Langkau ke kandungan utama

Yayasan Filem Dunia Islam

DALAM kertas presentasi Mansor Puteh bertajuk Muslim Cinema as an Antithesis to Hollywood dibentangkan pada 16–19 September 1999, di Khalil Sasakini Cultural Center atau Pusat Kebudayaan Khalil Sasakini di Ramallah, Palestin, beliau mencadangkan penubuhan World Muslim Film Foundation atau Yayasan Filem Dunia Islam. 

Apakah dan bagaimana fungsi World Muslim Film Foundation - Yayasan Filem Dunia Islam?

Cadangan penubuhan Yayasan Filem Dunia Islam ini merupakan usaha untuk merasmikan dan menginstitusikan konsep dan falsafah serta hala tuju artistik sinema Islami. Usaha ke arah itu akan dikawal selia oleh Yayasan Filem Dunia Islam ini untuk memastikan  nilai-nilai dasar yang selari dengan yang terkandung dalam al-Quran dan As-Sunnah serta dengan nilai-nilai budaya, gaya hidup serta tradisi kita walaupun berbeza. 

Mansor mencadangkan supaya Yayasan Filem Dunia Islam ini mula digerakkan oleh Khalil Sasakini Cultural Center yang berada di bawah Kementerian Kebudayaan Republik Palestin.

Beliau berpandangan - It can surely help to boost as well as promote the development of cinema in the Muslim countries, and facilitate the distribution of Muslim films for the enjoyment and understanding of fellow Muslims in the 55 Muslim countries and the rest of the world especially in places where there are sizable groups of Muslims, especially in America and United Kingdom and Europe or South America, Central Asia, Asia and China.

Usaha ini diyakini berupaya membantu untuk meningkatkan dan menggalakkan pembangunan sinema Islami di negara-negara dunia Islam, dan memudahkan pengedaran filem-filem Islami untuk hiburan dan kesefahaman umat Islam di 55 negara-negara Islam dan di seluruh dunia, terutamanya di mana terdapat jumlah umat Islam yang agak besar, khususnya di Amerika dan United Kingdom dan Eropah atau Amerika Selatan, Asia Tengah, Asia dan China.

Beliau berkeyakinan Yayasan Filem Dunia Islam ini boleh memainkan peranan penting dalam pengedaran filem-filem keluaran pembikin-pembikin filem dari negara-negara dunia Islam. Pemasaran dan pengedaran adalah asas paling penting dalam merealisasikan idea sinema Islami ini.

Dalam industri perfileman baik Hollywood, Bollywood, Hong Kong waima di mana sahaja di dunia ini, perkara paling asas adalah sistem pemasaran tersusun dan berkesan perlu dibentuk untuk menjana keuntungan bagi menjamin kesinambungan proses penghasilan filem-filem bergenre Islami ini.  

Menurut Mansor - There are about 1.3 billion Muslims in the world today comprising people of all races and in all countries in the world, and this number is increasing rapidly. Certainly they deserve to see films and television programs made by Muslim filmmakers, which do not belittle us or make fun of our lifestyles and cultures and history.
Terjemahan ringkasnya - Terdapat kira-kira 1.3 bilion umat Islam di dunia hari ini terdiri daripada berbagai bangsa di semua negara di dunia, dan jumlah ini sedang meningkat dengan cepatnya. Sudah tentu mereka berhak untuk menonton filem-filem dan program televisyen oleh pembikin-pembikin filem Islam, yang tidak memperkecilkan gaya hidup dan budaya serta sejarah penganut-penganut Islam.

Pasaran untuk filem-filem dan program televisyen bergenre Islami ini sememangnya luas. Keadaan dan peluang ini semestinya direbut oleh produser, penerbit dan pembikin-pembikin filem Islam.

Menurut Mansor, salah satu cara pemasaran filem ialah melalui festival filem. Di negara-negara dunia Islam juga telah sedia ada festival-festival filem bertaraf antarabangsa dianjurkan seperti festival-festival filem di Kaherah, Tehran, Istanbul sehingga di Ouagadougu, ibu negara Burkina Faso (Afrika Barat). 

Negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam dulunya dikenali Republic of Upper Volta merupakan negara Afrika yang memainkan peranan penting dalam sejarah kemajuan industri filem benua tersebut.

Industri filem di Burkina Faso berkembang pesat selepas mencapai kemerdekaan dari penjajah Perancis pada 1960. Sumbangan penting Burkina Faso untuk Sinema Afrika bermula dengan penubuhan dan penganjuran festival filem dikenali sebagai FESPACO (Festival Panafricain du Cinema et de la televisyen de Ouagadougou), pada tahun 1969 dan mendapat sokongan kerajaan dan struktur kekal pada tahun 1972.

Dengan adanya festival-festival filem negara-negara dunia Islam sedia ada ini memungkinkan untuk diperluaskan lagi jaringan kerjasama dan membentuk infrastruktur lebih kukuh untuk memajukan industri filem dan sinema Islami.

Mansor mengutarakan satu pandangan menarik mengenai penyertaan filem-filem dari negara-negara dunia Islam di festival-festival filem anjuran negara-negara bukan Islam (Barat). Secara peribadi aku rasa pandangannya ini perlu dikongsi bersama dengan pembikin filem lama dan baharu, pelajar serta peminat filem Melayu dan Malaysia.

Beliau menyentuh tentang Cannes Film Festival yang diadakan di Cannes, Perancis sejak 1947.

Mansor melontarkan pertanyaan – Do you know that there are really four types of films from the Muslim World and Third World that the film festivals in the West, particularly, Cannes consider to be of any artistic and cinematic merit? What are they?

They are films on – 1)poverty and illiteracy, 2)homosexuality and nudity, 3)anti-government, 4)anti –colonialism and historical or costume epics.

Memang ada kebenarannya pertanyaan beliau itu jika secara jujur kita mahu menyusuri dan mengkaji sejarah kewujudan kebanyakan festival-festival filem di negara-negara Barat ini.

Hampir keseluruhan pihak penganjur festival-festival filem di negara-negara Barat ini hanya atau sering mengiktiraf filem-filem dari negara-negara Dunia Ketiga dan Dunia Islam yang memaparkan dan menyentuh isu-isu mengenai kemiskinan dan buta huruf, hubungan seks sejenis - homoseks dan filem-filem mengandungi babak-babak bogel dan telanjang. 

Penganjur-penganjur festival filem Barat lazimnya akan memilih filem-filem dari negara-negara Dunia Ketiga dan Dunia Islam yang mengangkat isu-isu penentangan terhadap pemerintah sedia ada di sesebuah negara dan penentangan terhadap penjajah serta filem-filem sejarah dan epik. 

Menurut Mansor lagi, contoh paling ketara ialah hampir kebanyakan filem-filem dari China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun yang diiktiraf dan ditayangkan di Cannes membawa tema hubungan songsang sejenis – homoseks. Juga filem-filem dari negara-negara ini yang mewah dengan penampilan babak-babak bogel telanjang bulat pelakon-pelakonnya.

Filem-filem dari negara-negara dunia Islam seperti filem-filem Iran yang diiktiraf dan berpeluang ditayangkan di Cannes, kebanyakannya bertemakan kemiskinan, kemunduran dan kejahilan. Secara tidak langsung memberi gambaran negara-negara dunia Islam ini masih mundur dan ketinggalan jauh di belakang dunia Barat yang kononnya maju dan moden.

Menurut Mansor lagi, ini hanya baru satu contoh melibatkan satu festival filem anjuran negara Barat – di Cannes, Perancis. 

Pastinya festival filem negara-negara Barat lainnya turut sama tidak akan menayangkan filem-filem dari negara-negara dunia Islam yang membawa tema dan unsur-unsur menunjukkan kemajuan dan nilai intelektual progresif yang dicapai oleh rakyat negara-negara tersebut.

Mansor membentangkan pandangannya ini 16 tahun lalu. Apakah ada perubahan? Kita akan terus bincangkan pada minggu depan, insya-ALLAH.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dicabar bertumbuk kerana kritikan filem

MINGGU lalu aku menulis bidang kritikan filem dalam filem Melayu era 80-an sehingga awal 90-an. Salah seorang tokoh pengkritik filem paling menonjol ketika itu Mansor Puteh. Beliau dikenali dengan kelantangan dan sikap berterus-terang ketika menulis kritikan sesebuah filem Melayu yang dihasilkan ketika itu. Aku nyatakan minggu lalu, kebanyakan pembikin dan pengarah filem ketika itu secara tidak resmi menganggap Mansor bagaikan ‘musuh’. Hanya kerana kritikan pedas dan berilmu beliau sering tidak selari dengan cita rasa dan kemahuan kebanyakan produser dan pengarah filem ketika itu. Himpunan artikel dan kritikan Mansor telah dibukukan dengan tajuk – Kritikan Filem Mansor Bin Puteh pada 1995. Selepas 20 tahun aku berpeluang membaca semula buku himpunan kritikan Mansor ini, aku ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca dan peminat, penggiat filem generasi sekarang. Pengalaman aku lalui dalam konteks dan berhubung kait bidang kritikan filem dengan perkembangan ...

Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut

STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans. Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo. Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura. Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973). Mat Sentol merupakan pengarah y...

Empat dekad kepergian P Ramlee

HARI ini 29 Mei 2016 genap 43 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Tokoh ikonik bangsa Melayu khasnya dan anak semua bangsa Malaysia amnya. P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun. Tokoh seni tersohor negara ini masih dikenali sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon dan pengarah filem walaupun kepergiannya sudah melebihi empat dekad. Ketika hidupnya, beliau telah menghasilkan 66 buah filem dan mencipta ratusan lagu. Zaman kegemilangannya ketika beliau berkarya dalam bidang seni suara, muzik dan perfileman di Singapura di antara era 50-an sehingga awal 60-an. P Ramlee memenangi anugerah dan dinobatkan Pelakon Versatile - Pelakon Serba Boleh lewat filem Ibu Mertuaku di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963. Populariti P Ramlee mula menurun bila beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964. Filem-filem arahan beliau semasa di Studio Merdeka, Hulu Kelang (tapak Finas...