nilai sosial, budaya, sejarah dan pengalaman spiritual Islamik. Walaupun berlainan bahasa tetapi filem dan program televisyen yang bakal dihasilkan akan dialih bahasa untuk tujuan pemasaran.

Dari aspek produksi dan logistik, penggambarannya pula boleh dilakukan di lokasi-lokasi di negara-negara dunia Islam dan dunia ketiga. Dengan adanya 55 negara dunia Islam pastinya sinema Islami tidak ketandusan lokasi menarik untuk melakukan penggambaran.

Selain penumpuan kepada penerbitan filem, Mansor mencadangkan – The television stations in all Muslim countries can be connected together to form the ‘Muslim CCN’ or Muslim Channel so that news can be exchanged between our countries without relying on CNN of Atlanta or other Western media.

Terjemahannya - Stesen-stesen televisyen di semua negara-negara Islam boleh disatukan untuk membentuk ‘Muslim CCN’ atau Saluran Islam bagi pertukaran berita antara negara-negara dunia Islam tanpa bergantung kepada CNN Atlanta atau media Barat yang lain.

Untuk pengetahuan semua, stesen televisyen Al Jazeera, beribu pejabat di Doha, Qatar diwujudkan dan mula beroperasi pada 1 November, 1996. Struktur, konsep dan fungsinya hampir sama dengan cadangan yang Mansor dicetuskan pada Februari, 1994 ketika beliau membentangkan kertas presentasi versi awalnya di First International Muslim Filmmakers’ Conference di Teheran,Iran.

Seterusnya, Mansor mencadangkan supaya diwujudkan The World Muslim Film Festival setiap tahun. Malam penyampaian anugerah dinamakan Nur Islam Awards kepada karyawan filem menyumbang kepada penghasilan filem-filem memaparkan nilai-nilai, pemikiran dan budaya hidup Islamik ini disiarkan secara langsung kepada 55 negara dunia Islam.

Pada akhir kertas presentasinya, Mansor optimistik jika cadangan membangunkan Melaka di Malaysia dan Palembang di Indonesia sebagai kota filem diterima pasti akan berhasil mewujudkan Muslim Cinema – Sinema Islami.

Mansor juga mengingatkan filmmaker-filmmaker Islam tentang penderitaan dialami negara-negara dunia Islam dan dunia ketiga akibat daripada ‘cultural cleansing’ atau ‘pembersihan budaya’ yang dilakukan  oleh Amerika dan Barat melalui filem-filem Hollywood dan program televisyen. Sudah tiba masanya untuk kita mengubah keadaan ini. 

Keyakinan Mansor berdasarkan – Yes, we are not starting this project from zero. We have the cinemas, the directors, screenwriters, producers, actors, thinkers and philosophers, intellectuals and financiers. We also have the audiences. And we also have the money. 

Terjemahannya - Ya, kita tidak memulakan projek ini dari sifar. Kita ada pawagam, para pengarah, penulis skrip, produser, pelakon, ahli fikir dan falsafah, intelektual dan pembiaya. Kita juga ada penonton. Dan kita juga ada wang.

Hampir 16 tahun cetusan idea, cadangan dan blue print mewujudkan Sinema Islami sudah difikir dan dihasilkan oleh Mansor Puteh. 

Bukankah ini juga satu jihad? Di manakah dan bilakah jihadis-jihadis seni Islam akan bangkit menjadikan Muslim Cinema atau Sinema Islami satu realiti?

Demi masa, aku tidak ada jawapannya. Aku hanya mampu terus mencari seiring dengan usaha aku terus berkarya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...